Wajah baharu ntv7


Demi memenuhi selera penonton, stesen televisyen ntv7 kini menampilkan kandungan penjenamaan semula sebagai saluran hiburan baharu bermula 5 Mac lalu.

Bermula dengan rancangan bual bicara pagi hingga ke rancangan hiburan harian, penonton disajikan dengan pengisian yang lebih segar dan hip.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak, penjenamaan semula stesen televisyen tersebut merupakan salah satu usaha berterusan pihaknya untuk menarik lebih ramai pengiklan dan penonton baharu.

“Saya cukup teruja dengan penjenamaan semula ntv7 kerana kami lebih memberi fokus kepada penonton moden dengan menyasarkan demografi yang lebih menarik menerusi pengiklan.

“Kita menyuntik elemen yang lebih segar dan hip menerusi rancangan bual bicara, rancangan hiburan hingga ke drama dan telefilem,” katanya pada majlis pelancaran program terbaharu ntv7 di T6@ Light Grey, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Jelas Johan, penampilan wajah-wajah baharu terdiri daripada pelbagai bangsa selain kolaborasi dengan selebriti terkenal juga menjadikan ntv7 unik berbanding program di saluran televisyen lain.

Segmen pagi dimulakan dengan rancangan bual bicara Feel Good Show yang mengetengahkan wajah-wajah baharu seperti Erwin Dawson, Keanu Azman, Aaron Al-Fateh, Thevanesh, Nana Al-Haleq, Miasara dan Sugeeta berkolaborasi bersama pengacara berpengalaman iaitu Razif Hashim dan Megan Tan yang pastinya memberikan keceriaan kepada penonton.






Isu

Selain itu, penonton juga boleh mendapatkan berita hiburan tempatan serta antarabangsa terkini menerusi Pop! TV dan Pop! Express yang bersiaran secara langsung serta dihoskan oleh Shuk Sahar, Azira Shafinaz, Ain Edruce, Shalma Ainaa, Aaron Al-Fateh dan Maggy Wang.

Pelakon dan penyanyi Alif Satar juga buat pertama kalinya mengendalikan program bual bicaranya sendiri iaitu It’s Alif! yang membicarakan topik daripada perspektif lelaki, manakala pelakon Diana Danielle pula akan bergandingan dengan Naz Rahman dalam program Kata Serasi?. Program berkenaan mengetengahkan isu kekeluargaan dan perhubungan antara pasangan.

Sebagai kelainan, ntv7 turut membawakan drama bersiri 47 episod dari Turki iaitu New Bride selain menyajikan beberapa drama dan telefilem tempatan seperti Nafas, Inai Yang Hilang, Misteri Maria dan Manipulasi.

Penonton turut disajikan dengan rancangan realiti muzikal terbaharu Drop The Beat yang menyaksikan 24 selebriti tanah air menyahut cabaran mimik mulut (lip sync) bagi merebut hadiah bernilai RM50,000.

Drop The Beat yang bersiaran pada pukul 8.30 hingga 10 malam setiap Sabtu, dihoskan oleh Sherry Al-Hadad dan Dennis Yin, manakala Nabila Huda pula sebagai juri tetap.

Dua program gaya hidup, Fit & Fab dan Dapur Kongsi turut disediakan kepada penonton. Fit & Fab merupakan program berbentuk kesihatan. Penonton boleh mengikuti senaman-senaman mudah menerusi program tersebut.

Dapur Kongsi yang menampilkan Awal Ashaari, Siti Elizad dan Adam Didam pula merupakan sebuah drama unik yang memuatkan resipi-resipi menarik pada setiap episod untuk dikongsikan bersama penonton.

Post a Comment

Previous Post Next Post