Biarpun kebanyakan umat Islam masih lagi sibuk merayakan kedatangan Syawal dan barangkali sedang bertungkus lumus mengelolakan majlis rumah terbuka, pelakon dan pengacara Neelofa telah pun mula bekerja.
Seperti yang termaktub dalam takwim kariernya, Neelofa kini berada di Paris, Perancis bagi menghadiri sebuah acara global anjuran jenama kosmetik Lancôme yang dijadualkan berlangsung esok.
Mungkin kedengaran agak janggal bagi sesetengah orang melihat Neelofa terbang ke luar negara pada bulan Syawal, namun buat yang telah lama mengenali wanita berusia 29 tahun itu, berkelana pada musim raya merupakan suatu perkara lazim baginya.
“Mengikut perancangan awal, saya dan rakan-rakan memilih Berlin, Jerman dan Beirut, Lebanon sebagai destinasi percutian kami kali ini. Pada masa yang sama, kami juga merancang untuk menonton konsert Beyoncé dan suaminya, Jay-Z yang berjudul OTRII di Berlin pada 28 Jun nanti.
“Justeru, apabila menerima undangan untuk menghadiri acara Lancôme pada 20 Jun di Paris, saya terus bersetuju memandangkan memang akan ke sana pada tarikh yang berdekatan,” ujar duta kosmetik tersebut ketika ditemui dalam sebuah wawancara khas yang diadakan dua minggu lalu.
Menurut Neelofa, percutiannya pada kali ini hanya berlanjutan sekitar 12 hari sahaja. Selesai bercuti dan menghabiskan masa bersama teman-teman, pengacara program MeleTOP itu akan terbang semula ke Kuala Lumpur bagi menyediakan dirinya untuk sebuah lagi acara besar.
“Biarpun rakan-rakan yang lain akan terus tinggal di Beirut sehingga 7 Julai, saya terpaksa pulang tiga hari lebih awal.
“Hal ini kerana, saya terlibat dengan sebuah lagi acara besar anjuran jenama barang kemas Swarovski yang julung kalinya diadakan di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Mengakui teruja menerima kehadiran delegasi Swarovski dari Perancis, Neelofa berharap agar kehadiran mereka kelak bakal memberi perspektif berbeza terhadap gaya hidup dan cara berfesyen masyarakat setempat.
“Saya berasa teruja dan berbangga kerana Swarovski memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi bagi acara mereka kali ini. Tambahan pula, Pengarah Kreatif Swarovski, Natalie Colin akan terbang ke sini sepanjang acara tersebut diadakan.
“Sebagai tuan rumah, saya mahu pastikan yang pihak Swarovski mendapat layanan terbaik daripada kami. Kemudian, saya juga mahu mereka melihat sendiri bagaimana warga tempatan memilih Swarovski sebagai perhiasan walaupun negara kita bukanlah dikenali sebagai sebuah negara yang mengangkat fesyen sebagai industri utama,” terang Neelofa panjang lebar.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Neelofa memberitahu bahawa jualan barang kemas jenama berkenaan di Malaysia semakin meningkat terutama selepas drama lakonannya, Suri Hati Mr. Pilot mencetuskan fenomena dua tahun lalu.
“Saya diberitahu yang jualan meningkat sejak saya menggayakan beberapa koleksi barang kemas Swarovski sewaktu membintangi drama Suri Hati Mr. Pilot.
“Pada pendapat saya, ia merupakan satu perkembangan yang positif. Mungkin disebabkan jumlah jualan itu juga, Kuala Lumpur dipilih sebagai tuan rumah untuk acara kali ini,” ujar Neelofa sambil tersenyum.
Antarabangsa
Tahun 2018 boleh disifatkan sebagai tahun buat Neelofa untuk keluar daripada kepompong selesa dan mencuba sesuatu yang baharu.
Selain menyandang predikat sebagai duta Lancôme dan Swarovski, Neelofa juga turut disunting oleh jenama terkemuka dunia, Louis Vuitton (LV) untuk membintangi kempen tempatan mereka.
Mengakui masih terkejut apabila didekati oleh jenama unggul tersebut, Neelofa bagaimanapun melahirkan rasa gembira kerana jenama antarabangsa sudah mula memberi ruang buat individu bertudung untuk mengekpresikan imej mereka menerusi fesyen.
“Jujurnya, kolaborasi ini merupakan sebuah kolaborasi yang sangat bermakna buat saya. Ia bukan sebuah kolaborasi yang biasa dilakukan oleh majalah bersama jenama fesyen tetapi ia merupakan sebuah kerjasama antara saya secara terus dengan LV.
“Apa yang lebih menarik, kandungan kempen itu nanti tidak berkisar mengenai dunia glamor mahupun gaya hidup mewah. Sebaliknya, ia merupakan sebuah penceritaan bagaimana saya berhijrah dan membuat keputusan untuk mengenakan hijab.
“Ia merupakan sebuah pengalaman yang sangat manis,” ujar Neelofa sambil memberitahu, kandungan kempen tersebut akan diterbitkan dalam masa terdekat.
Mengikut telahan Neelofa, pemilihannya sebagai wajah kempen Louis Vuitton Featuring Neelofa itu sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada dunia luar bahawa pemakai hijab juga berhak untuk berfesyen.
“Seperti kita sedia maklum, pereka luar negara telah mula membuka mata tentang kelompok muslim yang mengenakan hijab. Lihat sahaja koleksi-koleksi turban yang dipasarkan oleh pereka Marc Jacobs baru-baru ini.
“Begitu juga dengan fenomena yang dicetuskan oleh Halimah Aden, model bertudung yang semakin laris dan diterima di pentas peragaan.
“Justeru, saya lihat kolaborasi ini sebagai pintu untuk mengembangkan fesyen hijab, bukan sahaja di rantau Asia, tetapi di seluruh dunia,” ujarnya dalam nada positif.
Rentetan daripada kolaborasi tersebut, Neelofa mungkin akan diterbangkan ke Paris oleh LV sekitar September depan bagi menghadiri minggu fesyen di sana.
“Jika perancangannya menjadi, saya akan cuba membawa imej berhijab ini untuk menarik perhatian jenama-jenama besar di sana supaya menghasilkan lebih banyak item fesyen untuk digayakan oleh golongan seperti kami,” ujar Neelofa jujur.
Ketika kebanyakan orang sedang sibuk menziarahi sanak saudara sempena ketibaan bulan mulia, Neelofa sudah mula terbang ke luar negara bagi memenuhi tuntutan kerjayanya.