Atmosfera bukan perosak bahasa


Selepas popular dengan lagu Berakhirlah Sudah dan Tak Tahu Malu, Atmosfera kini giat mempromosikan semula lagu lama mereka yakni Demi Si Kici.

Melakar jumlah jutaan tontonan di YouTube sememangnya satu fenomena buat band kelahiran Sabah, Atmosfera apabila lirik video dan muzik video single terkini mereka, Tak Tahu Malu sudah mencecah hampir 24 juta tontonan dalam tempoh tidak sampai setahun.

Menggunakan bait-bait lirik ringkas yang mudah difahami bersama melodi yang catchy, Tak Tahu Malu berjaya mengekalkan populariti band yang dianggotai pasangan adik-beradik, Hezron, 26, dan Ganak, 24, apabila ia menjadi siulan ramai terutamanya kanak-kanak.

Cuma yang kurang enak didengar, Atmosfera tiba-tiba terpalit kontroversi apabila dituduh sebagai ‘perosak bahasa’ oleh segelintir netizen baru-baru ini gara-gara penggunaan bahasa ‘rojak’ dalam lagu berkenaan.

Bersama Sensasi Bintang, Atmosfera mengulas lanjut berhubung perkara itu, selain memberikan penjelasan mengapa mereka mempromosikan semula single lama, Demi Si Kici selepas terlebih dahulu popular menerusi single pertama, Berakhirlah Sudah sebelum ini.

SENSASI BINTANG: Single terbaharu kalian, Tak Tahu Malu menjadi siulan ramai terutamanya kanak-kanak. Apakah rahsianya?

HEZRON: Tiada sebarang rahsia. Mungkin, lagu itu dicipta ketika kami masih kanak-kanak. Sebab itu, ia mudah mendapat perhatian golongan itu.

GANAK: Selain kanak-kanak, kami juga gembira apabila ia mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat pelbagai peringkat lapisan usia. Diharapkan, lagu seterusnya dapat menyaingi kekuatan lagu ini.

Maaf nak tanya, kalian dituduh menjadi ‘perosak bahasa’ gara-gara lagu berkenaan. Komen?

HEZRON: Perkara ini cukup subjektif untuk diperdebatkan. Sebagai pencipta lagu, kami hanya mahu menghiburkan peminat. Jika ada yang tersinggung ataupun kurang senang dengan penggunaan lirik-lirik dalam lagu kami, kami memohon maaf.

GANAK: Ia merupakan identiti kami sejak sekian lama apabila menggunakan bahasa harian sebagai lirik dalam lagu-lagu kami selama ini. Sekurang-kurangnya, ia lebih mudah diingati sekali gus diterima baik peminat.

Adakah kalian bersedia berdepan segala kemungkinan termasuk jika lagu itu digam pihak tertentu?

HEZRON: Sudah tentu kami kecewa jika ia digam sekali gus tidak dapat diputarkan di mana-mana corong radio. Jika ia digam suatu hari nanti, kami berharap supaya diberikan peluang terlebih dahulu termasuk menukar lirik dan sebagainya. Jangan terus menghukum kami.

GANAK: Kami juga pernah berdepan senario yang sama apabila lagu Demi Si Kici, pernah tidak dibenarkan dimainkan di radio-radio di Sabah sedikit masa lalu gara-gara penggunaan lirik yang kurang sesuai. Jadi, kami tiada masalah untuk menukar lirik Tak Tahu Malu jika ia menyinggung mana-mana pihak.

Alang-alang bercerita mengenai Demi Si Kici, mengapa kalian mempromosikan semula lagu berkenaan? Adakah sudah tiada lagu-lagu baharu untuk dipersembahkan kepada khalayak?

HEZRON: Bukan begitu. Ini kerana, Demi Si Kici merupakan lagu yang benar-benar popular di Sabah. Jadi, itu sebabnya kami mempromosikan semula single berkenaan supaya ia lebih diterima peminat kami di Semenanjung pula.

GANAK: Kami turut mendapatkan sentuhan Harry Khalifah sebagai produser lagu berkenaan berbanding sebelum ini. Diharapkan, ia turut diterima baik peminat.

Apa lagi perkembangan lain yang boleh dikongsikan bersama peminat?

ATMOSFERA: Untuk single seterusnya, kami bercadang untuk mendapatkan sentuhan bapa kami, Rayner Alexander Rupin seperti mana single pertama, Berakhirlah Sudah. Kami percaya, bapa lebih arif untuk menghasilkan lagu-lagu sedemikian berbanding kami yang lebih cenderung kepada melodi yang catchy. Sekurang-kurangnya, ia dapat mengubati kerinduan peminat yang sukakan kami menyanyikan lagu-lagu berentak balada seperti itu.

PANEL 1: HEZRON

Pemilik nama sebenar Hezron Rayner ini dilahirkan pada 14 September 1992. Merupakan anak sulung daripada tujuh adik-beradik, pemuda berasal dari Kampung Nuntunan Apin-Apin, Keningau Sabah ini pada mulanya bekerja di sebuah kilang kayu sebelum bakatnya dicungkil pihak pengurusan Rusa Music. Hezron telah mendirikan rumah tangga dengan Lydia Adnan dan memiliki dua orang anak iaitu La Elisha Eleazer, 3, serta La Ellden Eleazer, 2.

PANEL 2: GANAK

Anak kedua daripada tujuh adik-beradik ini dilahirkan pada 12 April 1994. Berbangsa Dusun, Hazrenol Rayner kini mahu dikenali sebagai Ganak kerana memahami kesukaran peminat untuk menyebut namanya. Ketika ini, dia masih belum bercadang untuk berhijrah ke ibu negara kerana isterinya, Debbie Ann dan kedua-dua anak, Haydan Kyle, 4, dan Caroline Cassandra, 2, lebih selesa menetap di kampung.


Post a Comment

Previous Post Next Post