Nora Danish hadam kritikan


“Kenapa hidung kembang sangat ini?” itu antara komen berbaur ejekan diterima oleh pelakon Nora Danish apabila berkongsi beberapa siri gambar puteranya, Mohamed Neqayl di laman Instagram miliknya baru-baru ini.

Bukan ingin menyemarakkan lagi bahang api ‘membawang’ dalam kalangan netizen tetapi sesungguhnya trend ‘penyakit’ sebegini harus ditinggalkan jauh di belakang kerana bukan sahaja memberi cerminan yang tidak baik kepada masyarakat setempat, malah mampu memporak-porandakan keharmonian sejagat.

Bertemu dengan Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif pada majlis pelancaran salun Karva Salon For Ladies by Nora Danish minggu lalu, pelakon filem Makrifat Cinta itu tenang menjawab soalan berkenaan perkara tersebut.

Kata Nora, dia mengakui terkejut bagaimana anaknya yang baru berusia dua bulan dihina dengan bermacam tohmahan hanya kerana paras rupanya. Bagaimanapun, dirinya sedar yang menghentam membuta tuli di laman sosial tidak ramai dan mungkin peratusannya sedikit.

“Macam sebelum ini, rakan-rakan selebriti lain selalu kena (buli siber) dan saya tidak tahu bagaimana rasanya apabila anak kecil yang tidak tahu apa-apa dihina sedemikian rupa. Memang saya terkejut.

“Saya pelik bagaimana orang boleh bercakap perkara yang buruk terhadap bayi kecil yang boleh diibaratkan seperti kain putih. Sejujurnya, saya murung juga apabila menerima hinaan dan seharian menangis,” jelas pelakon berusia 36 tahun itu.

Bagaimanapun, isteri kepada Nedim Sujak Nazri Aziz itu tidak mahu kalah dengan kritikan yang dilemparkan.

Mendapat banyak suntikan semangat dan sokongan moral daripada suaminya daripada terus melayani kerenah netizen yang tiada berpenghujung, Nora berkata, lebih baik dia bersabar dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Suami selalu pesan kepada saya supaya selalu bersabar dan jangan menangis hanya disebabkan kritikan netizen. Memang zaman sekarang amat mencabar. Kita mungkin maju dari segi teknologi, namun dari segi pemikiran, banyak yang perlu diperbaiki.

“Saya tidak salahkan semua orang kerana yang mengutuk mungkin hanya dua peratus sahaja. Kes buli siber sekarang semakin menjadi-jadi dan kita perlu lakukan sesuatu agar ia tidak semakin merosakkan generasi,” getus Nora dalam nada tenang.





Kekok

Berbicara mengenai pengalaman bergelar ibu, Nora memberitahu, dia dan suami, Nedim berasa kekok untuk menguruskan Neqayl yang dilahirkan pada 22 Februari lalu.

Kongsi Nora, walaupun masing-masing pernah mempunyai pengalaman menguruskan bayi menerusi perkahwinan terdahulu, namun perasaan berdebar dan kekok tetap ada kerana perlu mengambil masa untuk membiasakan diri.

“Bayangkan anak lelaki saya, Rayqal sekarang sudah berusia sembilan tahun, manakala Dre (anak Nedim daripada perkahwinan terdahulu) pun sudah enam tahun.

“Apabila Ney Ney (panggilan manja Neqayl) dilahirkan, memang kekok betul kami sebab sudah lama sangat tidak menguruskan bayi kecil tetapi lama-kelamaan semakin biasa,” katanya penuh gembira.

Tambah Nora, dia bersyukur kerana suaminya seorang yang ringan tulang membantu menguruskan perihal anak mereka yang kini berusia dua bulan.

“Sejak dari hari pertama Ney Ney dilahirkan suami yang buat segala-galanya termasuk memberi susu, menukar lampin dan berjaga pada waktu malam. Kami ada juga bertelagah pendapat mengenai cara penjagaan anak, namun diselesaikan dengan cara baik,” katanya.

Wanita itu juga bersyukur, suaminya akan mengambil alih tugasannya menjaga anak mereka jika dia perlu melunaskan tanggungjawabnya sebagai pelaku seni atau sibuk dengan perniagaannya.

Malah katanya, biar sudah memiliki cahaya mata, dia belum mahu mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan.

Menyifatkan dunia lakonan sebagai kecintaan utamanya, Nora merancang untuk muncul sebagai bintang di kaca televisyen kerana telah lama tidak terbabit dengan naskhah yang dihasilkan untuk tayangan umum.

Kali terakhir khidmatnya digunakan sebagai pelakon adalah dalam filem termasuk dari Indonesia, Surga Yang Tak Dirindukan 2.

“Saya tidak pernah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan. Justeru itu, saya merancang untuk kembali aktif.

“Saya memilih untuk fokus pembabitan lakonan dalam kaca televisyen kerana impak untuk lakonan di TV berbeza dengan pembabitan dalam filem.

“Saya mahu memberi hadiah khas buat peminat yang selama ini menyokong saya,” ujarnya yang mengaku dengan pembabitan dalam naskhah di TV dia boleh mengasah semula kualiti lakonan yang telah lama ditinggalkan.

Salun

Sementara itu, bercerita mengenai salun yang diusahakannya, Nora berkata, ia adalah usaha sama bersama kakaknya, Cathy Danish dan pengasas Karva Singapura, Rozza Ramli.

Dia tertarik untuk membuka cawangan salun itu di Kuala Lumpur kerana ia mengkhususkan kepada golongan wanita untuk memanjakan diri dengan pelbagai perkhidmatan disediakan.

“Salun ini khusus untuk wanita terutama buat mereka yang berhijab kerana semua pekerja juga adalah perempuan. Jadi, tidak perlu bimbang soal aurat.

“Ia bukan sahaja salun untuk memotong rambut tetapi pelbagai pakej kami sediakan seperti rawatan kuku, rambut, wajah dan sebagainya.

“Di sini semua kaum wanita boleh memanjakan diri mereka selepas seharian bekerja dan pengalaman saya ke salun ini di Singapura membuatkan saya tertarik untuk membukanya di negara ini,” tutupnya.

Nora Danish kecewa apabila rupa paras anak lelakinya yang baru berusia dua bulan, Mohamed Neqayl dijadikan bahan hinaan oleh segelintir netizen. Mengakui ‘penyakit’ suka menghina semakin meruncing, wanita itu menyeru orang ramai supaya berfikir panjang sebelum meninggalkan komen tidak sepatutnya dalam ruangan digital.

Post a Comment

Previous Post Next Post