Hampir dua dasawarsa melantunkan vokal dan bakat dalam industri seni industri hiburan tanah air, tempoh berkenaan sudah cukup membuktikan kematangan perjalanan kerjaya wanita kental bernama Siti Nordiana.
Mesra disapa sebagai Nana, dia bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi dan pelakon, bahkan kerjayanya berputik mekar sebagai seorang usahawan dan pengacara. Bermula daripada seorang penyanyi remaja berusia 15 tahun yang nyanyiannya adakala dibandingkan dengan kehebatan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nana kini mampu menarik nafas lega apabila mempunyai tempat yang tersendiri dalam kalangan peminat.
Umum mengetahui kerjaya seninya pernah ‘muram’ untuk suatu tempoh yang agak panjang, namun segalanya berubah apabila dia menyertai program realiti Gegar Vaganza musim kedua (GV2) dan bergelar juara. Sejak itu, Nana kembali menyanyi dan berlakon, sekali gus kerjayanya mengalir deras.
Biarpun dilabel sebagai penyanyi ‘Leman’ atau kampung, ibu kepada Muhammad Rayyan Nakhaie, 10, itu tetap gagah dan yakin mengorak langkah demi kelangsungan hidup, bukan sahaja sebagai seorang pelaku seni, namun ibu kepada anak tunggalnya.
Terbaharu, selepas meledak dengan single berjudul Terus Mencintai yang merajai kebanyakan carta radio arus perdana tempatan tahun lalu, Nana muncul dengan buah tangan baharu, Hatiku Milikmu yang merupakan ciptaannya sendiri, manakala lirik ditulis oleh Shana.
Fesyen ‘Leman’
Mengenali Nana yang sungguh jujur dalam melontarkan bicara, dalam kalangan wartawan yang hadir pada pelancaran klip video rasmi lagu berkenaan di Flora Terrace, Kuala Lumpur baru-baru ini, Nana diaju persoalan berkenaan fesyennya dikatakan kurang ranggi atau menonjol.
“Sebenarnya, fesyen yang ditonjolkan dalam klip video berkenaan sudah dirancang oleh Tymfatimah dan busana klip video yang menjalani penggambaran di Krabi, Thailand itu ditaja oleh Prima Valet.
“Saya berani untuk mencuba fesyen baharu asalkan tidak keterlaluan. Misalnya ia mesti menutup bahagian dada dan apa yang patut.
“Kalau ubah fesyen untuk kebaikan, tiada masalah, namun perlu sedar, saya bukan semakin muda. Saya juga perlu berhati-hati dengan status sebagai seorang ibu dan wanita muslimah,” katanya yang mengatakan dia mendapat inspirasi untuk menulis lagu tersebut daripada lagu popular Jepun, Mirae nyanyian asal Kiroro.
Menggunakan khidmat pengarah klip video sama iaitu Storytellers yang sebelum ini mengarahkan klip video Pematah Hati nyanyian Nabila Razali, Nana berkata, dia tidak melihat video nyanyiannya dengan penyanyi berkenaan mempunyai persamaan.
“Saya tidak rasa klip video kami mempunyai persamaan. Nabila mempunyai klip video lebih moden. Saya punya lebih kepada 1990-an sedikit dan konsep kami pun memang berbeza. Nabila lebih catchy, sedangkan saya lebih kepada konsep ‘emak-emak’,” kata Nana dalam nada seloroh.
Tertekan
Setahun sudah Nana muncul dengan single Terus Mencintaimu, dia mengakui turut tertekan dan berdebar menunggu respons daripada peminat berhubung lagu baharunya.
“Tertekan dan berdebar juga kerana peminat sudah mempunyai harapan untuk saya hadir dengan satu lagi lagu seperti yang sebelumnya.
“Rasanya bukan saya seorang sahaja yang berfikiran begitu. Bagaimanapun, saya percaya dengan rezeki. Kalau ada rezeki dan kita terus berusaha, insya-Allah akan ada kejayaan buat kita,” tutur Nana yang cukup popular dengan lagu Cinta Hanya Sandaran pada awal kemunculannya dahulu.
Dijentik persoalan perasaannya andai lagu Hatiku Milikmu menerima nasib yang sama seperti Terus Mencintaimu yang dinafikan tempat ke Anugerah Juara Lagu (AJL) walaupun amat popular dan dipersembahkan dengan baik pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik, Nana secara merendah diri tidak mahu runsing berhubung hal tersebut.
Suami orang
Jawab Nana: “Terus terang, saya buat lagu bukan untuk menang anugerah dan popular. Saya tidak pernah fikir sampai ke situ. Kalau menang AJL, itu bonus buat saya.
“Saya buat lagu untuk kelangsungan hidup, agar terus mendapat jemputan nyanyian dan memastikan peminat suka dengan nyanyian saya. Saya gembira andai lagu-lagu saya seperti Memori Berkasih, Gurauan Berkasih dan Paling Comel masih diingati sehingga sekarang.”
Hampir 10 tahun menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal selepas bercerai dengan pelakon, Allahyarham Faizal Yusup pada September 2009, ditanya berkenaan sama ada Nana sudah bertemu lelaki baharu dalam hidupnya, jawapan pengacara Gema Gegar Vaganza itu tetap sama.
Dia bagaimanapun mendedahkan, pernah dilamar seorang lelaki, namun terpaksa menolaknya disebabkan lelaki itu sudah berkahwin.
Katanya, dia memahami perasaan kaum wanita dan akan cuba untuk mengelak daripada melayani lelaki berstatus suami orang.
“Pernah ada orang ajak kahwin tapi saya terpaksa tolak sebab dia suami orang. Lagipun, saya memahami perasaan wanita. Kalau boleh saya memang akan cuba mengelak bercinta dengan lelaki yang berstatus suami orang. Paling utama, jangan melayan mereka kalau mereka nampak berlebih-lebih.
“Kalau boleh saya tidak mahu bercakap sangat tentang perkara ini. Sebab takut salah cakap, orang yang mengalami situasi itu terasa pula dengan kenyataan saya,” terangnya.
Sebelum menutup perbualan, Nana sempat menjawab soalan bagaimana ciri-ciri lelaki yang ingin dijadikan teman sehidup semati yang mampu menggalas tanggungjawab sebagai suami kepadanya dan bapa kepada anaknya.
“Bukan saya tidak percaya dengan kaum lelaki tetapi perkahwinan adalah ibadah sepanjang hayat. Saya mahu seorang lelaki yang boleh bimbing saya ke syurga. Itu yang penting,” tutupnya yang bakal muncul dengan drama berjudul Pengantin Musim Salju tidak lama lagi.