Kisah ponteng puasa Shukri Yahaya


Kerjaya sebagai pelakon kelihatan mudah terutama buat pelakon bertaraf profesional mahupun kelas A. Namun, di sebalik dunia kaca televisyen itu, khalayak mungkin tidak mengetahui cabaran yang perlu dilalui oleh artis terutama menjalani penggambaran pada bulan Ramadan.

Biarpun pihak produksi tidak bersikap kejam dengan ‘mendera’ para pelakon untuk beraksi di bawah terik mentari apatah lagi melakukan adegan lasak yang melelahkan, tetapi ia tetap memenatkan apatah lagi bagi individu yang baru berdepan dengan rutin sebegitu.

Perkara sama turut dihadapi oleh pelakon popular, Shukri Yahaya. Tanpa berselindung, Shukri memberitahu tidak betah menjalani penggambaran pada bulan Ramadan.

Perasaan kekok itu dirasainya sewaktu awal pembabitan dalam industri seni sekitar lapan tahun lalu. Disebabkan bukan menjadi kebiasaan buat dirinya, Shukri akui dia pernah tidak berpuasa sewaktu berada di lokasi.

“Sejujurnya, saya mengakui pernah ponteng puasa ketika berada di lokasi penggambaran. Disebabkan masih tidak biasa menjalani rutin sebegitu, saya mudah berasa penat.

“Begitupun, saya telah mengganti semula puasa yang tertinggal dan mula belajar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan berada di lokasi sewaktu bulan Ramadan,” terang Shukri atau nama lengkapnya, Mohd. Shukri Yahaya.

Disoal mengenai pengakuan terbuka itu, Shukri sempat melemparkan senyuman sebelum melontarkan jawapan. Baginya, kejadian yang berlaku merupakan proses pembelajaran agar dia menjadi lebih matang selain tidak lagi mengulang kesilapan sama.

“Mungkin agak memalukan untuk mengakui tetapi kejadian itu berlaku dalam realiti kehidupan saya. Segala yang terjadi biar dijadikan sebagai pengajaran agar ia tidak berulang di kemudian hari,” luah pelakon filem Sembunyi: Amukan Azazil itu.





Antagonis

Bertemu pada acara anugerah Festival Drama Kuala Lumpur 2018 (DFKL 2018), Shukri yang juga penerima trofi Antagonis Pilihan menerusi drama rantaian Andainya Takdir teruja dengan pengiktirafan tersebut.

Membawakan watak sebagai Airil, naskhah tersebut secara tidak langsung memberikan peluang buat dirinya membawa pulang anugerah antagonis pertama.

Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Shukri mengharapkan ia menjadi permulaan bagi dirinya melakukan eksperimentasi untuk lari daripada bayangan watak hero romantik.

“Kadang-kala saya sendiri berasa kurang selesa apabila dilabelkan sebagai lelaki romantik selain kerap terlibat dalam naskhah berbentuk cinta.

“Apabila diberi peluang membawakan watak jahat, ia bagai satu lembaran baharu meskipun pada awal kemunculan saya kerap membawa karakter sebegitu. Namun, ketika itu khalayak kurang memberi perhatian,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Dalam pada itu, dia turut tidak mempunyai masalah untuk melakonkan watak jahat pada masa akan datang selain berdepan dengan ‘kebencian’ masyarakat.

“Pada saya, karakter yang mengundang kebencian khalayak itu mencerminkan kebolehan seseorang pelakon menterjemahkan watak dengan berjaya,” jelasnya.

Pada masa sama, Shukri mengharapkan agar peluang membawakan watak antagonis membolehkan dirinya mencabar kemampuan diri agar lebih versatil.

Post a Comment

Previous Post Next Post