
Syarikat Rakaman - Lan Solo bernaung di bawah syarikat rakaman Music Valley Malaysia (MVM). Bagaimanapun single pertamanya, Berpisah Tanpa Rela dipasarkan oleh Warner Music Malaysia.
Luka perpisahan yang dialami oleh bekas vokalis kumpulan Kristal, Lan atau nama lengkapnya, Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 33, masih bersisa.
Selepas hampir 19 tahun bersama band tersebut, Lan memilih mengundurkan diri dan bergerak sebagai penyanyi solo selepas kumpulan itu mengumumkan untuk merehatkan dirinya daripada perjuangan mereka.
Pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza musim keempat (GV4) itu memilih untuk menggunakan nama pentas sebagai Lan Solo dan muncul menerusi single pertamanya berjudul Berpisah Tanpa Rela yang berkisarkan krisis perpisahan bersama kumpulan tersebut.
“Lagu ini saya cipta selepas habis GV dan mengambil masa selama sebulan lebih untuk disiapkan. Sebelum itu, saya ada menerima beberapa lagu tetapi disifatkan tidak kena dengan jiwa untuk dinyanyikan.
“Isteri, Nur Sheila Hassim, 33, kemudian memberikan semangat untuk saya menghasilkan lagu sendiri,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya itu di pejabat Warner Music Malaysia, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Ujar Lan, buat permulaan dia lebih gemar mencipta lagu berdasarkan kisah hidupnya sendiri.
“Saya tidak boleh menipu apabila lagu ciptaan ini dikaitkan dengan perpisahan yang terjadi,” katanya yang bersyukur kerana tidak putus-putus menerima tawaran nyanyian selepas bergerak solo.
Sejujurnya kata Lan, dia sudah meneruskan hidup selepas perpisahan tersebut, cuma kesan yang dialaminya itu masih belum benar-benar sembuh.
Mengaku selesa menjadi diri sendiri dan sudah bergerak ke hadapan, bagaimanapun kesan perpisahannya bersama Kristal yang telah sebati dengan dirinya sejak menjadi pelaku seni sangat mendalam.
Ia diumpamakan seperti kecundang dalam percintaan, yang kata Lan pasti ada teringat mengenai bekas kekasih.
“Malah, jika saya menonton band yang melakukan persembahan di atas pentas pada majlis-majlis anugerah yang dihadiri, ia turut membuatkan saya teringat kenangan terdahulu,” jelasnya sambil memberitahu, dia lebih menggemari lagu berentak pop balada.
Sindir
Diajak bercerita berkenaan klip video single tersebut, Lan menafikan dakwaan sekiranya terdapat watak yang diwujudkan untuk menyindir individu lain.
Hal ini kerana, menerusi klip video terbitan MVM Production itu terdapat seorang lelaki berwatak antagonis, berpakaian hitam dan berambut panjang separas bahu serta bertopeng digambarkan cuba mengganggu gugat percintaan Lan dan pasangannya.
“Saya sudah melihat klip video itu terlebih dulu sebelum ditayangkan.
“Apa yang digambarkan ialah simbolik pertukaran diri saya dari dulu dan kini serta tidak ada kena mengena dengan sesiapa kerana saya sendiri sudah memaklumkan kepada pihak produksi untuk tidak memasukkan sebarang unsur negatif di dalam klip video itu,” jelasnya.
Imej
Menyentuh berkenaan imej yang ditampilkan sejak bergelar penyanyi solo, Lan memberitahu, dia mementingkan penampilan yang disukai peminat dan penyokongnya.
Dia memberitahu, penampilannya kini dikendalikan oleh Nawreprojects yang bertindak selaku penata gaya.
“Saya akan mengekalkan penampilan sebegini dan cuba berfesyen untuk setiap persembahan yang dijayakan. Jika dahulu, saya sendiri tidak pernah merasa untuk menggayakan pakaian daripada pereka-pereka terkenal tanah air kerana kerap tampil dengan imej memakai baju-T dan jeans, kini sudah berubah.
“Saya sudah berani mencuba beberapa jenis penampilan atau fesyen. Setakat ini, saya menerima banyak reaksi positif daripada peminat,” ujarnya sambil tersenyum.
Bagaimanapun katanya, dia akan berpenampilan mengikut keadaan dan kesesuaian majlis.
Beralih kepada cabang kerjaya lakonan yang diterokainya, Lan mengakui seronok menjalani penggambaran dan buat masa ini memilih untuk menerima watak yang tidak berat untuk dilakonkan.
“Saya ada berlakon beberapa drama seperti Pengantin Musim Salju dan Cekelat Tak Semanis Honey. Malah, ada beberapa buah drama lagi yang masih tidak dapat dipastikan.
“Saya cuba mengisi ruang yang ada dengan berlakon kerana dapat memperoleh pengalaman baharu. Lagipun, tawaran persembahan selalunya pada hujung minggu,” katanya.
Anak istimewa
Bercerita perihal keluarga pula, Lan memberitahu, anak keempatnya, Nur Amna Quxandra yang dilahirkan pada 24 Februari lalu bakal menjalani pembedahan bagi merawat masalah bibir sumbing yang dihidapinya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor pada 31 Mei ini.
Lan memberitahu, masalah sumbing yang dihidapi anak istimewanya itu hanya pada kawasan bibir sahaja.
“Selepas menjalani pemeriksaan, doktor mendapati hanya bahagian bibir sahaja yang terpisah dan ia tidak membabitkan kawasan lain seperti hidung.
“Pada bahagian lelangit pula dikesan terdapat satu kawasan yang tidak akan ditumbuhi gigi dan bersyukur kerana masalah anak saya tidak teruk,” ujarnya yang perlu memastikan anaknya itu tidak dijangkiti demam dan masalah lain yang boleh menyebabkan pembedahannya ditunda.
Kata Lan juga, Nur Amna yang kini memiliki berat sekitar empat kilogram boleh menjalani pembedahan pada tarikh yang ditetapkan tanpa menunggu berat badannya mencecah lima kilogram.
Ketika ditanya adakah dia menerima kecaman berkenaan keadaan anaknya dalam media sosial, Lan berkata, dia sememangnya ada berdepan situasi itu.
“Hanya 10 peratus yang bertindak demikian, manakala yang selebihnya memberikan kami sokongan dan mesej yang positif. Pada mulanya saya hanya membiarkan komen yang ditinggalkan tetapi tidak sangka pula komen itu menjadi isu sesama pengikut yang lain.
“Untuk tidak memanjangkan keadaan, saya membuang komen tersebut,” jelasnya yang turut berdaftar dengan Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM).
Selain Nur Amna, Lan dan isterinya, turut dikurniakan tiga orang cahaya mata lain iaitu Nur Amna Qaleesya, 6, Nur Amna Qeesyara, 4, dan Muhammad Akid Qassyaff, 3.
Single pertama Lan Solo berjudul Berpisah Tanpa Rela yang berkisarkan curahan hatinya berikutan krisis perpisahan yang dilalui dengan kumpulan Kristal selepas 19 tahun bersama.