Dari kiri: Elvira, Azee, AJ dan Alina akan merebut gelaran Mentor Otai pada malam Ahad ini.
Menuu ke pentas akhir pertandingan Mentor Otai untuk musim pertama yang akan berlangsung Ahad ini, tentunya debaran hebat begitu dirasakan buat empat protege terpilih.
Biarpun julung kali diadakan, namun program realiti terbitan TV3 yang memperkenalkan konsep baharu itu dilihat berjaya mencungkil bakat baharu dengan pakej nyanyian lengkap dalam mewujudkan persaingan sengit.
Buktinya, persembahan kelima-lima peserta pada pusingan separuh akhir yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada minggu lalu cukup ‘menggerunkan’.
Bagaimanapun, hanya empat sahaja protege layak meneruskan perjuangan.
Hal itu menyaksikan Elvira, Azee, AJ dan Alina yang merupakan protege kepada mentor Misha Omar, Zarul Husin, Tam Spider serta Siti Sarah berjaya mara ke pentas akhir.
Terdahulu, pemilihan Alina untuk mara ke pentas akhir adalah berdasarkan imuniti budi bicara daripada Mark Adam dan Edry Abdul Halim selaku juri tetap pertandingan tersebut. Lokman yang juga protege Zarul pula harus akur menamatkan perjuangan sehingga ke pusingan separuh akhir sahaja.
Bertemu dengan Mark Adam usai konsert tersebut, kongsinya, semua peserta yang terpilih terdiri daripada mereka yang layak bergelar juara.
“Pemilihan Alina adalah berdasarkan kemampuan vokal miliknya biarpun berlaku banyak kecelaruan dalam persembahan pada malam ini. Lokman pula tidak dipilih kerana graf persembahannya yang sentiasa berada pada takuk sama setiap minggu tanpa banyak perubahan besar.
“Semua peserta mempunyai peluang bergelar juara, namun saya harap mereka dapat menggunakan masa berlatih bersungguh-sungguh untuk persembahan sekitar empat minit jika hendak menang,” katanya.
Dugaan
Sementara itu, bagi Misha Omar dan protegenya, Elvira Carie Olga Arul yang diduga dengan sakit tekak sehingga hilang suara beberapa hari sebelum konsert, mengakui bersyukur formula yang mereka gunakan pada malam itu berjaya sehingga melayakkan Elvira mara ke pentas akhir.
Malah, persembahan memukau Elvira yang mengundang standing ovation penonton ketika membawakan lagu Matahari nyanyian asal Agnes Monica dan Fantasia Bulan Madu (Search) itu turut diangkat sebagai juara mingguan.
“Saya sering berpesan kepada Elvira agar jangan memikirkan keadaan kesihatan diri dan perlu fokus untuk pertandingan malam itu.
“Alhamdulillah dia memberikan persembahan yang sangat memuaskan hati. Untuk minggu hadapan, saya harap dia dapat memberikan persembahan luar biasa bagi meraih gelaran juara Mentor Otai yang pertama,” ujar Misha penuh yakin.
Dalam pada itu, bagi Zarul pula, pemilihan protegenya, Aznie Ariffin atau mesra dengan gelaran Azee merupakan suatu hal yang sudah dijangka.
“Walaupun perjuangan Lokman berakhir di sini tetapi dia tetap membuat saya bangga kerana banyak penambahbaikan yang telah dilakukan.
“Untuk Azee pula, tentunya persiapan rapi akan dibuat kerana melibatkan pentas besar. Saya memang mengharapkan suatu persembahan yang di luar jangkaan sebab dia pernah menjadi juara mingguan sebanyak dua kali,” ujarnya mengakhiri bicara.