![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjiepCir-UWkjw5RY8MA8zOvuSZzt_4ESaqkl0Q57ocBzp-ZhS1O3HT7UnOkItx7A9E8Nx9ZnWkYfHajiyZjVHSLFrXwU6WSpLlONtqT0dIcEQnkJdtvZ0el7dr6gZvCLp6VYQuYXjpqms/s1600/Nedim+Nazri.jpeg)
Budi baik dan keprihatinan Nedim Aziz yang juga suami kepada pelakon Nora Danish tentunya akan dikenang sampai bila-bila oleh keluarga bayi Nur Edriana Maisarah, 5 bulan, pesakit ekzema yang menjadi tular baru-baru ini.
Kesudian Nedim menanggung kos rawatan di pusat perubatan swasta di ibu kota untuk bayi tersebut ternyata telah memberi sinar baru kepada Nur Edrina yang kini sudah beransur pulih.
Bapa bayi tersebut, Mohd Shahril Azman mengucapkan terima kasih kepada Nedim dan Nora Danish yang sudi membantu mereka.
Menurutnya, selepas rawatan pertama, 60 peratus kulit Edrina kini sudah beransur pulih dan kini sedang menunggu untuk melakukan rawatan susualan.
"Pada mulanya macam tidak percaya tapi selepas Nedim betul-betul ingin membantu saya rasa dia ikhlas dan setuju untuk bertemu di pusat perubatan itu.
"Anak saya dapat rawatan pertama di sana dan doktor beri ubat. Insyallah ada rawatan susulan untuk melihat kesan ubat tersebut sesuai atau tidak," ujarnya kepada sebuah portal hiburan.
Tambah Shahril lagi, dia berharap untuk bertemu sekali lagi dengan pasangan selebriti tersebut untuk mengucapkan terima kasih atas budi baik mereka.
"Saya tidak tahu nak balas bagaimana jasa mereka, saya harap ada kesempatan untuk bertemu mereka sekali lagi suatu hari nanti," katanya yang bekerja kilang di Kluang Johor.
Kisah Nur Edriana Maisarah menjadi tular apabila Shahril, memuat naik foto anaknya di laman Facebook dan memohon orang ramai mendoakan kesihatan Edrina.
Posting berkenaan telah menarik perhatian Nedim yang kemudiannya meluahkan hasratnya untuk membantu menanggung kos rawatan.
"Saya tiada niat untuk minta bantuan mana-mana pihak, saya muat naik di Facebook sekadar minta doa daripada rakan-rakan sahaja agar anak saya sembuh.
"Tidak sangka foto itu tersebar di Instagram sehingga Nedim sendiri menghubungi saya untuk menghulurkan bantuan," ujarnya.