Zizan Razak anjur rumah terbuka hargai peminat


Zizan Razak mengadakan sambutan rumah terbuka di kampungnya di Terengganu.

Selepas dua tahun menyambut Lebaran di Mekah, pelakon dan pelawak, Zizan Razak memilih untuk beraya di kampung halamannya di Terengganu pada tahun ini.

Apa yang istimewanya, pelakon filem KL Gangster itu turut menganjurkan rumah terbuka buat peminat.
“Saya memilih untuk menganjurkan rumah terbuka di Terengganu kerana itu merupakan salah satu cara menghargai peminat yang selama ini banyak memberikan sokongan kepada kerjaya seni saya.

“Jika di Kuala Lumpur, peminat lebih mudah bertemu saya jika terserempak di mana-mana tetapi berbeza di kampung halaman. Pada waktu inilah saya boleh bertemu dan meluangkan masa bersama saudara, rakan dan peminat yang berada di sana,” ujarnya ketika ditemui di Hotel Eastin, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ketika ditanya sama ada dia sudah bersedia untuk berdepan pelbagai soalan wajib berkenaan jodoh ketika Lebaran, Zizan memberitahu sudah lali dengan pertanyaan tersebut.

Baginya, itu merupakan harga yang perlu dibayar sebagai seorang selebriti kerana perlu bersedia mengendalikan sesuatu situasi.

“Saya sudah biasa dengan pertanyaan tersebut. Paling tidak pun, saya hanya akan tersenyum dan saudara-mara juga sudah memahami serta mereka tidak campur tangan sangat.

“Sebagai selebriti, saya perlu bersedia dengan situasi seperti itu selain mengetahui cara untuk mengendalikannya,” kata pelakon filem Abang Long Fadil itu.





Berkahwin

Zizan turut berkongsi khabar gembira apabila memilih untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat selepas 11 tahun bergelar selebriti.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Kita OK tersebut enggan berkongsi gerangan wanita yang mencuri hatinya itu.

“Apa yang saya inginkan selepas 11 tahun bergelumang dalam industri sudah tercapai dan berjalan lancar. Cuma hajat menamatkan zaman bujang, itu sahaja belum diketahui tetapi saya ada merancang untuk berkahwin pada tahun ini atau tahun depan.

“Saya tidak mahu berkahwin atas sebab terdesak dan oleh sebab itu, saya perlu memilih calon yang betul-betul bersesuaian selain memahami saya,” jelasnya.

Kongsi Zizan, sejujurnya dia dalam proses berkenalan sebelum membuat keputusan untuk membawa hubungan tersebut ke peringkat seterusnya.

“Siapa gerangannya biarlah ia menjadi rahsia saya. Saya ada suka seseorang untuk disunting sebagai isteri tetapi tidak mahu memberitahu siapa.

“Saya percaya anda semua tahu siapakah orangnya, cuma saya tidak boleh menyebut nama individu tersebut kerana percaya apa yang berlaku jika tidak mendapat keizinan daripada Allah ia tetap tidak akan berlaku,” ujarnya.

Menyentuh soal perjalanan karier seninya, pelakon Polis Evo itu mendedahkan, dia bakal menjalani penggambaran filem di Indonesia selama seminggu selepas Aidilfitri nanti.

Malah, pembabitan Zizan dalam filem tersebut dipengaruhi oleh laman sosialnya yang membuatkan namanya semakin dikenali di negara seberang.

“Pada zaman sekarang, saya percaya kehidupan berlaku di media sosial dan kita sendiri bergantung pada platform tersebut hampir 75 peratus. Menerusi media sosial itu juga produksi di Indonesia mengenali saya.

“Apabila mendapat peluang sebegini, saya teruja. Apa yang penting, saya tidak mahu mengejar populariti tetapi sebaliknya mementingkan kualiti kerja yang lebih baik,” katanya yang melakukan latihan untuk bertutur dalam bahasa Indonesia bagi menjiwai watak dalam filem tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post