
Kedatangan Ramadan pada tahun ini menjanjikan kelainan buat pasangan selebriti, Shuib Sepahtu dan Siti Sarah Raisuddin.
Tahun ini, pasangan romantik itu menyambut kedatangan bulan mulia di Tanah Suci Mekah selepas berangkat mengerjakan umrah pada 14 Mei lalu.
“Kami merancang untuk mengerjakan umrah pada Disember tahun lalu tetapi ditangguhkan kerana banyak komitmen. Siti Sarah juga terlibat dalam program Mentor Otai.
“Bagaimanapun, kali ini kami berpeluang merasai pengalaman berpuasa di sana dan perasaan itu sukar digambarkan,” jelas Shuib.
Sebelum ini, Siti Sarah pernah mengerjakan umrah iaitu pada tahun 2005, manakala buat Shuib pula ia menjadi pengalaman pertama.
“Sudah tentu saya berasa gementar dan teruja,” jelas Shuib ketika ditemui pada majlis doa selamat dan kesyukuran di kediamannya di Puchong, Selangor baru-baru ini.
Tinggal
Ditanya soal pemergian ke Mekah buat kali pertama sebagai pasangan suami isteri tanpa disertai anak-anak, Siti Sarah memberitahu, mereka mahu merasai pengalaman dan persekitaran di sana terlebih dahulu sebelum rezeki dikongsi dengan anak suatu masa kelak.
Mulanya Shuib mahu membawa anak-anak mereka iaitu Uwais Alqarni, 7, Dzahira Talita Zahra, 4, dan Ariq Matin, 2, untuk turut serta tetapi kemudiannya memilih untuk pergi bertiga sahaja iaitu bersama ibunya buat masa ini.
“Anak pertama dan kedua menangis apabila mendapat tahu bakal ditinggalkan bersama datuk mereka selama 14 hari,” ujar Sarah sambil memberitahu baru kali ini mereka berpisah lama dengan anak-anak.
Bercerita tentang Ramadan pula, Shuib memilih untuk berehat daripada tuntutan kerjaya seni sepanjang bulan ini.
Jelasnya, dia memilih untuk berehat selepas 11 bulan bekerja kerana menyifatkan Ramadan masa yang paling sesuai untuk berbuat begitu, tambahan lagi boleh fokus terhadap perniagaan dan keluarga.
Situasi Shuib berbeza dengan Siti Sarah kerana penyanyi itu perlu menjalani latihan demi mempersiapkan diri untuk persembahan mini yang dijadualkan berlangsung pada 6 Julai depan di Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur.
Bercerita berkenaan perniagaan pula, Shuib tidak menyangka menerima sambutan luar jangkaan bagi perniagaan madu yang diusahakan sejak lima bulan lalu.
“Saya juga membuka sebuah agensi pelancongan. Siti Sarah pula mempunyai perniagaan sabun jenamanya. Jadi, itu fokus kami selepas balik daripada mengerjakan umrah,” tutup Shuib.