Ben (duduk, tengah) bergambar bersama ahli keluarganya dan Datuk Dj Dave (tiga dari kiri) pada sambutan hari lahirnya ke-56 hari ini.
Keadaan penyanyi Ben Nathan, kini semakin baik setelah hampir setahun menjalani rawatan di sebuah pusat pemulihan yang tidak didedahkan.
Perkara tersebut diakui oleh Presiden Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), Datuk DJ Dave yang ditemui pada majlis sambutan hari jadi Ben Nathan di pejabat YA1M di sini petang tadi.
Jelas DJ Dave, Ben kini telah bersedia untuk aktif semula dalam bidang nyanyian selain bakal menjalani rakaman sebuah lagu baharu dalam tempoh masa terdekat.
"Sepanjang menjalani rawatan, saya melihat banyak perubahan berlaku kepada dirinya termasuk ingatan Ben yang telah pulih.
"Jika sebelum ini dia kerap mengatakan bakal menjalani rakaman lagu di Indonesia, tetapi sekarang tidak lagi. Dia sendiri memberitahu, tiada sebab untuk merakam lagu di Indonesia sekiranya dapat dijalankan di sini," ujar DJ Dave.
Mengulas lanjut, sepanjang tempoh setahun Ben atau nama Islamnya Ben Adam Patmanathan Abdullahko menjalani rawatan, pihak keluarga tidak mengeluarkan sebarang belanjan kerana kesemua kos ditanggung oleh pihak YA1M.
"Segala kos melibatkan perubatan yang dianggarkan bernilai RM 1,500 sebulan ditanggung oleh YA1M menerusi hasil kutipan sumbangan daripada Konsert Kasih & Harapan yang diadakan pada tahun lalu.
"Selain itu kami turut berusaha mendapatkan sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kepong buatnya. Jadi, dia dapat menyambut sambutan Aidilfitri di kediaman baharu nanti," katanya.
Sementara itu, Ben, 56, turut mengucapkan terima kasih kepada peminat dan pihak YA1M kerana telah membantunya keluar daripada kehidupan sebagai gelandangan.
Ben juga mengakui berasa teruja dan tidak sabar untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian sekali gus merakam lagu baharu yang masih dirahsiakan bagi memberi kejutan kepada peminat.
"Saya kini sedang menjalani latihan vokal dan teknik penafasan bagi memastikan tidak berasa semput ketika membuat persembahan kelak.
"Diharapkan dengan kemunculan single baharu ini nanti dapat mengubat kerinduaan peminat selain memenuhi cita rasa pendengar masa kini," terang penyanyi yang terkenal dengan lagu Stanza Sepi Sekeping Hati itu.
Pada masa sama, Ben juga meluahkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga selain tidak menolak andai calon isterinya itu datang daripada kalangan peminat.
"Pastinya saya mempunyai hasrat untuk berkahwin. Segalanya terserah pada jodoh dan biar Tuhan yang tentukan," kata Ben.
Penyanyi yang turut popular menerusi lagu Tak Mungkin Ku Lepas Pergi itu mula menarik perhatian khalayak selepas kontroversi rakaman klip video memaparkan dirinya hidup gelandangan dan tidak terurus pada tahun lalu.
Dia kemudian dibantu oleh DJ Dave dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapat rawatan termasuk melakukan pemeriksaan mental.