Pelakon Adam Shahz, 37, berpendapat pengguna yang menggunakan khidmat Grab dengan mendaftar emel serta pautan ke laman sosial mereka tidak menjamin keselamatan pemandu Grab.
Adam, memandu Grab sejak setahun lalu berkata, sebagai pemandu dia perlu menyediakan butiran terperinci sebelum layak bergelar pemandu perkhidmatan pengangkutan itu.
"Sepatutnya sebagai 'rider' atau penumpang, mereka perlu berbuat demikian bagi menjamin keselamatan kedua belah pihak atau pun boleh diguna pakai untuk membuat tuntutan sekiranya sesuatu yang buruk berlaku.
"Kes kematian melibatkan pemandu Grab mungkin yang pertama berlaku di negara ini akan tetapi kes-kes seperti rompakan sudah banyak kali berlaku tetapi tiada apa-apa tindakan boleh diambil jika penumpang menggunakan akaun palsu," katanya.
Adam turut mempersoal dimanakah keadilan buat pemandu yang umum tahu kebanyakkannya terpaksa bekerja hingga awal pagi.
Pelakon filem Juvana itu mengakui pernah mendapat 'ping' atau permintaan atas talian daripada penumpang menggunakan nama samaran tetapi apabila sampai di lokasi, pelanggan itu berada dalam keadaan mabuk.
Katanya, dia terpaksa membatalkan permintaan kerana boleh mengundang bahaya.
"Saya berharap pihak pengurusan Grab mengambil langkah serius menjaga keselamatan pemandu kebanyakannya adalah ketua keluarga, suami, ayah, ibu, isteri atau anak kepada seseorang yang menanti mereka di rumah dengan penuh harapan mereka ini selamat kembali," katanya.
Luahan Pelakon Baharu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 itu adalah susulan kes seorang pemandu Grab yang ditemui mati dipercayai akibat dijerut, Sabtu lalu.
Mangsa, Aiman Nosri,27, ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh di dalam kereta miliknya di kawasan parkir Taman Selayang Makmur, Selayang, Gombak, semalam.
Dalam kejadian 8.20 malam itu, mangsa berasal dari Nilai, Negeri Sembilan, ditemui di tempat duduk belakang kereta Perodua Myvi terbabit.
Ketika ditemui, lelaki itu dalam keadaan terlingkup dengan bahagian kepala mengenai lantai kenderaan itu manakala kakinya di atas.