Ara Johari Bukan yang terakhir


Ara bertuah kerana memiliki dua single lagu yang cukup kuat.

Jiwanya sarat dicengkam selulit emosi yang tidak pernah padam. Bukan genre balada sebegini yang dimahukan figura bernama Ara Johari sebaik menjejakkan kaki ke kancah industri hiburan tanah air sekitar dua tahun sudah.

Andai diturut kata hati, sudah lama pemilik nama sebenar Nurfarrah Izzatie Johari, 21, mahu memperjuangkan genre rock yang menjadi makanannya sejak sekian lama. Cuma kalau sudah namanya rezeki, pesona yang diterjemahkan dua untaian lagu berjudul Warkah Untukku dan Bunga dihadam dengan sebaik mungkin.
Kini, Ara benar-benar nekad. Kendatipun sudah sinonim dengan sentuhan Hang Nadim menerusi kedua-dua lagu berkenaan, sudah tiba masanya Ara mencuba sesuatu yang baharu bersama komposer berbeza.

Lebih istimewa, single ketiga yang belum mempunyai judul dan dijangka dilancarkan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini itu juga bakal menyerlahkan potensi Ara sebagai penulis lirik.

“Sudah tentu saya sangat risau apabila tampil dengan genre berbeza, selama ini genre balada, namun tiba-tiba bertukar pop rock pula.

“Ada dua saja kemungkinan yakni peminat terima atau tidak, tetapi apa salahnya mencuba walaupun sudah selesa bersama Hang Nadim selama ini,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Cuma pada masa sama, Ara tidak menolak kemungkinan untuk kembali bekerjasama dengan Hang Nadim untuk lagu-lagu yang akan datang.

“Ia bukan yang terakhir, kami masih boleh bekerjasama untuk lagu seterusnya. Lagu rock sememangnya makanan saya, jadi mahu fokus dengan lagu yang lebih rancak,” ceritanya lagi.

Sebagai jaminan buat peminat daripada seorang individu bernama Ara, dia juga memasang impian untuk keluarkan lagu-lagu yang berkualiti dan bukan sekadar tular serta tidak sesuai dengan gaya nyanyiannya.

“Saya tidak suka berputus asa, yang penting kualiti lagu dan bukannya pengaruh sang komposer. Saya yang nak menyanyi, jadi harus kena dengan jiwa,” jelasnya.





Tebus kegagalan

Masih sibuk menyusun percaturan karier terutamanya melunaskan rangkaian promosi lagu Bunga, Ara juga memiliki sentimen peribadi terhadap lagu berkenaan.

Ini kerana, Ara memasang hasrat untuk memastikan lagu berkenaan dijadikan medan untuk menebus kegagalan single Warkah Untukku pada Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun lepas.

“Suara benar-benar tidak okey pada waktu itu, sekali gus gagal memberikan yang terbaik. Jadi, saya mahu benar-benar menjaga daripada A ke Z kali ini.

“Ketika itu, suara semakin serak dan sudah ambil suntikan pun tidak pulih sepenuhnya. Cuma, saya menganggapnya sebagai dugaan dan terima rezeki setakat itu seadanya,” ujarnya.

Tanpa berselindung, Ara juga mengakui dirinya memang cukup bertuah apabila kekuatan lagu Bunga di atas kertas dilihat berjaya menyaingi kekuatan lagu Warkah Untukku.

“Single kedua sangat sukar untuk hit dan saya risau dianggap sekadar one hit wonder. Cuma, sebaik mendengar lagu Bunga, saya sudah tahu ia memang cukup kuat dan bersetuju merakamkan lagu berkenaan.

“Secara peribadinya, saya lebih menyukai lagu Bunga berbanding Warkah Untukku, sambutannya juga lain macam dalam kalangan peminat yang suka menyanyi bersama-sama saya dalam mana-mana persembahan. Namun, kedua-duanya masih lagu yang bagus,” ceritanya lagi.

Dilamar peminat
Cukup berbicara soal karier, Ara juga berkongsi rahsia ada peminat yang melamarnya untuk dijadikan isteri menerusi khidmat pesanan peribadi di laman Instagram.

“Ada peminat ajak kahwin dan sebagainya, ramai juga yang mencuba. Bukan tidak membuka hati untuk bercinta, namun saya masih muda dan baru berusia 21 tahun.

“Disebabkan saya bermula dari bawah, ada baiknya saya memikirkan segala-galanya tentang keluarga. Rugi jika saya sia-siakan setiap peluang ini,” getusnya.

Ungkap Ara, perwatakan berbeza setiap individu yang cuba mendekatinya juga mematangkan dirinya ketika berkawan.

“Saya sentiasa membuka hati dan ruang, namun belum ada yang benar-benar serius untuk bercinta,” ujarnya menguntum senyum.

Ara memberitahu, dia juga sangat selesa dengan setiap pemain industri terutamanya senior yang benar-benar memberikannya motivasi dan nasihat.

“Ia bergantung kepada usaha dan sikap. Jika tidak pandai membawa diri, tidak mustahil ramai yang tidak suka.

“Masing-masing juga ada kelebihan dan kelemahan, jadi harus saling menghormati,” jelasnya.

Tatkala bercerita mengenai keperihalan dirinya yang barangkali tidak diketahui umum, ini jawapan jujur Ara.

“Saya sangat suka berenang, namun cukup fobia dengan katak, jarum dan laut. Pada masa sama, saya juga suka memasak terutamanya tom yam dan sambal udang.

“Selain itu, saya juga diibaratkan seperti iguana, nampak saja ganas, namun sebenarnya cukup manja,” ungkapnya melentur tawa seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post