Konsert sulung Padi Reborn di Malaysia


Siapa yang tidak kenal dengan band tersohor dari Surabaya, Indonesia iaitu Padi? Dalam kalangan peminat fanatik yang digelar Sobat Padi, kehilangan band yang dianggotai Piyu (gitar utama), Fadly (vokalis), Ari (gitar kedua), Rindra (bass) dan Yoyo (pemain dram) dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini sememangnya cukup dirindukan.

Untaian repertoir hit Padi seperti Menanti Sebuah Jawaban, Mahadewi, Sesuatu Yang Tertunda, Begitu Indah dan Kasih Tak Sampai pastinya melekat dalam pemikiran Sobat Padi sejak sekian lama.

Sepanjang dua dasawarsa berkarya, Padi mempunyai lima studio album iaitu Lain Dunia (1999), Sesuatu Yang Tertunda (2001), Save My Soul (2003), Padi (2005) dan Tak Hanya Diam (2007), selain turut mempunyai album kompilasi yang berjudul The Singles pada 2011.

Tujuh tahun menyepi bukan satu tempoh yang singkat buat band yang ditubuhkan pada 1997 itu. Ia seperti sesuatu yang tertunda, namun kini seumpama armada membelah samudera, Padi yang cukup dipuja banyak penggemar baik di Malaysia, Indonesia dan Singapura kini kembali mengemudi arah mereka dengan jelas.

Diibaratkan seolah-olah dilahirkan semula, kerinduan peminat tempatan terhadap Padi yang kini dijenamakan semula sebagai Padi Reborn pastinya terubat apabila bakal menjayakan konsert buat julung kalinya di Malaysia sempena konsert perdana Padi Reborn Exclusive Live In KL yang dijadualkan berlangsung di KL Live di ibu negara pada 30 Jun depan.

Justeru, persoalan sama ada adrenalin para Sobat Padi di Malaysia adakah masih antusias terhadap mereka atau sebaliknya, segala-galanya bakal terjawab pada konsert anjuran Qew Communications Sdn. Bhd. itu nanti, sementelahan pula tiket juga sudah mula dijual sejak hujung bulan lepas.

Menurut Piyu, kehadiran semula Padi Reborn selepas tujuh tahun menyepi menjanjikan sesuatu yang lebih luar biasa buat Sobat Padi dengan usia yang semakin matang ketika berkarya dengan bahasa muzik, sekali gus menjanjikan nikmat yang tidak sedikit untuk diraikan.





“Kami berasa cukup terharu kerana buat pertama kalinya dengan memakai nama Padi Reborn, sebuah konsert solo kami akan dipersembahkan di Malaysia.

“Ia juga sebagai lambang apresiasi buat Sobat Padi yang tidak pernah lelah menyokong kami biar pada saat Padi berehat sebelum kini kembali.

“Justeru, kami berharap Sobat Padi Malaysia akan senang dan bergembira bersama menyanyikan lagu-lagu Padi sepanjang konsert itu nanti,” ujar Piyu.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Qew Communications Sdn. Bhd., Muhamad Iqbal berkata, pihaknya berbesar hati kerana Padi Reborn menerima baik lamaran pihaknya menjayakan konsert sulung dan eksklusif di Malaysia.

Sejajar dengan rangka promosi Padi Reborn di Indonesia, jelasnya, ia cukup sesuai sekiranya band berkenaan turut singgah di sini.

“Kami sedia maklum sejak Padi Reborn kembali aktif sekitar Februari lalu, ia sememangnya sesuatu yang menarik sekiranya kumpulan ini dapat beraksi di Malaysia.

“Selain begitu sukses dan popular dalam belantika muzik Indonesia, saya percaya Padi Reborn mempunyai pengikut atau Sobat Padi yang setia dan terlalu merindukan aksi pentas secara langsung mereka di sini,” ujarnya.

Lebih mengujakan, band tempatan yakni Pitahati juga bakal membuka tirai konsert berkenaan di KL Live nanti.

Tiket-tiket untuk menikmati untaian indah Padi Reborn Exclusive Live In KL sudah mula dijual dengan harga RM149 (early bird) atau RM179 untuk standard, sementara sesi beramah mesra pula dijual dengan harga RM249 (early bird) atau RM290 untuk standard. Semua tiket boleh diperoleh dengan melayari www.buytickets.com.my.

Post a Comment

Previous Post Next Post