Bengkel DFKL 
cari pelapis baharu


Memasuki tahun kelima penganjuran, Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) edisi 2018 yang bertemakan #MasaUntukDrama berterusan dengan bengkel perkongsian bersama lapan karyawan hebat.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari bermula 31 Mac dan 1 April lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) memberikan pendedahan kepada peserta berhubung teknik lakonan, pengarahan dan penulisan kreatif.

Pengarah Penjenamaan, Kandungan dan Strategi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Sherina Nordin menjelaskan, sesi bengkel tersebut menerima sambutan yang memberangsangkan daripada peserta.

“Kami menerima sebanyak 500 penyertaan bagi lapan bengkel yang diadakan melalui DFKL kali ini.

“Secara tidak langsung mereka menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perjalanan seni barisan karyawan terpilih selain berkongsi pengalaman sepanjang berada dalam industri hiburan tanah air,” katanya.

Ujar Sherina, bengkel sebegitu menyediakan setiap peserta dengan pelbagai panduan berguna untuk menjadi anak seni yang boleh membantu mereka bersinar dalam dunia hiburan pada masa depan.

Bakat baharu

Menerusi lapan bengkel berkenaan, empat nama besar industri hiburan tanah air iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud, Sheila Rusly, Datin Diana Danielle dan Fasha Sandha berkongsi panduan dan pengalaman selama bergiat sebagai anak pelakon.

Bengkel penulisan kreatif pula dibimbing oleh Erma Fatima dan seorang lagi pengarah serta penerbit drama, Shahrulezad Mohamedin. Bagi bengkel pengarahan, Jason Chong dan Jason Kok pula bertindak sebagai panel yang akan berkongsi ilmu mengenai pembikinan filem.

Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy memberitahu, bengkel DFKL perlu diteruskan bagi mencungkil bakat baharu.

“Untuk menjadi pelakon, seseorang perlu ada dedikasi dan memberikan komitmen selain memiliki disiplin bagi membolehkan mereka kekal bertahan dalam industri,” ujarnya.

Memperuntukkan masa selama tiga jam untuk mendidik peserta yang berminat menjadi pelakon dengan berkongsi teknik yang bersesuaian, kata Ogy, untuk menjadi pelakon seseorang itu perlu mengetahui cara untuk melontarkan vokal, permainan ruang, bahasa tubuh dan pernafasan.

“Saya akan mengajar cara untuk mengeluarkan emosi menggunakan abdomen. Ada juga pelakon menggunakan rekod memori dalam menghayati sesuatu watak seperti sedih, marah dan sebagainya.

“Saya kurang bersetuju untuk menggunakan rekod memori. Oleh sebab itu, penggunaan abdomen penting dalam memberi emosi yang tepat dalam masa singkat,” jelasnya panjang lebar.





Warna lakonan

Ogy juga menanamkan cara bekerja dalam pasukan melalui bengkel kendaliannya.

“Saya ada lihat lebih daripada 10 peserta yang mempunyai bakat besar kerana mereka fokus dan memberikan yang terbaik apabila diminta melakukan sesuatu watak.

“Untuk bergelar pelakon, mereka perlu berani melakukan apa yang pelakon lain tidak buat dan perlu berfikir untuk mencetuskan warna dalam lakonan,” katanya.

Program DFKL sebelum ini melahirkan bakat-bakat baharu seperti Raja Afiq, Syazuwan Hassan, Indah Emeerlda, Nafiz Muaz, Jaja Iliyes dan Riena Diana.

Sesi bengkel DFKL kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon dan pengacara terkenal 8TV, Pauline Tan dan Syazuwan Hassan yang bertindak selaku duta DFKL 2018.

Bengkel DFKL turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti uji bakat mencari pelakon.

Post a Comment

Previous Post Next Post