Ibu bapa ikut Shakilla raya di kampung suami


Pelakon Shakilla Khoriri mengambil pendekatan untuk berehat sepanjang Ramadan ini bagi meluangkan lebih masa bersama suami, Fizi Ali yang juga merupakan penyampai radio SuriaFM.

Bagaimanapun para peminatnya masih lagi dapat melihat lakonan Shakilla menerusi beberapa buah drama terbaharunya, antaranya Air Mata Di Bumi Matador, Geng Tadarus, Terjatuh Cinta Cik Sombong dan lain-lain sepanjang puasa puasa dan menjelang Aidilfitri ini.

Bercerita tentang persiapan raya sebagai isteri buat pertama kali, kata Shakilla, dia dan suami tidak mahu berlebih-lebih dan merasakan persiapan mereka masih sama sebagaimana zaman bujang mereka.

“Mungkin sebab ini baru tahun pertama, jadi kami berdua tak rasa beza sangat. Kalau lain sikit pun, mungkin kali ini kami akan turut beli baju raya untuk mertua dan bawa mereka ikut sekali untuk pilih apa yang mereka mahukan.

“Untuk rumah, memang saya tak buat apa-apa persiapan pun kerana kami baru sahaja berpindah ke sini jadi semuanya masih belum teratur lagi.

“Lagi pun pada tahun ini, saya akan beraya di kampung arwah nenek di Kuala Kangsar pada raya pertama dan kemudiannya ikut suami ke kampungnya, Mersing selama beberapa hari,” kongsinya.

Biarpun pertama kali beraya di tempat baharu, kata Shakilla, ia tidak langsung memberi masalah kepadanya kerana kedua ibu bapa dan kakaknya juga akan menyertainya ke Mersing.

“Mula-mulanya saya rasa tak seronok jugalah bila fikir tahun ini saya kena berjauhan dengan kedua ibu bapa saya di hari raya kerana perlu ikut suami beraya di kampungnya.

“Namun selepas ibu menerima cadangan saya turut sama ke Mersing untuk bercuti dan jalan-jalan kata sana, saya terus rasa semangat nak beraya.

“Jadi walaupun hampir seminggu beraya di kampung suami, saya taklah fikir dan risaukan pasal mereka kerana boleh jumpa mereka di sini pada bila-bila masa,” kata anak kedua daripada empat beradik ini lagi.





Berkongsi tentang kehidupannya sebagai isteri selepas berumah tangga lebih tiga bulan lalu, kata Shakilla, dia kini masih dalam proses menyesuaikan diri.

“Kadang-kadang rasa tak percaya yang kami ni dah kahwin kerana masing-masing masih lagi sama macam dulu, kecuali dari segi tanggungjawab yang kini sudah berubah.

“Namun bila hidup bersama ini, mahu tak mahu kita perlu banyak bertolak ansur dan berkongsi apa yang selama ini kita buat sendiri dengan suami.

“Alhamdulillah, suami seorang yang sangat memahami, malah kadang-kala terlalu baik pada saya sehinggakan saya ‘buli’ dia tanpa sengaja. Apa pun, saya harap perjalanan rumah tangga kami akan sentiasa baik dan harmoni,” kata Shakilla.

Post a Comment

Previous Post Next Post