Berhati-hati - Hafidz mengakui berhati-hati membawakan watak Nazrim dalam Cinta Tiada Ganti memandangkan Sanay Wala Nang Wakas pernah mencetuskan fenomena dalam kalangan pennton di Asia Tenggara.
Hafidz Roshdi merupakan antara pelakon pertama yang dilabel sebagai pelakon kayu oleh khalayak. Tidak hanya dianggap sebagai pelakon yang hanya menjual muka, Hafidz turut dicanang umum sebagai pelakon muda yang kurang bijak mendalami kehendak sesuatu watak sehingga menyebabkannya gagal untuk menjayakan sesebuah drama dengan sempurna.
Bagaimanapun, itu cerita empat tahun lalu, sewaktu Hafidz berada pada fasa awal pembabitannya dalam bidang lakonan menerusi drama bersiri seperti Baby Ana Milik Siapa?, Aku Pilih Kamu, Kau Aku Kita, Wadi dan Tundukkan Playboy Itu.
Kini, Hafidz dilihat semakin cemerlang. Pemilik nama lengkap, Muhammad Hafidz Roshdi itu juga mahu membuktikan dia merupakan seorang pelakon yang serius dan tidak mengambil mudah terhadap sebarang peluang yang diberikan.
“Ketika awal berlakon, saya masih muda dan tidak terlalu terkesan dengan kritikan orang ramai. Namun, selepas serius dengan bidang ini dan melihat ia sebagai punca rezeki utama, saya mula sedar perlu memberikan lakonan berkualiti untuk memuaskan hati penonton.
“Alhamdulillah, untuk tempoh empat tahun sejak bergelar pelakon, saya semakin banyak belajar terutama daripada pengarah, rakan artis dan juga maklum balas yang diberikan oleh peminat,” katanya.
Sedar
Mulai sedar tentang kepentingan menjayakan watak dengan berkesan, Hafidz menjelaskan, bidang lakonan memerlukannya untuk lebih fokus kepada penghayatan, terutamanya untuk menjayakan watak-watak yang lebih berat.
“Saya masih ingat pesanan yang diberikan oleh Syafie Naswip sewaktu kami sama-sama membintangi drama bersiri Wadi.
“Dia yang banyak memberikan tunjuk ajar tentang cara menyalurkan emosi dengan betul kepada penonton terutama ketika melakonkan babak kritikal yang memerlukan para pelakon berinteraksi menggunakan emosi,” katanya yang mengakui sedikit canggung dan berasa lucu apabila menyaksikan kembali gaya lakonannya empat tahun lalu.
Kongsi Hafidz lagi, dia turut menampilkan sisi yang berbeza pada lakonannya dalam drama bersiri terbaharu, Kelip-Kelip Di Kota London yang kini ditayangkan di TV3 menerusi slot Zehra.
“Menerusi drama ini, saya memegang watak sebagai Shaufiq yang beristeri dua. Saya sendiri akui watak ini merupakan paling sukar yang pernah saya jayakan.
“Namun, saya sangat beruntung kerana pengarahnya, Murali Abdullah banyak membantu saya dan pelakon lain ketika berada di set penggambaran,” kongsinya.
Adaptasi
Ternyata kesedaran tersebut membuka peluang yang besar buat Hafidz. Kredibiliti alumni Hero Remaja 2012/2013 itu sebagai pelakon bakal diuji apabila dia dipilih untuk menjayakan drama adaptasi Sanay Wala Nang Wakas iaitu Cinta Tiada Ganti yang bakal disiarkan pada bulan Jun depan.
Mengakui teruja, Hafidz bagaimanapun turut meluahkan perasaan gusar kerana telenovela dari Filipina tersebut mempunyai pengikutnya yang tersendiri.
“Saya sedar drama ini pernah mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan penonton sekitar Asia Tenggara. Para pelakonnya juga popular di Malaysia dan sudah tentu, peminat mahukan kualiti yang setara dengan versi asal. Sudah tentu saya bimbang jika lakonan saya tidak setanding dengan pelakon-pelakon asal.
“Namun apa yang boleh saya katakan, Cinta Tiada Ganti hanyalah naskhah adaptasi dan ia tidak semestinya serupa dengan apa yang telah ditonton belasan tahun lalu,” katanya jujur.
Selain Hafidz, drama Cinta Tiada Ganti turut membariskan pelakon-pelakon popular lain seperti Nelydia Senrose dan Aedy Ashraf.
Menerusi drama arahan Feroz Kadir itu, Hafidz memegang watak sebagai Nazim, Nelydia (Ara), manakala Aedy (Mukhriz).
Merujuk kepada versi asal, watak Nazrim diadaptasi daripada watak Newton yang dilakonkan oleh Marvin Agustin, manakala watak Nelydia dan Aedy pula diadaptasi daripada watak utama iaitu Christian Soriano lakonan Jericho Rosales dan Arabella Grace Garcia (Nelydia Senrose).
Bersedia untuk dikecam atau dijadikan subjek perbandingan, Hafidz berkata, lakonannya dalam Cinta Tiada Ganti tidak berpandukan pada naskhah asal, sebaliknya mengikut garapan semula yang telah disesuaikan dengan tema tempatan.
“Untuk rekod, cerita ini diadaptasi dari segi jalan cerita sahaja. Selebihnya telah ditukar dan disesuaikan dengan cara kehidupan masyarakat kita.
“Justeru, saya tidak lihat percanggahan yang bakal berlaku antara Sanay Wala Nang Wakas dan Cinta Tiada Ganti kelak sebagai satu masalah,” katanya lagi.
Ditanya mengapa dia terbuka untuk menjayakan Cinta Tiada Ganti biarpun drama tersebut mengambil masa sekitar lapan bulan untuk disiapkan, ini jawapan Hafidz: “Selama ini, saya tidak pernah berlakon dalam satu produksi untuk tempoh masa yang sangat panjang.
“Jadi, menerusi drama Cinta Tiada Ganti, saya berharap dapat mempelajari sesuatu yang baharu dan secara tidak langsung memberi pendedahan berbeza terhadap saya sebagai seorang pelakon.”
Tahun 2018 mungkin boleh disifatkan sebagai tahun sibuk Hafidz Roshdi memandangkan dia sedang menjalani penggambaran drama bersiri adaptasi dari Filipina, telenovela Sanay Wala Nang Wakas yang menggandingkannya bersama Nelydia Senrose dan Aedy Ashraf. Drama bersiri 100 episod yang diberi judul Cinta Tiada Ganti itu dijangka menemui penonton pada Jun depan.