
Memiliki anak yang kurang sempurna baik dari segi fizikal atau mental bukanlah suatu hal mudah untuk didepani bagi mereka yang bergelar ibu dan bapa.
Hal itu turut dilalui komposer dan pemuzik terkenal, Edrie Hashim dalam membesarkan anak sulungnya yang merupakan penghidap autisme, Darren Haikal, 14.
Namun sebagai seorang selebriti, Edrie, 44, memandangkan kelebihan itu sebagai platform untuknya menyebarkan lebih banyak kesedaran tentang golongan istimewa berkenaan menerusi program penggunaan kemudahan LRT untuk golongan OKU di LRT Sri Rampai, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Majlis berkenaan merupakan anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat, Kuala Lumpur dengan kerjasama Rapid Rail Sdn. Bhd. di bawah Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd.
KOSMO!: Boleh Edrie kongsikan tentang penglibatan anda dalam program ini?
EDRIE HASHIM: Sebenarnya program ini merupakan anjuran dan usaha daripada para guru di SMK Seri Keramat untuk pelajar-pelajar kurang upaya di sekolah tersebut.
Program ini bertujuan mendedahkan kepada penggunaan dan kemudahan yang disediakan oleh pihak Rapid di semua stesen.
Memandangkan anak saya merupakan pelajar dan memang pesakit autisme, jadi saya turun padang untuk memberi sokongan.
Bagaimanakah anda melihat program ini dapat membantu mereka menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam?
Ia sangat bagus sebenarnya sebab dapat mengajar mereka tentang cara betul ketika berada di mana-mana lokasi pengangkutan awam tidak kira di stesen LRT atau bas.
Apabila disediakan kemudahan untuk golongan ini, contohnya seperti laluan pejalan kaki, ia membantu menerangkan kepada orang sekeliling bahawa mereka ini golongan istimewa biarpun tidak nampak cacat cela dari segi fizikal.
Anda sendiri memiliki anak autisme. Jadi, boleh kongsikan perkembangan menjaga anak istimewa seperti ini?
Sekarang Darren sudah berusia 14 tahun, jadi tidak begitu sukar seperti waktu dia masih kecil. Semakin meningkat usia, dia sudah pandai mengawal diri supaya tidak mengamuk walaupun kadang-kadang ada juga terlepas.
Saya masih ingat, ketika usianya setahun tiga bulan doktor memberitahu dia menghidap autisme.
Saya memang tidak percaya dan menganggap ia proses normal kanak-kanak membesar. Sehingga dia memasuki sekolah tadika, baru saya menerima takdir apabila melihat kelakuannya yang memang lain.
Namun, saya bersyukur kerana memiliki anak seperti ini menimbulkan perasaan empati dalam diri kita sebagai ibu dan bapa.
Apakah cabaran terbesar anda untuk membesarkan anak istimewa seperti ini?
Saya akui bukan sahaja sukar menjaganya tetapi suatu hal yang lagi besar adalah penerimaan dan keterbukaan masyarakat luar tentang perkara ini. Itu sebenarnya cabaran terbesar.
Kadang-kadang ketika berada di luar dan dia tiba-tiba mengamuk, orang sekeliling akan pandang seperti kita tidak pandai menjaga anak.
Hakikatnya, tindakan itu bukan disebabkan perangai. Saya akui keadaan sebegini menimbulkan perasaan kecewa tetapi apa yang saya boleh buat dan katakan kerana itu bukan salah orang ramai.
Sebab itu saya memainkan peranan sebagai seorang selebriti untuk menyebarkan tentang golongan ini kepada masyarakat agar mereka lebih prihatin pada masa depan.
Apa situasi paling sukar yang pernah anda lalui ketika mengendalikan anak penghidap autisme?
Saya masih ingat ketika membawanya berjalan-jalan di sebuah pusat beli-belah. Kami singgah ke sebuah kedai untuk membeli barang dan saya tidak perasan dia bermain dengan pintu kaca peti sejuk di dalam kedai berkenaan. Tiba-tiba seorang pekerja di situ memarahinya tanpa usul periksa.
Saya tidak dapat menahan diri apabila memarahi pekerja berkenaan selepas anak dimarahi sedangkan orang tidak mengetahui dia pesakit autisme. Jadi, saya mengaku yang masyarakat kita masih belum sedar sepenuhnya tentang penyakit ini.
Baiklah, boleh kongsikan sedikit perkembangan terkini karier anda?
Alhamdulillah, kerjaya saya masih berjalan seperti biasa. Sekarang sibuk mengikuti program bersama kumpulan Wings yang padat dengan beberapa aktiviti.
Ia termasuklah untuk program berbuka puasa pada bulan Ramadan nanti.
Pada masa sama, saya sedang dalam rangka promosi single terbaharu anak didik dalam program Tiga Juara iaitu Kudien, Eva Maria dan Arill.