Sejak ditubuhkan sekitar 1980-an, dua buah kumpulan power metal dari Hamburg, Jerman, Helloween dan Gamma Ray masih aktif di persada muzik antarabangsa sehingga ke hari ini.
Lebih menarik apabila gabungan sebilangan kedua-dua kumpulan itu yang menggelarkan diri mereka sebagai Pumpkins United akan mengadakan konsert pertama di Malaysia pada 28 April ini pukul 8.30 malam.
Para peminat tempatan bertuah kerana Malaysia menjadi satu-satunya destinasi pilihan kumpulan power metal terkemuka itu mengadakan konsert yang diberi nama Pumpkins United World Tour 2017-2018 di rantau Asia Tenggara.
Konsert tersebut yang akan diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur merupakan konsert pertama kumpulan berasal dari Jerman itu yang sudah lama ditunggu-tunggu oleh para peminat mereka.
RSVP Media selaku penganjur utama konsert itu menyifatkan ia juga sebagai satu sejarah apabila Pumpkins United yang kini dalam rangka siri konsert jelajah dunia menemui para peminat mereka secara eksklusif di negara ini.
Menurut wakil pihak penganjur, Shamsul Kamal Othman, konsert itu pula merupakan yang pertama dan mungkin terakhir buat Pumpkins United kerana agak sukar untuk menggabungkan tujuh anggotanya di atas satu pentas yang sama.
“Sehingga ke hari ini, Malaysia masih lagi menjadi satu-satunya destinasi Helloween bersama Pumpkins United mengadakan konsert di rantau ini. Dijangka ramai peminat dari Singapura, Indonesia dan Thailand akan menyaksikan konsert itu nanti.
“Rugi kalau para peminat tidak menyaksikan konsert ini kerana bak kata orang, duit boleh dicari tetapi pengalaman seperti ini jarang muncul dan ia tidak dijual di kedai. Jadilah sebahagian daripada sejarah itu,” katanya kepada Kosmo!.
Konsert Pumpkins United World Tour 2018 Live In Malaysia itu yang dianjurkan bersama Malaysia Autoshow itu dijangka mampu memuaskan hati peminat dalam persembahan yang akan diadakan selama dua jam tanpa henti.
Anggota asal
Pumpkins United akan menggabungkan anggota-anggota asal Helloween iaitu Weikath, Kiske, Hansen, Grosskopf dan turut dibantu Andi dan Michi selaku vokalis, Kai Weiki serta Sascha (gitaris) dan Markus selaku (bassis), manakala Dani pula bertindak selaku pemain dram.
Tambah Shamsul Kamal lagi, selain mengadakan persembahan, kumpulan itu juga akan menjual pelbagai barangan cenderhati Helloween seperti baju-T, cawan dan beg eksklusif kumpulan itu untuk koleksi para peminat mereka.
“Terdapat lima jenis baju-T dengan pelbagai corak gambar Helloween akan dijual pada konsert berkenaan dan ia merupakan barangan asli yang dibawa oleh kumpulan itu sempena konsert eksklusif itu dan ia hanya boleh dibeli pada hari tersebut,” ujarnya lagi.
Kali terakhir Helloween berkunjung ke rantau Asia Tenggara adalah pada konsert sulung mereka di Fort Canning, Singapura pada 24 Februari 2008 yang disaksikan hampir 5,000 peminat setia mereka yang juga datangnya dari rantau ini.
Kumpulan yang pada mulanya dikenali sebagai Gentry, Second Hell dan Iron Fist itu telah mengadakan ribuan konsert di seluruh dunia sejak ditubuhkan. Mereka sezaman dengan kumpulan legenda dari Jerman yang lain seperti Destruction, Kreator dan Tankard.
Sebelum mengadakan konsert di Malaysia, Helloween akan mengadakan persembahan mereka di Jepun, Rusia dan Ukraine selain turut diadakan di negara-negara seperti Itali, Sweden, Norway dan Finland.
Helloween mula tampil dengan album pertama yang telah diterbitkan pada tahun 1985 bertajuk Walls Of Jericho selain beberapa buah album lain termasuk Keeper Of The Seven Keys Part 1, Pink Bubbles Go Ape, Chameleon, Master of the Rings, The Time of the Oath dan Better Than Raw.