Uzur Jet Li tidak menderita


Ketika gambar terbaharu bintang filem aksi, Jet Li tersebar di internet baru-baru ini, ramai peminatnya melahirkan rasa terkejut.

Hal ini kerana, rupa paras aktor kelahiran China yang berusia 55 tahun itu kelihatan jauh berbeza jika dibandingkan dengan sebelum ini.

Menerusi gambar yang diambil ketika Jet Li sedang melawat sebuah kuil di Tibet tersebut, kulit wajahnya dilihat dipenuhi dengan kedutan-kedutan kecil sementara hampir separuh bahagian kulit kepalanya pula tidak lagi ditumbuhi rambut.

Mengakui kesihatannya semakin merosot akibat penyakit hipotiroidisme dan masalah tulang belakang, aktor berkata, dia tidak lagi mampu untuk berlakon dalam filem-filem bergenre aksi dan berkemungkinan akan mengalami lumpuh suatu hari nanti.

“Sekitar beberapa tahun lalu, saya dapati kesihatan saya tidak mengizinkan untuk berlakon adegan yang ekstrim.

“Pada tahun 2013, doktor sudah memberi peringatan kepada saya untuk berehat. Katanya, jika berdegil dan terus berlakon filem aksi, saya mungkin akan bergantung dengan kerusi roda pada masa akan datang,” katanya kepada South China Morning Post.

Umum

Sekitar tahun lalu, pelakon Expendables 2 itu pernah memberitahu kepada peminat mengenai penyakit yang dihidapinya secara terbuka.

Menurut Jet Li, dia telah cuba sedaya upaya untuk mengubati penyakit tersebut dengan mengambil pelbagai jenis ubat. Namun, usahanya gagal.

“Saya hanyalah lelaki biasa. Saya bukan Wong Fei-hung atau Huo Yuanjia (watak-watak pahlawan kung fu yang dijayakannya dalam filem terdahulu). Saya sama seperti kamu,” katanya sayu.

Rata-rata peminat melahirkan rasa sedih apabila melihat penampilan terkini bintang yang pernah menjadi idola mereka. Mereka berkata, aktor itu kini mirip lelaki tua walaupun dahulunya cukup terkenal sebagai seorang pelakon aksi yang cukup berwibawa.

Biarpun nasibnya sebagai pelakon masih di luar duga, namun, Jet Li yakin pada dirinya masih bersemangat untuk bekerja.





“Saya sakit, tetapi tidak menderita. Saya kini gembira,” katanya menutup perbualan.

Jet Li mula menempa nama sebagai pelakon pada 1982 menerusi filem Shaolin Temple. Pada tahun 1998, dia melakukan kemunculan perdana di Hollywood menerusi filem Lethal Weapon 4.

Dua tahun kemudian, Jet Li menerima tawaran untuk memegang watak utama dalam Romeo Must Die di samping mendiang Aaliyah.

Sejak itu, nama Jet Li mekar di Hollywood menerusi penglibatannya dalam beberapa filem pecah panggung seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000) dan The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor (2008).

Kali terakhir Jet Li memegang watak utama adalah menerusi watak Jiang Ziya dalam filem League Of Gods yang ditayangkan pada tahun 2016.

Post a Comment

Previous Post Next Post