Selebriti serba boleh, Ahmad Nabil Ahmad memberitahu, dia akan berangkat ke Mekah bagi mengerjakan ibadah Umrah pada 10 malam terakhir Ramadan bermula 7 Jun depan.
Menurut figura berusia 34 tahun ini, dia merasa bertuah kerana diberi kesempatan oleh ALAH SWT ke Tanah Suci buat kali keempat berturut-turut.
“Alhamdulillah ALAH SWT permudahkan urusan dan murahkan rezeki saya untuk kembali ke Tanah Suci dan saya memang sentiasa ternanti-nanti untuk kembali ke sana.
“Apatah lagi, setiap kali pulang perasaan rindu itu semakin menebal dan bila diberi kesempatan lagi ke sana, saya mahu ambil peluang untuk beribadat dan memperbaiki diri,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran wajah kempen Jakel Barulah Raya pada Sabtu.
Antara selebriti lain yang turut dilantik sebagai wajah kempen tersebut ialah Ayda Jebat, Aaron Aziz, Awal Ashaari, Scha Al Yahya, Hanis Zalikha, Hairul Azreen dan Upin Ipin.
Tambah pengacara MeleTop ini, dia akan ke sana ditemani oleh isterinya, Nazirah Ayub.
Bagaimanapun kedua-dua puterinya, Nayra Mikaila, 5, dan Layla Damita, 3, tidak ikut serta.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, saya rasa bukan masa yang sesuai untuk membawa mereka, lagi-lagi pada 10 malam terakhir sebab orang sangat ramai.
“Lagipun mereka masih kecil, jadi lebih baik saya pergi dahulu bersama isteri,” jelasnya.
Nabil berkata, demi memastikan dia dapat beribadat dengan tenang, dia akan menyelesaikan segala kerjanya sebelum bergerak ke Mekah.
“Macam tahun lepas saya dapat tahu berpeluang ke sana pada saat akhir. Tapi tahun ini, saya sudah susun kerja saya sejak bulan Februari lagi.
“Boleh dikatakan untuk awal Ramadan, saya pulun siapkan kerja dan semua tugas saya di sini hampir selesai. Insya-ALLAH saya akan pulang pada 14 Jun,” katanya.