Penampilan sulung sebagai pelakon menerusi filem Enjin No. 9 membuatkan Billa berasa senang untuk meneruskan kerjaya di hadapan kamera.
Mengakui bukan mudah untuk merealisasikan sesuatu watak, pemilik nama lengkap, Nurnajmi Nabila Samsaidi, 22, itu tetap membulatkan hati memilih haluan tersebut.
Bagi bekas peserta program realiti Akademi Fantasia 2015 (AF2015) itu, pengalaman pertama kali tersebut bukan sahaja membuka lembaran baharu terhadap portfolio seni tetapi mahu dijadikan sebagai ‘batu loncatan’ untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri.
Mula ditayangkan pada 29 Mac, filem terbitan Rangkaian Melati Production Sdn. Bhd. itu turut dibintangi Kazar, Tajul Arif, Sharifah Shahirah, Fadilah Mansor, Dottie dan Ayuni Asyiqin.
Selain mencuba nasib dalam bidang lakonan, Bila yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem berkenaan baru-baru ini turut merancang untuk melancarkan mini album dan single baharu dalam tempoh terdekat.
KOSMO!: Selain terlibat dalam kerjaya nyanyian, Billa kini mula menceburi bidang lakonan. Bagaimanakah perasaan anda sekarang?
BILLA: Awalnya saya berasa kekok kerana tidak selesa beraksi di hadapan kamera. Apatah lagi, filem Enjin No. 9 arahan Raja Azmi Raja Sulaiman ini merupakan naskhah layar perak pertama saya.
Biarpun berasa canggung tetapi hasil bantuan pelakon lain dan pengarah, saya akhirnya mempunyai keyakinan dan berusaha berikan lakonan yang terbaik.
Selepas ini, adakah anda mengambil keputusan untuk serius dalam bidang lakonan?
Pada saya, berlakon bukan suatu perkara mudah kerana kita perlu menghidupkan karakter individu lain dan menjadikan ia kelihatan realistik.
Namun, segalanya saya anggap sebagai cabaran untuk meneroka cabang seni baharu. Saya juga ingin mengetahui potensi dan kemampuan diri untuk berlakon.
Tidak dinafikan, awalnya niat sekadar ingin mencuba tetapi kini saya memilih untuk lebih serius.
Melihat penampilan sekarang, fizikal anda kelihatan sedikit berubah berbanding ketika menyertai AF2015. Apakah yang berlaku?
Saya kini dalam proses menurunkan berat badan. Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan seorang jurulatih kesihatan, Datuk Khairul Nisa.
Dia telah membantu saya untuk menurunkan berat badan dan memberikan galakan agar percaya dengan kemampuan diri.
Pada bulan pertama, saya berjaya mengurangkan empat kilogram (kg) daripada berat asal 140.8kg. Kemudian, setelah lapan bulan, saya mengawal pemakanan dan melakukan senaman seperti yoga dan aerobik, berat badan turun kepada 112.4kg.
Bolehkah kongsikan bagaimana anda berjaya menurunkan berat badan?
Dalam tempoh seminggu, saya akan melakukan aktiviti yoga atau aerobik sebanyak lima kali.
Mengenai pemakanan pula, saya akan makan apa yang diinginkan tetapi dalam kuantiti yang sedikit. Dahulu, saya dapat menghabiskan tiga biji durian dalam satu masa tetapi kali ini hanya seulas sahaja.
Selain itu, saya hanya mengamalkan minum air putih sebanyak dua liter sehari dan elakkan minuman bergula dan tidak makan selepas pukul 7 malam.
Sepanjang menjalani proses penurunan berat badan, pernahkah anda terdetik untuk berputus asa dan menyerah kalah?
Sekiranya saya katakan tidak, ia pasti bohong. Sejujurnya, saya ada perasaan begitu tetapi setelah melihat penurunan berat badan, keyakinan diri kembali. Saya tetap meneruskan usaha dan sasaran untuk mencapai berat 70kg.
Namun, jurulatih meletakkan sasaran agar saya menurunkan berat badan sehingga 68kg. Insya-Allah, mohon kalian doakan agar saya berjaya mencapai matlamat jurulatih untuk menurunkan berat badan sekarang daripada 112.4kg kepada 68kg.
Selain bercakap mengenai soal berat badan, bolehkah anda kongsikan mengenai perjalanan kerjaya seni sekarang?
Saya merancang untuk melancarkan mini album dalam tempoh masa terdekat termasuk melancarkan single. Bagaimanapun, album tersebut saya sasarkan berada di pasaran pada penghujung tahun ini.