
Feeya Iskandar atau lebih mesra disapa sebagai Cik Piah mengakui sambutan rayanya kini semakin meriah semenjak bergelar ibu kepada dua cahaya mata, Adam Malique, 1, dan Nuh Aryyan, lima bulan.
“Raya sekarang memang jadi beza sangat semenjak jadi ibu. Meriah bila balik rumah mak dan abah, suasana jadi riuh rendah dengan anak-anak.
“Tapi dalam pada itu, kalut jugalah nak uruskan mereka. Mujurlah suami banyak membantu dan kami bahagikan tugas untuk uruskan keperluan anak-anak.
“Kalau saya sorang yang buat semua, memang tak sempatlah. Persiapan raya mereka pada tahun ini pun dibuat pada saat-saat akhir kerana saya agak sibuk dengan kerja sepanjang Ramadan lalu,” akuinya jujur.
Tambah Cik Piah, biarpun tidak dapat cuti raya yang lama, namun ia sudah memadai buatnya untuk beraya bersama keluarganya di Johor.
“Masa mula-mula kerja dulu, terkilah jugalah kalau kena kerja masa raya. Mana tidaknya, pakai baju raya lawa-lawa tapi kena kerja.
“Bagaimanapun selepas beberapa tahun bergelar penyampai, saya dak tak kisah kalau kena kerja masa raya.
“Bagi saya ia itu adalah antara pengorbanan kita sebagai penyampai radio untuk menggembirakan pendengar. Walaupun kena kerja, raya tetap raya,” katanya.
Berkongsi tentang perkara yang paling dinantikan setiap kali tiba raya, kata penyampai yang cukup disenangi ramai ini, juadah raya menjadi keutamaannya.
“Semestinya juadah raya yang paling saya tunggukan setiap kali sambut raya. Antara yang menjadi kegemaran ialah Ayam Masak Merah, Ketupat dan Kuah Lodeh.
“Kalau makan waktu bukan raya, rasa dia biasa-biasa sahaja. Tapi bila raya, feel dia lain macam dan rasa sedap sangat. Jadi bila tiba raya, makanan raya akan jadi keutamaan,” dedah Feeya.