Ariff Aziz Kerana cinta atau harta


Kelmarin, pelakon jelita berstatus janda anak dua, Rita Rudaini membuat pengakuan, dilamar ramai lelaki muda yang mengajaknya berkahwin. Kata Rita, dia menerima banyak pesanan mesej sedemikian menerusi Instagram. Rita ternyata masih laku pada usia 42 tahun!

Rita pernah berkahwin dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abdul Radzak pada Februari tahun 2008. Ketika itu, dia berusia 32 tahun manakala Aidil baru berumur 21 tahun. Dengan beza usia 11 tahun pernikahan yang pada mula bahagia biarpun tidak mendapat restu keluarga pihak lelaki akhirnya berkecai dengan talak satu pada September 2013. Itu tidak termasuk rentetan kontroversi yang harus ditanggungnya sehingga kini.

Hari ini pula, genap seminggu penerbit popular Datuk A. Aida yang bertahun-tahun menjanda sempurna bergelar isteri kepada seorang pelakon muda, Ariff Aziz. Pada majlis perkahwinan mereka yang berlangsung di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor, Ariff menyerahkan RM300 sebagai mas kahwin kepada pengantin perempuan manakala wang hantaran sebanyak RM20,000.

Pelakon drama Isteri Untuk Diiktiraf itu menyerahkan tiga dulang hantaran berupa jam tangan mewah jenama Cartier seberat 1.24 karat berserta beg tangan Hermes kepada A. Aida, manakala penerbit filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda itu membalas lima dulang hantaran termasuk jam tangan jenama Hublot, sebentuk cincin, tas tangan Louis Vuitton, minyak wangi Chanel kepada pengantin lelaki.

Sebenarnya, berita A. Aida dan Ariff bakal bernikah sudah berlegar dalam kalangan teman-teman media dan tambah meyakinkan apabila Ariff membuat kejutan melamar A. Aida di sebuah restoran, kira-kira tiga minggu lalu.

Sebelum mereka benar-benar bernikah, penulis juga sempat ditanya oleh seorang pelakon lelaki sebaya Ariff, adakah benar A. Aida dan Ariff sedang ingin membina mahligai bersama. Penulis menjawab dalam nada normal: “Kenapa tidak, kad undang pun sudah diedar.”

Lalu pelakon berkenaan mengangguk dan mendesis perlahan: “Bukan apa, saya ingat mereka main-main.”

Penulis faham mengapa persoalan sebegitu banyak bermain dalam minda ramai. Melihat A. Aida yang sudah berusia 47 tahun, popular dan hidup sukses sebagai penerbit dengan sekian banyak produk popular di kaca televisyen bertemu jodoh dengan Ariff, 29, pelakon baharu yang masih mencari tempat dalam industri, ia sesuatu yang mengundang persoalan tentang sejauh mana kehebatan cinta mereka.

Ironinya, kehebatan cinta mereka telah terbukti dengan hanya tiga bulan percintaan tetapi kini sudah bergelar suami isteri. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang.





Skeptikal

Lantas, apabila perkahwinan melibatkan perbezaan status, usia khususnya dalam kes terbaharu antara A. Aida dan Ariff, ia sekali gus memasukkan mereka dalam senarai wanita berusia mengahwini lelaki muda dengan beza usia 18 tahun, sebenarnya ia tetap bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Dalam masa sama, skeptikal soal menumpang kesenangan harta benda atau ketulusan cinta tidak dapat dielakkan.

Ariff semestinya sudah awal-awal lagi mempersiapkan diri dan berlapang dada sekiranya disuakan persoalan sedemikian rupa, seperti yang berlaku di atas pelamin persandingan mereka, Sabtu lalu.

Sedikit tidak selesa, namun Ariff cuba berdiplomasi. Katanya, niat memperisterikan wanita berasal dari Terengganu itu bukanlah suatu tindakan yang ada maksud tersirat.

Biar ada skeptikal tentang keterbukaannya memilih wanita yang berusia dan berharta sebagai suri hidup sebagai jalan mudah untuk menapak dalam industri, Ariff menafikan hal tersebut. Dia bukan tidak berpelajaran bahkan ada kemahiran dalam bidang multimedia.

“Senang untuk orang anggap apa sahaja apabila saya bernikah dengan A. Aida, namun hanya Allah sahaja yang tahu keikhlasan saya mencintai dia.

“Dia seorang wanita yang cantiknya datang dari dalam dan bukan sekadar luaran. Usianya yang lebih tua menjadikan dia matang, mengajar saya banyak perkara tentang perhubungan dan ia saya anggap sebagai satu kelebihan, bukan kelemahan,” tegasnya.

Menggulung suasana agak tidak terganggu, Aida pula mencelah memberikan jawapan kenapa Ariff menjadi pilihan.

“Mana yang lebih baik, kahwin dengan anak teruna atau rampas suami orang? Sekurang-kurangnya saya tidak menyakitkan hati sesiapa.

Bukan luar biasa

Tambahnya Ariff lagi, jika mahu mengambil kesempatan ke atas segala kelebihan yang dimiliki isterinya termasuk kemewahan, pastinya sudah lama dia berbuat demikian. Sementelah, dia telah mengenali isterinya seawal melangkah ke dalam industri hiburan pada 2015.

“Saya pernah bertunang, namun ia terputus di tengah jalan. Selepas itu baru hubungan saya dan A. Aida menjadi rapat serta terbit rasa cinta.

“Apa yang terjadi (hubungan) bukan dirancang atau dipaksa, namun terjadi secara semula jadi kerana Allah itu sebaik-baik perancang,” katanya menutup perbualan.

Tidak perlu lebih jauh, cinta tanpa sempadan usia telah banyak dibuktikan bukan hanya dalam kalangan selebriti. Tahniah! untuk A. Aida dan Ariff kerana kalian telah menjadi sepasang lagi merpati dua sejoli yang seangkatan Rozita Che Wan, 44, dan Zain Saidin, 33, begitu juga Ella, 51, dan Azhar Ghazali, 35.

Harta

Tentunya ramai yang masih bagaimana hangat sensasi sewaktu berita perkahwinan pelakon senior, Rosnah Mat Aris dan Tajul Efendie Isa 11 tahun lalu. Semasa berkahwin, Rosnah berusia 53 tahun, manakala Tajul baru 26 tahun. Biar berbeza usia sebanyak 26 tahun, perkahwinan mereka kini sudah memasuki tahun ke-11.

Wanita berusia disunting lelaki muda tidak hanya berlaku dalam dunia glamor. Pada tahun 2017, di Indonesia seorang lelaki berusia 28 tahun jatuh cinta dengan wanita berumur 82 tahun dan mereka berkahwin. Setahun sebelum itu, di London, seorang nenek berusia 71 tahun, Almeda Erell berkahwin dengan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun. Mereka bertemu pada majlis pengebumian anak lelaki wanita tersebut.

Pada awal tahun ini, seorang pemuda berusia 23 tahun di China menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini wanita berusia 38 tahun (15 tahun lebih tua daripada) yang telah dihamilinya terlebih dahulu. Selepas berkahwin dia menerima habuan bukan sedikit termasuk sebuah kereta Ferrari sebagai hadiah daripada isterinya. Mulanya ibu bapa lelaki menentang keputusan anaknya memandang wanita berkenaan hanya setahun lebih muda daripada ibu pengantin lelaki. Tetapi, apabila mengetahui si menantu kaya-raya, perkahwinan tersebut tidak dihalang.

Dalam Islam, lelaki yang hendak mencari pasangan hendaklah melihat kepada empat perkara pada diri seseorang wanita yang ingin dikahwini iaitu harta, keturunan, kecantikan dan agama. Namun, pilihan keempat harus menjadi pilihan pertama bagi beroleh keberuntungan dunia dan akhirat.

Apa pun, perkahwinan juga bukanlah sesuatu yang main-main, bukan juga agenda ‘tebuk’ bagi menggantikan sesuatu perancangan lain yang tidak menjadi, sebaliknya, ia adalah destinasi yang diharus dipacu dengan niat mahu hidup dalam susah senang bersama.

Dalam agama atau bangsa apa pun, suami isteri adalah teman hidup yang dapat memenuhi keperluan biologi untuk dicintai dan mencintai, dapat mengasihi dan dikasihi, boleh diajak bekerjasama mewujudkan ketenteraman, ketenangan serta kesejahteraan hidup berumah tangga. Konsepnya begitu, selebihnya jangan ambil mudah semua perkara.

Post a Comment

Previous Post Next Post