Sari Yanti turut wujudkan IG anak


Seperti mana selebriti lain, pelakon terkenal, Sari Yanti turut mengikut jejak langkah yang sama apabila mewujudkan laman Instagram bayi perempuannya, Dariya Inara baru-baru ini.

Sambil berkongsi laman Instagram berkenaan iaitu @dariyainaraofficial, Sari Yanti atau nama sebenarnya Sari Yanti Mohamad Nazari, 34, turut mendedahkan bahawa Dariya Inara yang selamat dilahirkan di sebuah hospital swasta pada 25 April lepas juga dilahirkan tiga minggu lebih awal daripada tarikh jangkaan.

Isteri pelawak Jep Sepahtu itu memberitahu, bayi perempuannya itu sepatutnya dilahirkan pada 17 Mei depan bersamaan 1 Ramadan.

“Ingatkan dia keluar pada hari pertama Ramadan. Rupa-rupanya tak sabar bawa bahagia untuk semua terutama abah dia.

“Alhamdulillah, masih ada kesempatan untuk bersama dengan yang tersayang. Saya selamat melahirkan bayi saya pada usia kandungan 37 minggu,” tulisnya di laman Instagram baru-baru ini.

Setakat kelmarin, laman Instagram Dariya Inara kini sudah memiliki hampir 75,000 pengikut.

Sebelum ini, Sari Yanti turut memiliki dua anak lelaki iaitu Barr Al Aliy, 8, dan Baasit Al Haq, 6, hasil pernikahannya yang terdahulu bersama ahli perniagaan, Mohd. Eddy Casmady Che Hussein, 38, sebelum berpisah pada Disember 2014.

Selepas beberapa bulan digosipkan bercinta, Sari Yanti akhirnya disatukan dengan Jep atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri. Zainal Abidin, 33, dalam satu majlis secara tertutup tanpa pengetahuan media pada 25 Februari tahun lepas.





Mengulas lanjut, Sari Yanti turut berkongsi pengalaman berbeza semasa melahirkan Dariya Inara kali ini berbanding dua anaknya yang terdahulu.

“Lama betul saya dalam bilik bersalin kali ini. Terasa hampir terputus nafas,” cerita Sari Yanti.

Pada masa sama, teraju utama drama Cik Serba Tahu itu juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jep yang tidak jemu-jemu menemaninya sepanjang proses kelahiran bayi Dariya Inara di hospital.

“Terima kasih sayang untuk doa dan semangat, cinta dan kasih sayang awak.

“Wajah awak yang sayang sangat, bimbang, panik, buntu, sebak, semua itu menjadi memori yang sangat indah,” tulisnya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post