Misi Grey Sky Morning tawan peminat


Kumpulan Grey Sky Morning, dari kiri, Ully, Ery, Ejal, Ewan dan Ojex.

Suatu ketika dahulu, band underground yang dianggotai oleh lima lelaki ini pernah mencipta zaman kegemilangan menerusi lagu Cinta Gila dan Pancaroba.

Mula ditubuhkan sekitar tahun 2008, mereka kemudian terus menempa kejayaan dalam media arus perdana menerusi nama Grey Sky Morning (GSM).

Namun, disebabkan kegilaan pendengar yang berubah trend dan lebih teruja dengan kelahiran artis YouTube bermula tahun 2012, GSM mengambil keputusan untuk aktif hanya di pentas underground.

Kini selepas enam tahun, Ejal selaku vokalis, Ully (gitar bes), Ery (dram), Ojex (gitar utama) dan Ewan (gitar kedua) ingin kembali aktif menawan peminat mereka dengan buah tangan terbaharu berjudul Dansa Pesona.

“Ramai yang tanya ke mana kami menghilang? Sebenarnya tidak hilang, kami masih aktif selama tempoh itu sebagai band underground, jadi cerita tentang GSM tidak dipaparkan dalam media massa.

“Setiap tahun juga kami tidak pernah gagal menghasilkan single baharu, namun ia tidak diperdengarkan di stesen radio,” kata Ery membuka bicara.

Berkongsi trend industri hiburan dahulu yang jauh berbeza dengan masa kini, ujar Ejal pula, kehadiran GSM dalam mewarnai industri muzik kali ini bukan sekadar biasa-biasa.

Dengan kekuatan lagu Dansa Pesona, mereka optimis mahu bergerak lebih agresif di samping mengikut trend artis sekarang yang banyak mempromosikan diri di media sosial.

“Industri dahulu dengan sekarang jauh berbeza. Jika dahulu kami hanya mempunyai media arus perdana sahaja untuk mempromosikan diri. Sesiapa yang dapat menembusi media tersebut sangat beruntung.

“Dengan kehadiran pelbagai platform laman sosial sekarang, membuatkan kami yakin dapat menawan semula hati peminat tidak kira yang lama atau baharu,” kongsinya bersemangat.





Konsep

Bercerita lanjut tentang single ciptaan Afizal dan mendapat susunan muzik daripada GSM sendiri, Ejal berkata, mereka masih mengekalkan konsep muzik GSM yang sama seperti dahulu.

Menurutnya, biarpun ingin menawan peminat baharu namun mereka tidak mahu terlalu bereksperimen dalam muzik kerana bimbang peminat sedia ada tidak boleh menerima perubahan yang dilakukan.

“Dansa Pesona merupakan lagu pengenalan semula GSM untuk peminat setia kami. Konsepnya masih dikekalkan seperti dahulu iaitu bersifat gembira dan ringan untuk didengar.

“Pun begitu, dalam masa sama kami tetap ingin menarik perhatian peminat baharu. Biarpun penat menjawab pertanyaan peminat tentang ‘kehilangan’ GSM, namun kami tetap berpuas hati kerana lagu ini mendapat maklum balas yang positif,” katanya yang teruja apabila CD single Dansa Pesona habis dijual di pasaran.

Selesa bergerak sendiri, sebelum mengakhiri bicara Ejal turut berkongsi akan mengeluarkan sebuah album penuh pada tahun ini sebagai hadiah kepada semua peminat mereka.

“Kali terakhir kami mengeluarkan album adalah pada tahun 2010 yang berjudul Pancaroba. Ketika itu kami bersama syarikat rakaman FMC. Jika tiada halangan, bermula bulan ini kami akan merakamkan beberapa lagu baharu.

“Album berkenaan akan dilancarkan sekitar bulan Ogos atau September depan,” tutupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post