Serina Redzuan sentiasa mempunyai motivasi hidup yang tinggi dan tidak suka hidup dalam kesedihan kerana kegagalan rumah tangganya.
Tiada pasangan yang berkahwin mahukan perceraian berlaku dalam rumah tangga mereka. Ironinya, tiada siapa juga boleh melawan takdir Allah.
Biarpun berdepan dengan kisah kegagalan rumah tangga apabila bercerai dengan seorang warga Britian bernama Gavin Edward O’Luanaigh pada 1 Ogos tahun lalu, hal itu sedikit pun tidak membuatkan pelakon Serina Redzuawan patah semangat.
Bertemu dengan wanita berusia 35 tahun itu, Serina kelihatan begitu ceria seperti tiada sebarang masalah berlaku.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama anak kepada cef terkemuka, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan itu yang ditemui ketika sidang media Pertandingan Amal Badminton dan Malam Gala 2018 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Petaling Jaya baru-baru ini.
Terdahulu, acara amal yang akan diadakan pada 14 dan 15 Julai depan menghimpunkan barisan artis ternama seperti Datuk DJ Dave, Fikree Bakar, Amber Chia dan Ani Mayuni. Ia bertujuan untuk mengumpul dana projek pembangunan semula bangunan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan.
KOSMO!: Boleh Serina kongsi tentang penglibatan dalam pertandingan amal badminton ini?
SERINA: Saya rasa terpanggil untuk menyokong ketika diberitahu pertandingan amal badminton ini diadakan bertujuan mengutip dana untuk projek pembangunan semula bangunan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Seperti diketahui, selebriti mempunyai daya tarikan tersendiri. Apabila kami menyertai pertandingan seperti ini, secara tidak langsung peminat juga akan berminat menyertainya.
Tambahan pula, saya rasa tersentuh apabila melihat sendiri keadaan anak-anak Spastik ini ketika di dalam kelas. Pun begitu, saya bersyukur masih ada insan yang sudi menyediakan pusat untuk mereka menimba ilmu.
Baiklah, boleh kongsikan perkembangan terkini anda?
Sekarang saya merupakan pengerusi Celebrity Sports Club yang baru ditubuhkan sekitar tujuh bulan yang lalu. Kelab ini ditubuhkan untuk selebriti yang suka bersukan kemudian dihantar sebagai wakil kepada pertandingan sukan anjuran badan kerajaan dan swasta.
Setakat ini kami sudah mempunyai 100 orang ahli yang terdiri daripada selebriti seperti Datuk Fizz Fairuz, Adibah Noor dan Jaafar Onn.
Pada kebiasaannya apabila sesebuah kelab ditubuhkan pasti akan mencetuskan stigma dalam kalangan orang awam bahawa ia dibuat untuk mencari dana, adakah fungsi kelab ini juga begitu?
Kami bukan pertubuhan untuk kebajikan. Fokus Celebrity Sports Club ini sebenarnya lebih kepada bersukan tetapi pada masa sama kami membantu rakan artis untuk berniaga.
Sebagai presiden, apabila terdapat projek-projek menarik saya akan pastikan kelab mempunyai duit, jadi kami tidak akan meminta dana daripada orang lain.
Sejak kebelakangan ini anda dilihat semakin aktif dengan persatuan dan perniagaan, adakah hal itu membuatkan anda tidak berlakon?
Sebenarnya saya bukan tidak berlakon. Saya memang suka berlakon tetapi jadualnya terlalu panjang.
Misalnya kalau saya ke set penggambaran, mesti akan balik pukul 2 atau 3 pagi dan keesokan hari akan penat untuk berniaga.
Saya masih berlakon dan menjadi artis di bawah MIG Talent tetapi saya pilih drama yang pendek. Saya juga tetap aktif mengacara untuk majlis perkahwinan dan rancangan beli-belah menerusi saluran Laku Mall.
Adakah kesibukan ini disebabkan anda ingin melupakan kesedihan akibat kegagalan rumah tangga yang dialami beberapa bulan lalu?
Saya bukanlah orang yang suka bersedih. Sejak dahulu saya sentiasa mempunyai motivasi tinggi. Setiap yang berlaku merupakan dugaan dalam hidup dan sebagai wanita, perceraian bukanlah alasan hidup ini sudah musnah hingga tidak boleh teruskan kehidupan.
Saya akui kesibukan ini sedikit sebanyak membantu untuk melupakan kisah silam. Bagaimanapun untuk pengetahuan, kini saya dalam proses untuk merebut hak penjagaan anak kerana bekas suami sudah melanggar perjanjian antara kami dahulu.
Boleh ceritakan dengan lebih lanjut tentang kes mendapatkan hak penjagaan dua anak kalian, Tristan Tareef, 8, dan Isabella Saffiya, 6?
Ketika bercerai, saya dan bekas suami bersetuju untuk menjaga anak-anak secara bersama setiap hari. Misalnya, pada waktu pagi dia akan menghantar anak-anak ke sekolah dan kemudian saya akan mengambil mereka selepas waktu persekolahan tamat untuk dibawa mengaji dan menyiapkan kerja sekolah.
Namun, baru-baru ini dia menghalang saya untuk berjumpa dengan anak-anak setiap hari. Kami dibenarkan berjumpa pada setiap hujung minggu sahaja.
Melihat kepada cara anda meneruskan kehidupan selepas bercerai, ditambah pula apabila dihalang untuk menjaga anak-anak, mungkin ada nasihat kepada wanita di luar sana agar terus kuat seperti anda?
Bagi saya, biarpun bergelar seorang wanita, kita harus mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh kerana apabila terjadi hal seperti saya, kita sudah mempunyai sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan.
Selain itu apabila ditimpa masalah, jangan cepat kecewa dan tetaplah berfikir positif kerana setiap yang ditakdirkan itu pasti ada hikmahnya.
Sejujurnya, saya juga membesar dalam keadaan ibu bapa yang bercerai, hal itu membuatkan saya terus kuat untuk berjaya dalam pelajaran dan kerjaya tanpa meminta sebarang pertolongan orang lain.