Maria Farida berehat selama setahun


Pelakon Datin Seri Maria Farida yang sinonim dengan watak antagonis dalam drama tempatan sudah lama tidak muncul di kaca televisyen. Bukan ketiadaan tawaran lakonan, sebaliknya wanita berusia 48 tahun itu mengambil keputusan untuk berehat selama setahun daripada kerjaya seni demi memberi tumpuan kepada proses kajian dan pembangunan (R&D) produk kosmetik keluarannya bawah jenama MF Cosmetique.

Menurut Maria yang ditemui usai majlis pelancaran kosmetiknya baru-baru ini, keputusannya untuk berehat selama setahun berbaloi apabila dia berjaya menghasilkan produk berkualiti setanding dengan jenama antarabangsa dengan harga hanya RM198.

Kini, meskipun sibuk dengan perniagaan, Maria sudah bersedia untuk kembali mewarnai dunia lakonan. Katanya status sebagai ahli perniagaan dan isteri kepada Datuk Seri Abd. Rahman Shakur bukan penghalang untuknya meneruskan kerjaya seni seperti biasa.

Selain itu, Maria juga enggan berbicara lanjut mengenai kes saman fitnah yang dimenanginya kerana ia masih belum selesai sepenuhnya.

KOSMO!: Bagaimanakah idea untuk menghasilkan produk kosmetik ini timbul?

Maria Farida: Sebenarnya sejak dari dahulu saya menyimpan impian untuk mengeluarkan produk kosmetik sendiri. Namun, disebabkan sibuk dengan kerjaya lakonan impian itu tertangguh sehingga saya berkahwin pada tahun 2015. Selepas berkahwin, saya rasakan ia waktu yang tepat. Jika tidak dilakukan sekarang, mungkin impian tersebut akan berkubur begitu sahaja.

Mengapa selepas berkahwin baru anda berani untuk menceburkan diri dalam perniagaan?

Sebelum ini saya seorang diri dan tidak ada orang yang boleh dibuat rujukan. Sebaik berkahwin, saya ada suami yang memberikan sokongan, selain beliau juga berpengalaman luas dalam bidang pemasaran. Beliau banyak membantu daripada segi nasihat dan saya tidak berasa keseorangan dalam mencapai impian untuk menghasilkan produk sendiri.

Mengapa anda memilih untuk mengeluarkan palet alat solek berbanding produk lain?

Jika hendak berniaga pilihlah perniagaan yang kita benar-benar arif. Saya memang penggemar dan pemakai alat solek daripada zaman anak dara sehingga hari ini. Jadi, sebab itu saya pilih untuk mengeluarkan produk alat solek kerana kesannya boleh dilihat segera berbanding produk lain yang memakan masa agak lama. Alat solek boleh membuatkan wajah anda segar dan boleh dipakai oleh semua peringkat usia bermula daripada remaja.

Apakah cabaran yang dilalui untuk mengeluarkan produk berkenaan?

Mencari kilang di Malaysia yang boleh membuat saiz palet dan kualiti yang diinginkan merupakan satu cabaran besar. Baru saya tahu, mengapa tidak ada orang menghasilkan palet yang mengandungi semua asas barang solekan seperti pembayang mata, pemerah pipi, bedak asas, penggaris mata dan kening.

Hal ini kerana tiada kilang yang mengeluarkan palet sebegitu. Sebab itu, saya mengambil masa setahun kerana terpaksa menempah khas daripada beberapa buah kilang berbeza untuk menghasilkan satu palet yang dinamakan Glamrush ini.





Bagaimana untuk mendapat produk tersebut?

Mereka yang ingin mendapatkan produk Glamrush boleh membeli secara online di www.mfcosmetique.com atau agen terpilih dengan harga RM198.

Adakah anda takut tua dan kedutan pada wajah?

Saya sudah berusia 48 tahun, tidaklah muda lagi. Sejujurnya saya juga takut tua dan kedutan sama seperti wanita lain. Cuma sebagai manusia kita tidak boleh mengelak proses penuaan kerana ia tetap akan berlaku.

Jadi, nikmati proses penuaan dengan lapang dada. Soal awet muda, saya tiada rahsia. Saya tidak menyuntik wajah atau memakan jamu. Cukup dengan penjagaan dan pembersihan wajah yang betul selain mengamalkan makanan seimbang.

Bagaimanakah dengan kerjaya lakonan anda selepas ini?

Selepas pelancaran produk kosmetik ini, saya bersedia untuk kembali berlakon. Sebenarnya walaupun berehat selama setahun, saya masih menerima tawaran lakonan seperti biasa. Cuma disebabkan kesibukan dengan perniagaan yang baru hendak bermula, saya terpaksa menolak tawaran lakonan. Insya-Allah selepas ini peminat akan dapat menyaksikan wajah saya dalam drama televisyen seperti biasa.

Mungkin anda boleh berkongsi tentang perkembangan kes saman fitnah yang dimenangi?

Memang saya memenangi kes saman fitnah tersebut. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan kedua-dua defendan (Hadijah Mohamed Mokhtar dan anak perempuannya, Nur Shazleen Anis Mohd. Yusoff) membayar ganti rugi sebanyak RM400,000 serta kos RM50,000.

Cuma kes tersebut masih belum selesai sepenuhnya. Saya juga belum mendapat apa yang dikehendaki dan telah menyerahkan tindakan selanjutnya kepada peguam. Saya enggan mengulas lanjut dan hanya ingin meneruskan kehidupan dengan gembira.

Post a Comment

Previous Post Next Post