Edry mahu pindah 
Eropah demi anak


Edry dan keluarga. (dari kiri) Emil, Edylia, Emery di atas pangkuan Milia dan Elya di atas pangkuan Edry.

Sewaktu zaman kegemilangan KRU, Edry Abdul Halim adalah yang paling awal mendirikan rumah tangga dan menimang cahaya mata.

Hampir 19 tahun mendirikan rumah tangga dengan Milia Mohamed dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Emil, 18, Edylia, 15, Emery, 11, dan Elya, 8, Edry mengakui dia tidak pernah meluangkan masa yang banyak dengan keluarga.

Oleh sebab itu, apabila berita pembubaran KRU diumumkan Rabu lalu, lelaki berusia 42 tahun itu memberitahu selepas ini fokusnya hanya keluarga, bukan lagi kepada muzik.

Hal ini kerana anak ketiga Edry, Emery merupakan kanak-kanak istimewa autisme yang tidak mampu bercakap seperti orang lain. Dia memerlukan sekolah serta pengajian yang berbeza di luar negara.

Bakal berhijrah ke benua Eropah demi memastikan kebajikan anaknya itu terjamin, Edry memberitahu, dia tidak mahu lagi culas dalam memberikan perhatian kepada Emery setelah tanggungjawab seni secara rasminya tamat bersama KRU.

KOSMO!: Adakah anak merupakan sebab utama Edry memberi idea agar KRU dibubarkan?

EDRY: Tidak, pembubaran KRU adalah keputusan sepakat dan profesional serta tiada kaitan dengan kehidupan peribadi kami.

Ia sudah lama bermain dalam minda kami, cuma tidak berjumpa keadaan sesuai untuk merealisasikan. Namun, saya tidak menafikan jika tiada pembubaran mungkin saya tidak dapat memberi komitmen kepada KRU setelah berpindah ke luar negara.

Tidakkah anda berasa bermigrasi ke luar negara suatu keputusan drastik?

Ini soal anak saya, jadi tiada apa yang keterlaluan. Pihak sekolah Emery sekarang sudah bertanya kepada isteri saya, Milia bila mahu keluarkan anak saya dari situ kerana mereka sudah tidak mampu mengajarnya.

Perkara itu membuatkan saya tersentak dan tersedar betapa kesibukan kerjaya membuat saya kurang prihatin terhadap keadaan Emery.





Di manakah sekolah khas Emery yang anda pilih?

Kami masih dalam pertimbangan sekolah khas mana yang paling baik, namun ia terletak di benua Eropah sama ada di United Kingdom atau Jerman. Setakat ini, rancangan awal adalah untuk mencuba tinggal di sana selama setahun dan melihat penyesuaian keluarga di sana.

Insya-Allah jika tiada kekangan, kami akan berlepas ke sana selepas hari raya puasa.

Adakah itu bermakna anda tidak akan aktif dalam pembikinan lagu selepas ini?

Saya tidak tahu tapi buat masa sekarang, famili keutamaan saya. Saya rasa cukuplah 25 tahun saya curahkan kepada industri dan kini masanya untuk anak-anak dan isteri.

Apakah perkara yang paling anda terkilan dalam soal Emery?

Pernah terdetik di dalam hati saya mengapa saya boleh bersungguh-sungguh dan sibuk mengajar orang lain menyanyi sedangkan tidak berjaya buat anak saya untuk belajar bercakap. Jadi, saya mahu berikan yang terbaik buatnya sedaya upaya.

Apakah yang anda belajar selepas bergelar bapa kepada anak istimewa seperti Emery?

Saya belajar untuk lebih banyak bersabar dan bertenang terutama apabila Emery bertindak di luar kawalan apabila mengamuk.

Memandangkan dia tidak boleh bercakap, saya dan Milia belajar untuk berkomunikasi dengannya menerusi bahasa isyarat.

Membesarkan Emery suatu cabaran hebat dalam hidup dan menyedarkan saya betapa pentingnya masa dengan keluarga.

Dia adalah amanah dan anugerah terindah buat kami sekeluarga.

Post a Comment

Previous Post Next Post