Anzalna Nasir jual lukisan untuk kebajikan


Tahun kedua beraya berdua bersama suami, Anzalna Nasir tidak terkilan masih belum dikurniakan cahaya mata dan bersyukur dengan kehidupan bahagianya sekarang.

Pelkaon jelita, Anzalna Nasir mengambil keberkatan bulan Ramadan pada tahun ini dengan melakukan amal kebajikan atas inisiatif sendiri. Katanya, setiap tahun pengisian bulan Ramadannya akan dihadkan untuk lakonan demi menumpukan sepenuh tumpuan mengerjakan amal ibadah.

Namun, berbeza dengan tahun ini apabila pelakon Memori Cinta Suraya itu membuat amal kebajikan dengan menjual hasil lukisannya yang kemudian membuka kepada idea untuk dia menggunakan wang jualan bagi membantu golongan memerlukan.
“Sejak saya mula berkongsi tentang lukisan di laman Instagram, tidak sangka ada orang mahu beli. Namun selepas difikirkan semula, daripada jual lebih baik saya buat sesuatu yang mampu menyumbang kepada masyarakat.


“Jadi, saya biarkan pembeli yang menentukan harga, bukannya saya. Ada juga yang menawarkan harga ribuan ringgit tetapi saya tidak mahu ambil kerana berasa tidak adil lukisan yang kecil dijual pada harga mahal,” ujarnya ketika ditemui pada majlis tayangan program raya Astro baru-baru ini.

Sehingga kini, sudah lapan daripada 10 buah lukisannya berjaya dijual kepada pembeli. Namun, pelakon berusia 30 tahun itu enggan mendedahkan jumlah jualan kerana akur kepada permintaan pembeli untuk merahsiakannya.

“Buat masa sekarang masih belum dapat dedahkan berapa jumlah kutipan yang berjaya diraih dan harga jualan juga tidak boleh diberitahu. Insya-Allah dalam perancangan saya mahu gunakan wang yang terkumpul itu untuk membantu golongan gelandangan dengan membantu keperluan mereka.

“Sekiranya bagi wang, kita tidak tahu berapa lama wang itu mampu bertahan untuk mereka. Jadi, lebih baik ia digunakan bagi memberi kemudahan yang kekal lama seperti tempat tinggal,” ujarnya yang turut merancang menyalurkan dana tersebut kepada kanak-kanak penghidap kanser.

Mengakui lukisan adalah minat dan bakat terpendam yang dimilikinya sejak kecil, Anzalna bagaimanapun tidak mahu terburu-buru terjun ke dalam bidang itu memandangkan dirinya masih belum mahir bermain dengan pelbagai konsep lukisan.

“Kalau permintaan tinggi daripada orang luar, saya okey untuk meneruskan kerja ini. Sekarang pun memang banyak saya dapat tempahan. Cuma kalau mahu betul-betul bergelar pelukis, saya belum sampai ke tahap itu lagi,” ujarnya tersipu malu.

Ironi, kali terakhir pelakon drama Dendam Aurora itu memegang berus lukisan adalah pada usia lapan tahun. Ketika itu dia berada di Montreal, Kanada kerana keluarganya menetap di sana.





Lebaran

Pernah sekali, lukisannya mendapat tempat pertama menerusi sebuah pertandingan melukis yang disertainya sehingga ia dijual dalam bentuk kad ucapan Krismas.

“Selain dapat hadiah kemenangan berupa wang tunai, perkara paling manis adalah apabila lukisan saya yang dijadikan kad digunakan di wad kanak-kanak di sebuah hospital di sana.

“Itulah kali terakhir saya memegang berus lukisan kerana selepas pulang ke Malaysia, saya tidak lagi berkesempatan meluangkan masa melukis,” katanya yang memperuntukkan masa sekitar tiga jam untuk menyiapkan sesebuah lukisan.

Berbicara tentang persiapan rayanya pada tahun ini, Anzalna berkata, sambutan tetap berjalan sederhana dengan merayakannya di ibu kota sebelum pulang ke kampung halaman ibu bapanya di Pulau Pinang dan Muar, Johor.

“Rutin raya sama sahaja seperti tahun-tahun sebelumnya dalam keadaan cukup sederhana tetapi meriah. Walaupun saya dan suami masih beraya berdua tanpa kehadiran zuriat tetapi saya tidak rasa ia sebagai satu kekosongan.

“Saya tetap gembira dan bahagia serta bersyukur dengan kehidupan sekarang,” ujarnya yang mempunyai 10 pasang baju raya untuk tahun ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post