Izzue Islam sabar tunggu rezeki anak


Kurang sebulan lagi, genaplah lima tahun usia perkahwinan pelakon dan penyanyi kacak, Izzue Islam dengan isteri tercinta, Nurinafilah Waharudin atau lebih dikenali dengan panggilan Awin. Dalam tempoh itu jugalah, kedua-dua pasangan ini menjalani rutin kehidupan bahagia berumah tangga sama seperti insan lain.

Cumanya, pelakon berusia 28 tahun ini boleh dikatakan lebih cukup bertuah. Ini kerana, dia mempunyai kelebihan tersendiri berbanding kebanyakan pasangan suami isteri lain di luar sana. Mana tidaknya, boleh dikatakan hampir setiap masa, Izzue sentiasa ditemani isteri tercinta sama ada pada waktu kerja atau di luar waktu kerja.

Ini kerana, selain bergelar isteri, Awin juga merupakan pengurus kepada Izzue dalam menyusun atur kerjaya seninya sejak berkecimpung dalam dunia hiburan tanah air kira-kira hampir sedekad yang lalu. Sebagai suami, pelakon filem Aliff Dalam 7 Dimensi ini bersyukur dipertemukan dengan isteri tercinta yang banyak memberi sokongan dan sentiasa berada disisinya.

Tunggu rezeki anak

Seperti pasangan suami isteri lain juga, kata Izzue, dia juga mempunyai impian untuk memiliki cahaya mata bersama insan tersayang. Bagaimanapun, itu semua di luar bidang kuasanya. Baginya, soal anak merupakan ketentuan rezeki yang ditentukan Allah.

Justeru katanya, apa yang boleh dilakukan hanyalah dengan terus berusaha dan yakin dengan kurniaan teragung yang sering dinantikan oleh pasangan suami isteri.

“Saya yakin dengan perancangan Allah. Soal anak ini merupakan soal rezeki. Insya-Allah, satu hari nanti kami akan dikurniakan dengan cahaya mata.

“Buat masa ini walaupun usia perkahwinan sudah mencecah lima tahun, tetapi kami tidak pernah putus asa berusaha untuk memiliki cahaya mata. Saya yakin Allah sudah aturkan perjalanan hidup yang baik untuk kami berdua,” kongsinya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Biarpun masih hidup berdua, kata Izzue, dia melihat situasi itu dari sudut yang positif. Baginya, mungkin inilah peluang yang ada untuk dirinya terus menikmati kehidupan ‘berbulan madu’ bersama isteri tersayang.

“Setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya. Mungkin Allah nak beri masa buat kami berdua menghabiskan masa menjalani kehidupan bersama berdua-duaan terlebih dahulu.

“Pada masa sama, saya melihat ini juga merupakan peluang bagi saya terus memberikan lebih tumpuan kepada kerjaya yang sedang saya bina,” katanya yang muncul dengan single berjudul Muzik Tiduranku yang dihasilkan khas didedikasikan buat isteri tercinta.

Sungguh pun begitu, kata Izzue, ada kalanya kemesraan hidup dirinya bersama Awin disalahertikan. Mengakui ada yang tidak senang melihat gambar-gambar mesra mereka berdua di Instagram, Izzue melihat ia sebagai satu lumrah yang perlu dihadapinya.

“Saya tahu ada yang tidak senang apabila saya memuat naik gambar-gambar mesra saya dan isteri. Jika gambar sebegitu mengundang rasa tidak selesa kepada orang di luar sana, saya memohon maaf.

“Bagi saya, gambar-gambar yang dikongsikan itu tidak berlebih-lebihan. Lagipun saya sedar batas-batas yang perlu dipatuhi. Apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dipertontonkan. Cumanya, saya tidak boleh memuaskan hati semua pihak,” kongsinya yang kini sedang muncul dengan drama bersiri Tok Adi yang disiarkan di saluran Astro Oasis.






Lakonan

Bercerita mengenai drama arahan Rashid Sibir itu, kata Izzue, drama tersebut disifatkan sesuatu yang cukup istimewa kerana dia berpeluang untuk menjayakan sebuah naskhah bersama pelakon yang cukup disegani apabila digandingkan bersama aktor Nasir Bilal Khan.

“Bakat lakonan yang dimiliki oleh Abang Nasir memang tidak boleh dipertikai. Beliau merupakan seorang pelakon yang cukup profesional.

“Menariknya, Abang Nasir ini merupakan seorang yang cukup menghormati skrip lakonan yang diberikan kepadanya. Maksudnya, apa jua skrip yang beliau dapat, dia akan ikut bulat-bulat sepenuhnya tanpa mengubah.

“Berbeza dengan kebanyakan pelakon lain yang kebiasaannya hanya akan menyampaikan skrip itu mengikut ayat sendiri asalkan dengan syarat tidak mengubah maksud yang cuba disampaikan sahaja. Apapun, beliau memang sangat hebat, tidak semua pelakon boleh buat seperti yang dilakukannya,” kongsinya yang memberitahu drama itu bersiaran selama 10 episod.

Bercakap mengenai wataknya dalam naskhah itu, cerita Izzue, dia memegang watak sebagai Haikal.

“Cerita ini boleh dikatakan sebuah karya yang agak berat juga apabila ia menceritakan kisah seseorang yang pada asalnya seorang yang baik sebelum kemudiannya cuba menjadi seorang yang jahat.

“Dirinya seolah-olah tidak dapat menerima hakikat ketentuan Ilahi dan cuba memberontak dengan takdir yang menimpa dirinya,” kongsinya yang turut bergandingan dengan pelakon Fouziah Gous.

Dalam perkembangan lain menurut Izzue, dia juga sibuk menguruskan bisnes pakaian di bawah label Izzue Exclusive yang diusahakannya. Katanya koleksi-koleksi istimewa sempena kehadiran Ramadan dan Syawal juga bakal menemui orang ramai.

“Alhamdulillah, tempoh perancangan lima tahun sudah yang cuba dilakukan dan tercapai apabila saya kini sudah memiliki jenama sendiri untuk dipasarkan.

“Selain bisnes pakaian, saya juga kini sedang mengusahakan perniagaan kanta lekap dan pada masa sama ada menyediakan perkhidmatan studio fotografi yang dibuka kepada umum,” kongsinya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post