Elyana Cipta memori indah sebelum nafas terakhir


Tatkala tersingkir pada konsert minggu kelima program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) tahun lalu, pelantun lagu Diriku Tapak Sulaiman itu mengakui dirinya seorang penghidap kanser Limfoma atau kelenjar tahap empat.

Pengakuan tersebut memberi kejutan kepada khalayak yang rata-rata tidak menduga bahawa Elyana sedang berperang dengan masalah kesihatan, sementelah sentiasa tampil ceria dan gemar berjenaka.

Perkongsian yang diharapkan dapat dijadikan motivasi buat penghidap kanser lain tersebut bagaimanapun turut mengundang persepsi negatif dalam kalangan khalayak. Ada pihak mengatakan, dia cuba meraih simpati untuk terus kekal dalam program tersebut.

Tidak cukup dengan dakwaan sebegitu, wujud juga pandangan menuduh pemilik nama, Erneelya Elyana Emriza itu sekadar mahu memburu populariti dengan sengaja mencetuskan sensasi mengenai kesihatannya.

Biarpun cuba bersabar, kata-kata negatif tersebut adakalanya menjadikan Elyana berasa tertekan dan mudah tersinggung. Khalayak memang mudah membuat andaian, namun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Bagaimapun bagi Elyana, meneruskan kehidupan dengan meratapi nasib tidak akan mengubah takdir hidup, apatah lagi memutarkan masa agar dia tidak tersenarai sebagai pesakit kanser.

“Tidak dinafikan selepas membuat pengakuan bahawa saya seorang penghidap kanser, ada dalam kalangan peminat mempertikaikan perkara tersebut. Terus terang saya tiada niat untuk meraih simpati tetapi ia sekadar perkongsian dan motivasi kepada pesakit kanser lain.

“Barangkali disebabkan tidak mempamerkan kesakitan menyebabkan khalayak menilai saya sebagai berbohong,” luah wanita berusia 30 tahun itu.

Situasi tersebut secara tidak langsung mencetuskan emosi sesalan dalam diri Elyana kerana menceritakan keadaan sebenar tentang masalah kesihatan yang dihidapinya.

Pelbagai andaian yang dilontarkan menyebabkan dia mengambil langkah membalas semula kenyataan tersebut terutama dalam media sosial Instagram.

“Kata-kata negatif netizen menyebabkan saya berasa tersinggung dan hilang sabar. Kemahuan untuk memenuhi kehendak khalayak memberi tekanan kepada saya. Perbuatan mereka membuatkan saya menyesali perbuatan berkongsi perkara sebenar.

“Sekiranya mengetahui keadaan akan jadi sebegini, pastinya saya tidak akan mendedahkan penyakit kepada sesiapa,” terangnya dalam nada perlahan.

Bukan sekadar menanggung penderitaan penyakit dan tekanan yang dihadapi, Elyana juga perlu berlapang dada menjalani ujian Tuhan apabila sekali lagi dia teruji. Pada Mac lalu, kandungannya yang baru mencecah usia bulan terpaksa digugurkan atas nasihat doktor.

Elyana tiada pilihan selain bersetuju dengan pilihan tersebut atas risiko yang bakal dihadapi bayi dalam kandungannya.

Meskipun perkara tersebut mengundang kesedihan mendalam, dia tetap memastikan tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik dengan menjalani rawatan berkala termasuk pengambilan ubat dan suplemen tepat pada waktu.

Elyana turut memberitahu, dia menolak daripada menjalani rawatan kemoterapi sejak kali terakhir melakukannya pada Julai tahun lalu.

Bukan kerana tidak mempercayai rawatan moden tetapi kesan daripada kaedah tersebut menyebabkan tubuhnya menjadi lemah dan kurang bermaya.

Lebih teruk lagi, berada dalam keadaan sebegitu akan menyukarkan dirinya menggembirakan individu di sekeliling terutama puteri kesayangannya, Cinta Summayah, 7, dan suami, Khairul Anuar Husin yang dinikahi pada November 2010.





Impian terakhir

Sesekali meneguk air yang dihidangkan untuk menghilangkan dahaga, sambil mengukirkan senyuman Elyana menyatakan keengganannya membiarkan tekanan mengawal emosi sehingga menyebabkan kegagalan untuk membahagiakan insan tersayang termasuk peminat.

Tidak dinafikan sebelum penglibatan dalam GV4, nama Elyana bukan satu subjek menarik untuk diperkatakan atau mendapat perhatian khalayak sehingga dia terbuka tentang tahap kesihatannya.

Sebelum umum mengetahui keadaan kesihatannya sekarang, Elyana mengakui ramai kenalannya berasa tersinggung kerana dia sering gagal memberi tumpuan sepenuhnya setiap kali berbual.

Akuinya, akibat kesan rawatan, ubat dan rasa sakit, ada ketikanya dia tidak dapat memberi tumpuan dengan baik sewaktu melakukan sesuatu perkara.

Disebabkan itu, dia mengambil langkah untuk mendedahkan keadaan sebenarnya, sekali gus menyebabkan individu di sekelilingnya memahami dan bukannya untuk meraih simpati.

“Setelah tujuh tahun disahkan sebagai pesakit kanser, apa yang diimpikan sekarang ialah untuk menggembirakan insan yang sentiasa memberi sokongan kepada saya.

“Paling utama ialah anak dan suami serta kenalan terdekat termasuk peminat. Menggembirakan mereka tidak ubah seperti suatu penawar buat saya.

“Setidak-tidaknya, sebelum meninggal dunia saya telah mencipta memori indah dan menggembirakan mereka,” ujarnya penuh makna.

Penantian 12 tahun
Meskipun bibirnya tetap mengukir senyuman, redup pandangan Elyana menjelaskan erti sebaliknya.

Nyata, ungkapan yang baru terletus dari bibirnya itu mencetuskan ledakan emosi gundah dalam hati.

Tidak hanya keluarga, Elyana turut mengharapkan peminatnya terus memberi sokongan terhadap kerjayanya, sementelah filem yang dinantikan sejak 12 tahun lalu, Dukun akhirnya berjaya ditayangkan di pawagam.

Saat berkongsi kegembiraan tentang naskhah arahan Dain Said tersebut, Elyana yakin filem yang terperap lama berkenaan dapat mengubat kerinduan peminat untuk melihat lakonannya di layar perak.

Berkongsi kenangan yang masih tersisa dalam kotak memorinya tentang pembikinan filem tersebut, Elyana mengakui melakonkan watak Nadia bukan satu tugas mudah.

Menghidupkan karakter yang perlu menggetarkan emosi penonton tanpa bantuan solekan kesan khas menyeramkan pada wajah bukan suatu tugasan mudah.

Lebih daripada itu, dia perlu menjadi ‘bayangan’ watak Diana Dahlan lakonan Datin Umie Aida.

“Babak paling sukar untuk dilakukan ialah saya perlu merealisasikan roh Diana Dahlan yang memasuki tubuh Nadia. Jelingan, pergerakan dan cara bertutur juga perlu nampak sama.

Post a Comment

Previous Post Next Post