Tumpahan bakat Waris, Iesna


Bagi Iesna, pada bulan Ramadan ini, dia lebih suka memasak di rumah berbanding mengunjungi bazar Ramadan.

Ayat yang dituturkan daripada mulut penyanyi hip hop, Waris dan pelakon baharu, Iesna tersusun kemas.

Biarpun banyak soalan dijawab dalam nada santai, namun Waris dan Iesna tahu bagaimana harus menyaring dan membalas soalan-soalan yang diberi.
Banyak yang dikongsikan dua pelakon filem This Is Pilah: The Movie ini, tentang kepuasan berlakon, menghasilkan lagu dan sisi peribadi masing-masing.

Menumpahkan 100 peratus jiwa mereka ke dalam karya, Waris berharap lagu ciptaannya untuk filem This Is Pilah: The Movie menjadi siulan pendengar. Begitu juga Iesna yang mengharapkan percubaan pertamanya berlakon dalam filem berkenaan yang bakal ditayangkan di pawagam pada 21 Jun nanti mewangikan namanya di persada seni.

Sensasi Bintang menyelami jiwa kedua-dua pelakon ini menerusi ruangan Kopitiam pada minggu ini.

Sensasi Bintang: Kalian bergandingan bersama dalam filem This Is Pilah: The Movie yang bakal menjengah pawagam pada 21 Jun ini. Jadi, boleh kongsikan sedikit mengenai watak masing-masing dalam filem ini?

WARIS: Saya bawa watak artis bernama Waris. Kiranya bawa watak sebagai diri sendiri (ketawa). Pada masa sama, Waris merupakan sepupu kepada Jasni (lakonan Juzzthin). Watak saya hanya sekejap atau dalam erti kata lain kameo. Bagaimanapun, watak saya boleh dikatakan menjadi penyelamat kepada hubungan Jasni dengan kekasihnya yang menghadapi banyak halangan untuk berkahwin.

IESNA: Saya bawa watak sebagai Ara, gadis kampung yang mempunyai cita-cita tinggi. Dia mencintai Jasni, tetapi adat Negeri Sembilan iaitu Perpatih mengatakan mereka tidak boleh berkahwin. Pada masa sama Ara juga mempunyai cita-cita yang ingin dicapai, sebaliknya Jasni pula anak muda yang tidak fikirkan semua perkara itu. Jadi, ada banyak konflik yang terjadi di antara Ara dan Jasni.

Boleh kalian kongsikan cabaran membawakan watak masing-masing?

WARIS: Tiada sebarang cabaran kerana saya hanya menjadi diri sendiri. Cuma, cabaran bagi saya untuk menghasilkan lagu tema bagi filem berkenaan yang mempunyai judul yang sama iaitu This Is Pilah. Saya terpaksa menetap seketika di Kuala Pilah untuk menyelami budaya, makanan dan adat di sana. Walaupun saya berasal dari Rembau tetapi kedua-dua daerah itu sangat berbeza dari segi budaya, adat, makanan dan dialeknya. Saya tulis lirik berdasarkan pengalaman saya meneroka tempat tersebut. Lagu itu juga hasil kerjasama dengan rakyat Kuala Pilah sendiri.

IESNA: Alhamdulillah, berkat pergi ke sesi uji bakat filem berkenaan, saya diterima menjadi heroin filem berkenaan. Sebagai pelakon baharu, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pengarah filem tersebut, Rosdi Md. Dali kerana memilih saya menjadi heroin bagi filem berkenaan. Pengarah, para pelakon dan kru produksi sangat membantu saya menjiwai watak Ara yang berasal dari Negeri Sembilan. Walaupun saya berasal dari Jelebu, namun sejujurnya saya tidak begitu fasih bercakap dalam dialek Minang. Mujur ramai kru yang membantu saya.





Boleh kalian kongsikan mengenai tarikan filem tersebut?

WARIS: Saya rasa lagu tema filem berkenaan istimewa kerana ia menceritakan tentang Kuala Pilah yang barangkali tidak semua orang tahu mengenainya. Walaupun lirik lagu tiada kena mengena dengan penceritaan filem itu, namun siapa yang menontonnya akan berasa dekat.

IESNA: Selain saya dan Juzzthin, filem ini turut dibintangi beberapa selebriti popular seperti Kazar, Joey Daud dan penampilan istimewa daripada Waris serta pendakwah popular, Syamsul Debat.

Selain This Is Pilah, apakah lagi filem, lagu atau projek seni yang sedang diusahakan kalian?

WARIS: Sebelum This Is Pilah, saya pernah berlakon dalam drama Si Kolot Suamiku pada dua tahun lepas. Selepas itu banyak tawaran berlakon saya tolak kerana rasa diri tidak sesuai untuk beraksi di depan lensa kamera drama atau filem. Saya juga tidak dapat memberikan komitmen pada masa penggambaran yang panjang. Kalau sekadar penampilan khas saya okey lagi. Pada masa sama, saya tidak mahu orang kata Waris lari daripada bidang. Jadi, biarlah saya cuma fokus pada bidang muzik.

IESNA: Saya hanya menjadikan bidang lakonan sebagai pekerjaan sampingan. Ini kerana, minat saya lebih cenderung pada bidang pengacaraan.

Boleh kongsikan aktiviti sepanjang Ramadan kalian?

WARIS: Saya yang kini menetap di Negeri Sembilan banyak menghabiskan masa dengan aktiviti sukan memanah dan berkuda. Namun, saya akan berulang-alik dari Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur jika ada kerja seni yang perlu dilunaskan.

IESNA: Jika tiada sebarang promosi filem, saya lebih suka duduk di rumah. Saya juga bukan jenis yang suka pergi bazar Ramadan dan lebih gemar memasak di rumah.

Post a Comment

Previous Post Next Post