Sarimah Ibrahim sedia timang cahaya mata


Bagi setiap pasangan berkahwin, tentu mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri dalam rumah tangga yang dibina.

Namun apabila berbicara soal zuriat semuanya bergantung kepada rezeki yang telah ditetapkan Allah, cuma sebagai manusia kita perlulah berusaha dan sentiasa bersangka baik dengan-Nya.

Itulah pegangan yang disimpan kemas oleh pelakon, pengacara dan penyampai radio Sarimah Ibrahim apabila setiap kali persoalan tentang zuriat diajukan kepada dirinya.

Bernikah dengan Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar sejak tahun 2015, akui Sarimah pada usia mencecah 40 tahun kini beliau kini sudah bersedia untuk menimang cahaya mata.

Kongsi Sarimah, beliau juga sudah melafazkan janji kepada belahan hatinya untuk memperlahankan aktiviti seni demi memberi laluan kepada usaha untuk mendapatkan anak.

“Selepas tamat penggambaran program bual bicara The Sarimah Show tahun lalu, fokus saya beralih kepada dunia perniagaan pula. Saya gembira dengan pilihan ini kerana melakukannya dengan ikhlas.

“Lagipun saya sedar, sudah tiba masanya untuk fokus kepada keluarga dan berusaha untuk mendapatkan zuriat sebab terlalu bekerja keras sebelum ini,” kongsinya membuka bicara.

Mendedahkan telah menjalani ujian kesuburan bersama suami dan doktor mengesahkan kedua-duanya sihat tanpa sebarang masalah, Sarimah juga pernah terfikir untuk cuba kaedah kehamilan secara In Vitro Fertilisation (IVF).

Wanita berdarah kacukan Melayu-Irish itu turut mendapatkan nasihat daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza yang sebelum ini berjaya mendapatkan cahaya mata melalui kaedah IVF selepas 11 tahun usia perkahwinannya.

“Saya pernah bertanya kepada Siti tentang kaedah yang dijalaninya. Memang sedikit gementar kerana perlu melalui kaedah yang begitu mencabar selain akan diberi beberapa siri suntikan.

“Usia perkahwinan kami baru tiga tahun berbanding penantian Siti yang sudah 11 tahun menunggu. Bagaimanapun, sekiranya perlu saya dan suami akan menjalani kaedah itu sebab teknologi sudah ada, cuma kita sahaja yang perlu lebih berusaha,” ujarnya lagi.

Ditanya adakah beliau berasa tertekan apabila sering diasak tentang persoalan zuriat, sambil tersenyum wanita itu mengangguk seraya mengiyakan perasaan yang ditanggung.

“Benar, saya sangat tertekan dan hal ini menguji kesabaran. Bayangkan, saya ditanya seperti kami tidak pernah berusaha apa-apa.

“Sebolehnya saya dan suami akan berfikiran positif dan tidak mahu terlalu memikirkan hal ini. Saya juga sentiasa mengingati pesan Siti agar sentiasa bersangka baik dengan Allah,” katanya.

Tolak ansur

Tempoh tiga tahun melayari bahtera rumah tangga bersama cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman itu, sengaja kemudian Sarimah ditanya mengenai kehidupannya sekarang.

Berkongsi rahsia, Sarimah memberitahu beliau sentiasa mengamalkan prinsip tolak ansur dengan sang suami jika berlaku perbalahan.

“Pada tahun pertama perkahwinan, suami sering mengalah dengan saya dalam segala hal. Selepas itu, dia menukar taktik dan sebagai isteri saya perlu memainkan peranan.

“Kehidupan kami juga sama seperti pasangan suami isteri lain. Kami bergaduh, merajuk dan kemudian saling memaafkan kesilapan.

“Apabila sudah berkahwin saya perlu sentiasa menjaga hati dan memikirkan perasaan pasangan setiap kali hendak melakukan sesuatu hal. Paling utama antara kami tidak boleh terlalu ego kerana ia tidak akan mendatangkan hasil,” katanya tersenyum.





Cabaran

Terus melanjut bicara, Sarimah turut berkongsi tentang dunia perniagaan yang baru diceburi. Sebagai permulaan, beliau melancarkan produk kosmetik dengan jenama Thrill yang terdiri daripada bedak asas dan bedak kompak.

Begitupun, dalam keterujaan melancarkan buah tangan baharunya itu, Sarimah juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa penipuan pengilang yang tidak bertanggungjawab.

“Di Malaysia tiada tempat khusus yang boleh kita pergi untuk membuat kajian mendalam tentang penghasilan sesuatu produk. Disebabkan itu, saya meminta pertolongan rakan untuk berjumpa pengilang yang bersesuaian dengan produk yang saya ingin keluarkan.

“Selepas beberapa siri perbincangan, saya bersetuju dengan harga yang mereka tawarkan, tetapi berasa tidak sedap hati dengan hasil produk yang disediakan.

“Saya bawa produk itu ke Singapura untuk mengkaji mengenai kandungan di dalamnya dan begitu terkejut kerana ia tidak seperti yang dijanjikan oleh pengilang itu,” katanya yang kerugian hampir RM40,000.

Tidak mahu memanjangkan isu berkenaan, kongsinya, hikmah daripada kejadian itu beliau dipertemukan dengan pengilang yang benar-benar diyakini mempunyai sijil halal dan mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tujuan utama produk ini dikeluarkan berpunca daripada masalah kulit yang saya alami sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jadi saya juga ingin membantu mereka yang bermasalah dengan kehadiran produk ini.

“Sebenarnya, ia bukan sekadar jual kemudian dapat untung, tetapi kepuasan buat saya terutama selepas mendapat maklum balas positif daripada beberapa testimoni yang sudah mencuba produk ini,” katanya.

Boleh didapati hanya di platform beli belah dalam talian Lazada, bedak asas Thrill dijual dengan harga RM95, manakala bedak kompak pula berharga RM90.

Dikenali sebagai seorang wanita bekerjaya yang begitu sibuk dengan rutin harian sebagai pelaku seni, kini selepas tiga tahun melayari alam rumah tangga, Sarimah Ibrahim tekad untuk memperlahankan kerjaya seni demi memberi tumpuan kepada keluarga.

Post a Comment

Previous Post Next Post