Selagi hati sang jelita belum sah menjadi milik sesiapa, persoalan tentang cinta pasti menjadi sebuah tanda tanya.
Begitu juga dengan anak seni bernama Wany Hasrita. Tidak keterlaluan untuk mengatakan, soal hati anak seni ini seringkali menjadi perhatian ramai.
Memiliki perwatakan yang lemah-lembut dan sopan santun, pasti keperibadian itu mampu menawan mata-mata yang memandang sehinggakan baru-baru ini ada satu kenyataan mengatakan penyanyi Haqiem Rusli meminati dan mengagumi perwatakannya.
Tidak pasti sejauh mana kebenarannya tetapi ia mencuit hati penulis untuk mendapatkan reaksi daripada gadis cantik manis itu.
Bagaimanapun, Wany mengambil pendekatan untuk tidak memberikan penjelasan dan memanjangkan kenyataan berkenaan.
“Alamak. Minta maaf. Bukan apa, sebab bukan saya yang mengeluarkan kenyataan itu. Jadi, kalau benda ni saya komen, keluar artikel macam saya yang memanjangkan cerita.
“Sebolehnya, saya nak cuba untuk tidak dikaitkan dengan mana-mana lelaki selepas ini kerana sudah banyak cerita pasal saya sampai ibu pun cakap tak berapa manis,” katanya.
Lagipun Wany memberitahu, dirinya kini fokus untuk meluaskan kerjaya sementalahan dia juga kini ada beberapa projek yang akan dilaksanakan.
“Kini, saya fokus untuk luaskan kerjaya. Tambah pula, saya ada keluarkan produk baru dan baju raya. Jadi, perhatian sepenuhnya di situ.
“Untuk bulan ini, saya ada beberapa projek termasuk keluarkan mini album, produk makanan kecantikan berasaskan makanan sunnah yang mana ada delima, kurma, madu dan saffron di bawah nama JellyTa by Wany Hasrita,”ujarnya.
Selain itu, Wany juga akan mengeluarkan baju raya yang diberi nama Rindu by Wany Hasrita yang mana boleh diperolehi di kedai Starvillion, Shah Alam.
Tidak mahu berhenti di situ, Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 26, diajak berbicara mengenai calon pilihan hati sama ada mahu orang dalam industri atau sebaliknya untuk mengisi ruang cintanya.
Jujur melontarkan dogma kata, penyanyi wanita yang berjaya menamatkan pengajiannya di Management Science University (MSU), Shah Alam dalam Ijazah Sains Perubatan itu memberitahu, dirinya tidak menetapkan siapakah bakal jodohnya.
“Wany tidak menetapkan bakal jodoh nanti dalam kalangan apa pun. Apa yang tertulis, saya terima sahaja.
“Tetapi biarlah yang mampu membimbing dan menjaga. Bukan saya yang nak kena bimbing dia,” jelasnya yang turut memberitahu dia tidak pernah menetapkan had umur untuk berkahwin sebaliknya berpegang pada konsep go with the flow.