Atikah Suhaime lebar sayap ke Indonesia


Masak - Mungkin orang tidak tahu bahawa saya pandai memasak.

Kisah pelakon Atikah Suhaime pernah sepi seketika dalam dunia hiburan tanah air selepas dia terkait dengan kontroversi penyebaran foto bogel miripnya. Apa yang pasti cerita sensasi itu membuatkan Atikah menerima impak yang cukup mendalam.

Mana tidaknya, pernah pulang ke negara kelahirannya, Singapura untuk bekerja sebagai pegawai pemasaran selepas difahamkan tidak menerima sebarang tawaran lakonan selepas kontroversi berkenaan. Sungguh pun begitu, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
Buktinya, pembukaan tahun ini menjadi pintu rezeki buat Atikah apabila dilihat kembali muncul di kaca televisyen selepas kira-kira dua tahun cerita hitam itu menghimpit dirinya.

“Sekarang boleh dikatakan saya membuat kemunculan semula selepas agak lama tidak beraksi di hadapan kamera. Penerimaan dan sokongan daripada orang sekeliling terutama peminat untuk kembali aktif dalam bidang seni selama ini amat saya hargai.

“Saya percaya rezeki itu ada di mana-mana. Bahkan, kini bukan sahaja di Malaysia, saya juga sedang sibuk melebarkan karier saya sebagai pelakon di Indonesia juga,” cerita pelakon berusia 27 tahun itu kepada Sensasi Bintang ketika ditemui sewaktu sesi fotografi baru-baru ini.

Melihat peluang yang datang ini sebagai laluan mudah buatnya menghidupkan semula minat yang pernah terhenti seketika, Atikah memberitahu, dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Justeru, katanya, peluang yang datang tidak mahu disia-siakan.





“Saya tidak pernah meletakkan had untuk berlakon di mana-mana pun, Jadi, apabila diberi kepercayaan untuk memegang watak dalam naskhah di Indonesia, saya cuba berikan yang terbaik. Memang agak sukar pada mulanya kerana perlu bertutur dan melontarkan loghat dalam bahasa Indonesia.

“Bahkan, saya melihat cabaran itu semua sebagai satu proses pembelajaran yang berguna buat saya untuk jadi yang terbaik pada masa akan datang,” kongsinya yang bakal muncul dengan filem Antalogi Rasa.

Jelasnya lagi, buat masa ini, dia perlu berkorban dari segi masa apabila perlu berulang-alik antara Malaysia dan negara seberang. Katanya, ia kerana pada masa sama, dia kini banyak menerima tawaran berlakon di negara ini yang pernah mengangkat populariti namanya sebelum ini.

“Sekarang pun drama lakonan saya bersama Alif S menerusi Klik! Pengantin Musim Salju sedang ditayangkan pada bulan Ramadan ini di saluran Astro Ria.

“Ia merupakan sebuah kerjasama yang menarik apabila buat pertama kali bergandingan dengan Alif dan Siti Nordiana dalam sebuah naskhah,” kongsi tunangan kepada penyanyi Awi Rafael itu.

Bercakap mengenai drama bersiri 20 episod itu, katanya, dia memegang watak Karlisha Zandra iaitu sebagai bekas kekasih Alif Satar dalam cerita tersebut.

“Watak saya itu dipaparkan sebagai individu yang popular di Instagram dan cuba mendapatkan semula kekasih lama saya iaitu lakonan Alif,” katanya yang bakal muncul dengan drama Cinta Tiada Ganti.

Post a Comment

Previous Post Next Post