Di sebalik misteri Kiki dan zuriat Drake


Ini bukan pertama kali Drake mencetuskan fenomena luar biasa dengan perkongsian diskografinya. Biarpun ada suara sumbang dalam kalangan pengkritik muzik mahupun peminat yang tidak bersetuju dengan segala macam perhatian diberikan kepadanya terutama menerusi album terbaharu berjudul Scorpion, lelaki kelahiran Kanada itu terus mencipta magis tersendiri.

Dari era album studio perdana, Thank Me Later, pemilik nama sebenar, Aubrey Drake Graham itu tidak pernah gagal menjual idea muziknya serta mencipta rekod demi rekod.

Untaian lagu seperti Hold On We’re Coming Home, Hotline Bling dan One Dance adalah antara bukti Drake mempunyai impak tersendiri sebagai pemuzik.

Hal berkenaan barangkali membuatkan ramai iri hati dengannya termasuk Kanye West.

Dalam satu wawancara bersama majalah Billboard pada tahun 2017, Drake menempelak pandangan Kanye West yang mengkritiknya secara terang-terangan

Difahamkan, West kecewa apabila Drake mengenepikannya daripada terlibat dalam pembikinan album Views.

“Saya tidak tahu apa masalah dia (West). Daripada pernah bekerja dengannya sehingga dia bercakap buruk tentang saya. Dia mungkin cemburu kerana terlalu banyak lagu dendangan saya di radio.

“Dia juga pernah kecewa apabila saya membikin lagu dengan DJ Khaled dalam Views. Saya tidak mengerti apa yang sedang dilaluinya dan kini saya hilang hormat terhadapnya,” kata Drake yang mendedahkan, tidak lagi berminat untuk berkolaborasi dengan suami Kim Kardashian itu.

Kongsi Drake lagi: “West memang berharap untuk ditampilkan dalam Views namun saya amat kecewa dengan tindakannya.” 
 Meninggalkan insiden album Views, nama Drake kini kembali melambung tinggi. Muncul dengan album kelima, Scorpion mencipta kejayaan hebat bukan kerana hanya terjual dengan laris, tetapi tujuh lagu daripada album berkenaan juga menghuni tangga 10 teratas Billboard Hot 100.

Kejayaan tersebut memadamkan rekod yang pernah dipegang The Beatles selama 54 tahun.

Rekod yang dicipta band legenda British itu pada 1964 yang memiliki lima buah lagu tersenarai dalam kedudukan 10 teratas carta tersebut kini telah terpadam.

Lebih mengagumkan, beberapa single terbaharu Drake seperti God’s Plan, Nice For What dan kini In My Feelings bergilir-gilir menggantikan posisi tangga pertama carta lagu paling popular global itu.





Fenomena In My Feelings

Paling menuai perhatian menerusi Scorpion adalah single terbaharunya, In My Feelings.

Satu dunia kini kemaruk melakukan Kiki Challenge yang memberi keuntungan kepada lagu In My Feelings menjadikan ia disifatkan sebagai lagu paling popular di dunia sekarang. Daripada golongan selebriti sehingga ke lapisan masyarakat marhain, trend tersebut sudah merasuk khalayak.

Bintang berusia 31 tahun itu mengaku terhutang budi dengan pelawak yang juga pengguna Instagram bernama @theshiggyshow. Hal ini kerana, lelaki berkenaan yang memulakan trend Kiki Challenge sebelum beberapa selebriti popular seperti Will Smith Sterling K. Brown turut terpengaruh dengan melakukan tarian dengan muzik latar lagu berkenaan.

Drake sempat bertemu dengan lelaki itu dan memuat naik sebuah video di Insta Story sebagai tanda apresiasi dengan berkata: “Oh, Tuhanku, lelaki ini telah menolong saya mendapat lagu nombor satu.”

Di Instagram, dengan sekeping gambar pertemuan dengan Shiggy, Drake menulis kapsyen: “Bertemu dengan legenda pada malam lagu kita berada di tangga pertama.”

Pada 29 Jun lalu, 
@theshiggyshow berkongsi video menari tarian yang dinamakan The Shiggy Dance dengan gerakan yang mengikut rentak melodi dan lirik In My Feelings. Tular umpama satu virus, ia berkembang apabila orang ramai menari dengan lenggok tarian mengasyikkan seraya kenderaan sedang bergerak.

Merupakan seorang rapper dan pemuzik yang gemar bercerita melalui perkongsian lagunya, perkara yang menarik perhatian menerusi In My Feelings juga adalah Drake menyebut beberapa nama ‘misteri’. Nama yang paling terkesan ialah Kiki kerana ia merupakan nama pertama yang disebut dalam bait lagunya. Selain itu, dia juga menyebut nama seperti KB, Risha dan JT.

Persoalannya, apakah dan siapakah nama-nama yang dilambangkan seperti bermain cinta dengan bekas kekasih Nicki Minaj itu?

Identiti sebenar nama-nama tersebut masih kekal misteri kerana selepas album Scorpion diluncurkan pada Jun lalu, Drake belum diwawancara dan hanya membiarkan album kelimanya ‘diratah’ pancaindera peminat seluruh dunia.

Ada beberapa teori daripada peminat mengatakan Kiki merupakan seorang wanita bernama Keshia Chante yang pernah singgah dalam hidup lelaki itu sewaktu remaja.

Terdapat juga dakwaan Kiki berkemungkinan seorang wanita berasal dari Oakland bernama K’yanna Barber kerana dilaporkan Drake pernah menghabiskan masa bersama wanita berkenaan di Hollywood baru-baru ini, seperti yang didedahkan di Instagram.

Biarpun masih mengunci mulut daripada memberi sebarang laporan kepada media usai melancarkan Scorpion, Drake secara terang-terangan berkongsi perihal yang selama ini menjadi rahsia buat dirinya.

Ia berkenaan status sebagai seorang bapa dipercayai hasil hubungan dengan pelakon filem lucah Perancis, Sophie Brussaux.

Anak

Melalui lagu berjudul Emotionless, Drake menjawab tuduhan penyanyi rap, Pusha-T yang masuk campur urusan peribadinya melalui karya lelaki kulit hitam itu dalam trek berjudul The Story of Adidon.

Penyanyi itu mendakwa, Drake bersifat oportunis dengan hanya akan mendedahkan identiti anaknya bernama Adonis bersempena kolaborasi jenama sukan popular, Adidas suatu ketika nanti.

Melalui Emotionless dan single terakhir dalam Scorpion berjudul March 14, Drake menjawab tuduhan tersebut. Drake juga berkongsi tentang tugasnya sebagai bapa secara terperinci dalam trek March 14.

Antara bait lirik rap Drake dalam March 14 adalah berbunyi: “Kami hanya bertemu dua kali. Ia mematahkan semangatku. Bapa tunggal, aku benci apabila aku mendengarnya.”

Dedah Drake, tarikh lahir anak lelakinya adalah 11 Oktober yang turut dijadikan tatu pada bahagian lengannya. Melalui March 14, dia memberitahu baru sekali berkesempatan bertemu dengan anak yang berada bawah jagaan si ibu itu.

“Harapnya, apabila anda (anak) mendengar ini, ibu anda dan saya akan berbaik-baik daripada terus menafikan antara satu sama lain,” tutur Drake dalam nukilan rap trek March 14.

Post a Comment

Previous Post Next Post