Sisi mentor Siti Sarah


Barangkali tidak ramai yang menilai penyanyi dengan nama Siti Sarah Raisuddin menerusi sisi seorang mentor dalam bidang muzik. Sementelahan semua sedia maklum, Sarah sebagai seorang penyanyi yang popular dengan lagu Kesetiaan lebih 10 tahun lalu.

Perkara yang mungkin orang terlupa atau tidak tahu tentang Sarah, dia pernah memenangi anugerah Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM 2003).

Penyanyi yang pernah berduet dengan Datuk Jamal Abdillah menerusi lagu Sandarkan Pada Kenangan itu juga merupakan satu-satunya artis baharu yang turut tercalon bersama Datuk Siti Nurhaliza dalam kategori Artis Wanita Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2003 (APM2003).

Kejayaannya tidak terhenti di situ apabila pada tahun 2009, Sarah pernah mewakili negara ke Amerika Syarikat bagi menyertai World Championship of Performance Arts (WCOPA).

Hanya beberapa tahun kebelakangan ini namanya tidak mewangi atas beberapa faktor yang disifatkan wanita berusia 34 tahun itu sesuatu yang menginsafkan dirinya.

“Saya pernah hilang suara. Satu nikmat daripada Allah yang kena tarik,” bicaranya bersulam serius dan berhati-hati.

Mengaku faktor tersebut disebabkan jemputan menyanyi yang diterimanya, walhal dia baru sahaja tamat tempoh berpantang selepas melahirkan anak pertama, Uwais Alqarni, 7.

“Jadi selepas itu, suara saya hilang. Saya tidak dapat menyanyi dalam nada tinggi mahupun rendah,” lenturnya menyegarkan kembali kenyataan yang pernah dikongsikan kepada umum satu ketika dahulu mengenai kehilangan suaranya.

Gementar
Namun, dia ‘berjodoh’ kembali dengan dunia nyanyian yang dicintainya.

“Ada sesetengah penyanyi hilang suara terus tetapi saya beruntung memperolehnya semula. Saya bekerja keras untuk mendapatkan kembali suara dengan berlatih menyanyi setiap hari,” kata Sarah yang turut bersyukur kerana dapat mendalami ilmu bisnes selama tempoh dia sepi seketika dalam dunia suara.

Kerja seninya kini ibarat pelangi yang menyinar kehidupannya. Dia dipertanggungjawabkan menjadi mentor dalam program realiti Mentor Otai bersama dengan tiga lagi penyanyi berbisa iaitu Misha Omar, Zarul Husin dan Tam Spider.

“Sejujurnya saya cukup gementar menggalas tugas sebagai mentor dalam program tersebut. Sebabnya, ia satu tanggungjawab yang besar. Bukan apa, sebelum ini tanggungjawab hanya pada diri sendiri. Sebanyak mana saya mahukan dalam bidang nyanyian, sebanyak itu saya akan usahakan. Namun, sekarang saya bercakap tentang orang lain. Jadi, banyak sudut yang perlu saya usahakan untuk protege saya,” ujar mentor kepada Alina Hassan dan Ayie itu.

Bagaimanapun, seorang daripada protege Sarah iaitu Ayie tersingkir pada konsert Mentor Otai minggu lalu.





Cerewet

Sedih dengan nasib protegenya, Sarah anggap itu semua ketentuan daripada Tuhan.

“Saya fikir, mungkin dia gementar dan tidak dapat membuat persembahan terbaik. Sedangkan, ketika sesi latihan, dia sudah melakukan sehabis baik,” tuturnya yang turut mengakui hingga kini berasa gemuruh setiap kali menyanyi di atas pentas.

Biarpun begitu, kerana nyanyian sudah menjadi sebahagian dalam hidupnya, Sarah sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap persembahannya.

“Saya jenis tidak mempunyai ramai kawan. Jadi, saya luahkan perasaan menerusi lagu. Saya juga mengaku seorang yang mementingkan kesempurnaan. Jadi, dalam tempoh tiga hari sebelum persembahan misalnya, saya tidak akan bermain telefon bimbit atau keluar berhibur dengan kawan-kawan. Sebaliknya, saya akan fokus 100 peratus pada lagu yang dinyanyikan,” jelasnya yang kini bernaung bawah syarikat rakaman Indigital Sdn. Bhd.

Mengakui perlu cerewet, isteri kepada pelawak terkenal, Shuib Sepahtu itu, turut memberikan persembahan berlainan waima menyanyikan lagu ‘makanannya’, seperti Kesetiaan atau Jangan Kau Mimpi.

Atas sebab itu (cerewet) juga, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu sanggup menunggu selama 10 tahun untuk menghasilkan single baharunya.

Bercakap tentang single baharunya, Sarah menyifatkan ia sesuatu yang cukup istimewa buat dirinya.

“Selepas 10 tahun, saya bakal keluarkan single baharu dengan Indigital. Lagu berentak balada itu baru beberapa hari lalu dirakamkan di studio.

“Saya tidak dapat kongsikan lanjut mengenai single tersebut sebelum hari pelancarannya, namun apa yang saya boleh katakan ia betul-betul berbeza dan istimewa buat saya.

“Satu daripadanya, saya dapat susunan muzik yang saya mahukan menerusi lagu tersebut,” ujarnya yang turut mengaku berasa sulit untuk merakamkan lagu tersebut di studio kerana sudah lama tidak merakamkan lagu.

Post a Comment

Previous Post Next Post