Bukan mudah merelakan hati untuk menjayakan watak seorang pelacur waima ia hanya melalui sekeping naskhah, namun Amyra Rosli cekal hati menerima watak dengan nama Nur itu.
Bagaimanapun, keberanian isteri kepada pelakon Amar Baharin itu bersebab.
Watak Nur yang disandangnya tidak memaksanya untuk berpenampilan seksi, sebaliknya dia melakonkan watak pelacur yang kembali ke pangkal jalan dan mendekatkan diri kepada Allah.
“Banyak sebab saya menerima naskhah ini. Selain ia tidak memerlukan saya berpakaian seksi, saya juga suka dengan penceritaannya yang mampu memberi jentikan kerohanian kepada penonton,” ujarnya yang mengaku turut menerima tawaran berlakon dalam drama itu kerana pengarahnya.
Ternyata tuah memihak kepada pelakon jelita itu apabila drama yang menampilkan kelainan daripada sudut penceritaan itu kini menjadi fenomena dan kegilaan penonton slot Samarinda, TV3.
“Alhamdulillah. Sejujurnya, untuk drama-drama sebelum ini saya sering melakukan homework sebelum menjiwai sesuatu watak. Namun, untuk watak Nur dalam drama Nur ini, saya tidak melakukan sebarang homework kerana percaya dengan kredibiliti pengarahnya, Shahrulezad Mohameddin yang pandai mencorakkan pelakonnya sekali gus menjadikan drama berkenaan seronok ditonton,” ujar Amyra yang mengakui cukup berat baginya untuk menjayakan watak Nur.
Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi, kata pelakon berusia 27 tahun itu, dia terpaksa berlakon di lorong yang kotor dan bermain dengan emosi yang sarat.
“Ini juga merupakan kali pertama saya berlakon tanpa memakai secalit solekan. Saya juga terpaksa menjayakan penggambaran sehingga pukul 5 pagi,” ujarnya yang bersyukur kerana suaminya, Amar Baharin sentiasa memberikan sokongan.
Pada masa sama, Amyra juga bersyukur kerana drama Nur lakonannya selepas melahirkan anak sulung, Aqeef Anaqi mendapat pujian ramai.
Drama Nur yang sedang trending itu mengisahkan tentang Adam (lakonan Syafiq), anak kepada seorang penceramah selebriti terkenal iaitu Datuk Ayah Haji Mukhsin. Adam merupakan satu-satunya anak lelaki kepada Datuk Ayah dan amat terkenal di media sosial dengan kekacakannya.
Setelah Adam menghabiskan pengajiannya di Asia Barat dalam jurusan Usuluddin, dia mula berdakwah di masjid-masjid.
Ketika sesi dakwah, Ustaz Adam sentiasa membuka peluang kepada makmum untuk bertanyakan soalan kepadanya. Pada suatu hari, ketika Ustaz Adam hendak keluar dari masjid, dia bertembung dengan seorang wanita yang sedang menulis sesuatu. Adam mula menyapa lembut wanita itu tetapi dia terus melarikan diri dan meninggalkan sekeping kertas yang mengandungi beberapa soalan yang tidak lengkap.
Pada saat itu, Ustaz Adam mengetahui bahawa wanita yang selalu memberikan soalan-soalan sukar kepadanya adalah Nur, seorang pelacur yang ingin mendekatkan diri kepada agama Allah.
Setelah beberapa kali bersemuka, mereka mula jatuh cinta. Bagaimanapun, hubungan mereka mendapat tentangan hebat daripada keluarga Ustaz Adam dan cemuhan masyarakat.
Itu intipati drama Nur yang kini sedang disiarkan di slot Samarinda, TV3, setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam.
Membariskan pelakon hebat seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Noorkhiriah, Azhan Rani, Zaidi Omar dan Kuna Muzani drama terbitan diterbitkan Radius One Sdn. Bhd. itu menampilkan kisah nilai kekeluargaan, kasih sayang dan kemaafan.