SELAIN akademik, setiap ibu bapa pasti mempunyai impian melihat anak-anak berjaya menguasai ilmu akhirat.
Begitu juga pelakon berbadan sasa, Norman Hakim.
Bintang filem Pasrah ini bersyukur di atas kejayaan anak sulungnya, Muhammad Danish Hakim, 14, yang berpeluang melanjutkan pengajian hafazan di Mekke Kuran Kursu, Isparta, Turki dan dijangka bertolak Oktober depan.
“Alhamdulillah, sebenarnya, perasaan saya bercampur baur di antara syukur, gembira, sedih dan hiba. Lagipun, dia anak pertama, darah daging dan merangkap kawan baik saya di dunia akhirat
"Dia sepatutnya bertolak Mei lalu, namun minta untuk ditunda hingga Oktober depan supaya sempat beraya bersama," katanya kepada Media Hiburan.
Lebih membanggakan, katanya, pengajian hafazan itu bakal mengumpulkan 400 pelajar dari seluruh dunia selain perlu melalui syarat pemilihan yang sangat ketat.
Sebelum ini, katanya, Danish pernah belajar di Madrasah Uthmaniyah Smart Tahfiz, Kajang, Selangor dan dia dipilih antara 20 pelajar di negara ini bagi menyelesaikan baki hafazan berdasarkan prestasi semasa.
Selain Danish, Norman turut dianugerahkan dua lagi anak hasil perkahwinannya dengan bekas isteri, Abby Abadi, iaitu Marissa Dania Hakim, 12, dan Maria Danisha Hakim, 10.
Dania sedang mengikuti pengajian di Darul Quran Wal Hadith As Sofa, Seremban, Negeri Sembilan manakala Danisha pula sudah pun menunjukkan minat untuk mengikut jejak langkah abang dan kakaknya.
Norman juga mempunyai dua cahaya mata bersama Memey Suhaiza iaitu iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 4 dan Muhammad Dikhriz Hakim, 2.
“Setiap ibu bapa pasti tak akan lupa untuk berdoa untuk kejayaan anak-anaknya. Kejayaan anak-anak di dunia dan akhirat merupakan benchmark untuk kita sebagai ibu-bapa agar menjadi lebih baik dari sebelumnya.
“Melihat anak-anak membesar dan menjalani kehidupan sebegitu menyebabkan saya turut sama terangsang untuk mengubah cara hidup. Saya mahu perbaiki kehidupan dan jadi contoh terbaik pada mereka,” katanya.
Bebas pilih bidang yang diminati
Biar berteraskan pengajian agama, Norman bagaimanapun sangat bersikap terbuka terhadap pilihan masa depan anak-anaknya.
“Saya memberi mereka pengetahuan untuk memahami serta membaca al-Quran selain mengenali Islam dengan lebih tepat.
"Walaupun asasnya dalam bidang agama, saya beri kebebasan pada anak-anak untuk menentukan hala tuju masing-masing.
"Contohnya, Danish sendiri memasang impian nak mengajar dan mempunyai madrasah sendiri,” katanya.
Mengenai bidang akademik, pelakon drama Dia Bidadariku ini juga optimis dengan kejayaan yang bakal dihadapi anak-anaknya.
“Insya-ALLAH, saya rasa tiada apa-apa masalah berlaku kerana bersandarkan daripada pengalaman rakan-rakan anak saya, semuanya positif,” katanya.
Bersikap selektif
Pada masa sama, Norman mengakui sangat selektif dan lebih bersikap ‘mematuhi syariat Islam’ dalam soal pemilihan kerjaya seninya sejak tiga tahun lalu.
"Saya seboleh mungkin mengelak untuk menerima scene yang memerlukan saya bersentuhan dengan bukan mahram.
"Saya bukan mahu berlagak alim tetapi saya berusaha mencuba yang terbaik," tegasnya.
Bukan itu sahaja, pelakon filem Kabali ini juga sanggup menolak tawaran berlakon yang memerlukannya berjauhan dengan isteri kerana keutamaannya adalah kepada keluarga.
“Saya perlu bijak membahagikan masa dengan mereka. Sebab itu jika ada tawaran mendatang yang menuntut saya perlu bekerja di luar daerah, awal-awal lagi saya minta maaf sebab tak dapat melakukannya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Norman bakal membuat kemunculan istimewa melalui program automotif terbaru, Che Din Kan Ada? Di TV AlHijrah selain akan menjalani penggambaran siri terbaru, Gerak Khas dalam masa terdekat.