Saharul Ridzwan Tipulah kalau tak mahu anugerah


Selain berlakon, Saharul sibuk menguruskan perniagaan miliknya.

Sekitar penghujung tahun lalu, timbul cerita yang mendakwa pelakon kacak, Saharul Ridzwan kononnya sudah tidak menerima tawaran berlakon lagi. Bagaimanapun, hakikat sebenar, pelakon drama Megat Extend ini masih giat dalam bidang seni.

Cumanya, kata Saharul, khabar angin berkenaan mungkin timbul kerana banyak naskhah lakonannya masih lagi belum ditayangkan.

“Apabila wajah kita orang tak nampak di televisyen, maka timbullah cerita sedemikian. Bagaimanapun, sebenarnya saya ada saja. Orang tidak tahu apa yang berlaku di belakang televisyen.

“Boleh kata banyak hari juga saya sibuk menjalani penggambaran,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Menurut Saharul, kekerapan muncul di kaca televisyen bukanlah satu kayu ukur sebenar untuk menilai seseorang anak seni itu. Baginya, dia tidak pernah mengejar kuantiti, sebaliknya pelakon berusia 29 tahun itu meletakkan kualiti sebagai fokus utama dalam setiap karya yang mahu diterimanya.

“Apabila tawaran itu datang, kita bukan setakat mahu terima begitu sahaja. Kalau nak berlakon sahaja, mungkin semua orang boleh berlakon. Bagaimanapun, jika tiada kualiti, ia juga tak guna.

“Sebab itulah saya pentingkan kualiti daripada kuantiti. Itulah yang perlu ada dalam diri seorang pelakon untuk terus kekal,” kongsi pelakon drama Hati Perempuan itu.





Jelas Saharul lagi, atas sebab itu jugalah sebagai pelakon dia tidak pernah mahu diletakkan dengan label sebagai pelakon yang mahu mengejar populariti semata-mata. Baginya, nilai populariti akan datang sendiri jika diri seseorang itu benar-benar berbakat.

“Sehingga kini, saya tetap menghadiri kelas lakonan untuk memantapkan diri. Bahkan, saya sendiri belajar dengan orang-orang dalam industri yang jauh lebih berpengalaman seperti pelakon Zulhuzaimy,” kongsinya.

Menurut Saharul lagi, bakat anak-anak seni yang benar-benar berkualiti itulah nanti yang akan diangkat dan diiktiraf.

“Tipulah kalau saya kata tidak mahu anugerah. Anugerah itu sebagai satu bentuk pengiktirafan buat penggiat seni. Cumanya, saya lebih kepada penganugerahan yang berdasarkan juri dan bukan atas raih undi orang ramai. Ini kerana, jika berdasarkan juri, bakat kita yang dinilai.

“Sebagai contoh, pengiktirafan juri adalah Anugerah Skrin dan Festival Filem Malaysia. Apapun, saya tidak maksudkan bahawa anugerah yang berdasarkan undian peminat itu tidak bagus,” kongsinya yang kini muncul dengan drama bersiri Tok Adi.

Bercerita lanjut mengenai drama yang disiarkan di saluran Astro Oasis itu, kata Saharul, dia memegang watak sebagai Hakim.

“Dalam drama itu, saya memegang watak sebagai Hakim iaitu anak angkat kepada Tok Adi yang dilakonkan oleh Nasir Bilal Khan.

“Jadi sekembalinya dari luar negara, Hakim cuba untuk mengubah sikap Tok Adi,” katanya yang memberitahu drama tersebut diarahkan oleh sutradara Rashid Sibir.

Post a Comment

Previous Post Next Post