Shukri Yahaya rela dikecam!


Pelakon kacak, Shukri Yahaya memang terkenal dengan penampilan romantis di kaca televisyen sehinggakan ramai wanita yang cair dengan wajahnya yang kacak dan senyumannya yang manis.

Justeru tidak hairanlah jika di majlis yang sama tahun lalu, Shukri berjaya menggondol dua kategori iaitu Aktor Pilihan dan Pasangan Pilihan bersama Siti Saleha menerusi drama popular ‘7 Hari Mencintaiku’.

Namun baru-baru ini, pemilik nama Mohd Shukri Yahaya, 29, berjaya membuktikan pula bahawa dia bukan sekadar bergantung pada wajah tampan dan watak romantis semata-mata. Shukri berjaya membawa pulang kategori Antagonis Pilihan menerusi drama Andainya Takdir sekali gus menewaskan sembilan pesaing lain.

Menurut Shukri, anugerah yang dimiliki ini membuktikan bahawa dia mampu membawakan pelbagai watak termasuklah watak yang mengundang kebencian di hati penonton.

"Sebelum ini, saya sering dianggap hanya mampu bawa watak yang baik atau romantik sahaja. Maka alhamdulillah, menerusi anugerah Aktor Antagonis Pilihan, saya mahu buktikan kepada masyarakat bahawa kami sebagai seorang pelakon boleh membawakan apa sahaja watak yang diberikan atau dimahukan.

"Untuk watak dalam drama Andainya Takdir, ia adalah antara watak yang paling jahat pernah saya lakonkan. Bila dapat watak tu, saya buat sehabis baik.

“Menariknya menerusi drama ini, penonton dan penerbit sudah mula membuka mata serta mempercayai kekuatan bakat saya.

“Pun begitu, sehingga kini, saya masih terus mencuba untuk buktikan saya boleh menjadi seorang pelakon versatil dan bukan pelakon stereotaip. Saya akan terus berusaha mencari kelainan dalam lakonan kerana mahu berjaya seperti idola saya, Datuk Rosyam Nor dan Shaheizy Sam,” ujarnya sambil tersenyum.





Rela dikecam

Membawakan watak antagonis, pastinya risiko yang dihadapi adalah dikecam peminat drama tersebut. Pun begitu, bagi Shukri dia tidak kisah jika mendapat kecaman daripada netizen.

"Selalunya artis mengharapkan komen yang baik-baik, namun bagi saya, jika dapat komen negatif tahap ekstrem daripada penonton, saya rasa lagi seronok

“Saya memang tak kisah dikecam sebab jarang dapat watak macam ini. Bagi saya, semua orang yang bergelar pelakon memang menginginkan kerana dapat menguji lebih lagi bakat lakonan mereka.

“Jika diberi peluang untuk melakonkan watak antagonis lagi saya akan terima," katanya.

Terdahulu anugerah berprestij Drama Festival Kuala Lumpur 2018 telah menyaksikan drama Dekatkan Jarak Kita terbitan JS Pictures Sdn Bhd diangkat sebagai Drama Pilihan, Ahad lalu.

Acara berprestij itu turut menobatkan dua bintang terkenal iaitu Zul Ariffin, Janna Nick sebagai Aktor dan Aktres Pilihan. Manakala, Pasangan Pilihan menerusi lakonan drama Dekatkan Jarak Kita milik pelakon Ayda Jebat dan Syafiq Kyle.

Mengakhiri temu bual bersama pelakon ini, dia juga berharap agar penonton dapat menerima lakonan antagonisnya untuk projek seterusnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post