Selepas tujuh tahun bersama kumpulan Forteen, akhirnya Ariz Lufias memberanikan diri untuk muncul sebagai penyanyi solo. Dia mengikut jejak langkah dua sahabatnya, Izzue Islam dan Ameerais.
Biarpun agak lewat berbanding yang lain, Ariz yakin kemunculannya sebagai penyanyi solo adalah tepat pada waktunya.
Terang Ariz, 28, kelewatannya untuk melancarkan lagu solo disebabkan oleh jadual yang begitu padat sebagai pelakon selain tiada material yang sesuai.
Namun begitu, dia masih bersyukur kerana impiannya untuk bergelar seorang penyanyi solo tercapai menerusi lagu Pergi yang merupakan ciptaannya sendiri.
“Saya akur mungkin rezeki untuk bergerak solo tiba agak lewat berbanding rakan yang lain. Sebab selain sibuk berlakon, saya juga menantikan lagu yang sesuai.
“Disebabkan terlalu lama menunggu, akhirnya saya cuba untuk membuat lagu sendiri. Selepas memperdengarkan lagu itu kepada beberapa orang rakan, mereka menyukainya.
“Walhal lagu Pergi telah dicipta tahun 2015, namun hanya dirakamkan pada tahun lepas,” ujarnya ketika ditemui di Studio Utusan baru-baru ini.
Bercerita lanjut tentang single itu yang mula dilancarkan pada 5 Mac lalu, kata Ariz, ia mengisahkan perasaan dan kekuatan diri selepas ditinggalkan kekasih.
Meskipun kedengaran sedih tetapi ia sebenarnya sebuah lagu positif.
“Ramai beranggapan Pergi sebuah lagu yang sedih. Sebenarnya ia bercerita tentang kebangkitan semangat selepas episod kekecewaan. Jadi, ia sememangnya sebuah lagu yang positif.
“Bagaimanapun penerimaan orang berbeza-beza, oleh itu saya serahkan kepada peminat untuk menilainya,” ujar Ariz yang sehingga kini telah mencipta sebanyak 10 buah lagu.
Forteen
Beralih bicara tentang kumpulan Forteen, terang Ariz, kumpulan tersebut tidak pernah bubar, sebaliknya berehat buat sementara waktu bagi memberi laluan bagi projek solo masing-masing.
Tambah Ariz, Forteen akan kembali ke studio rakaman untuk merakamkan single terbaharu dalam masa terdekat.
“Forteen masih bersama dan aktif, cuma buat masa ini kami memberi fokus kepada kerjaya solo terlebih dahulu. Kami juga masih menerima persembahan pentas dan sekarang tengah mencari lagu sesuai untuk dirakamkan.
“Mungkin ia mengambil masa sebab Forteen sudah tidak berada bawah pengurusan KRU. Sebelum ini semua benda KRU yang uruskan. Sekarang kami cuba berdikari dan yakin untuk bergerak sendiri dengan pengalaman yang ada,” jelas Ariz.