Nadzmi Adhwa 
pilih haluan sendiri


Sekali nama terpalit dengan kontroversi panas, agak sukar untuk membina kembali maruah dan imej yang telah rosak. Apatah lagi jika isu panas yang terjadi membabitkan perkara besar seperti dadah.

Situasi getir sebegitulah sedang dihadapi pelakon Nadzmi Adhwa setelah terjebak episod hitam yang berlaku pada November tahun lalu. Dalam kejadian tersebut, dia ditahan polis akibat terdapat dadah jenis ganja ditemui di dalam keretanya.

Ekoran kontroversi hitam tersebut, pelakon yang terkenal dengan imej rambut kerinting itu mengakui kehidupannya melalui fasa perubahan ketara apabila tidak menerima sebarang tawaran berlakon sehingga terpaksa menganggur selama empat bulan.

Demi membina kembali semangat yang pernah hilang, pelakon drama Hati Perempuan itu mengatur langkah baharu untuk masa depan kariernya.

Pada masa sama, dia kini tidak lagi berada bawah syarikat pengurusan, Mind Order Sdn. Bhd. selepas setahun mengikat kontrak sebagai artis naungan syarikat berkenaan.

Ikuti penjelasan Nadzmi Adhwa, 26, yang ditemui pada sesi temu ramah bersama calon Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL2018) baru-baru ini tentang pengundurannya daripada syarikat berkenaan, selain berbicara tentang perkembangan terkini karier seninya.

KOSMO!: Difahamkan anda kini tidak lagi berada bawah syarikat pengurusan. Boleh jelaskan lebih lanjut tentang perkara tersebut?

NADZMI ADHWA: Ya, saya sudah pun keluar daripada syarikat tersebut pada 27 Mac lalu meskipun kontrak sebenarnya akan tamat pada Ogos nanti. Keputusan ini diambil atas kerelaan sendiri dan mendapat sokongan daripada ibu bapa saya juga. Bukannya saya ditendang keluar atau ada sebarang masalah dalaman dengan mereka.

Jadi, adakah anda bersedia untuk menguruskan sendiri hal karier? Bagaimana pula jika ada tawaran pengurusan daripada syarikat lain selepas ini?

Saya sentiasa bersedia, lagipun semasa bersama syarikat pengurusan terdahulu, banyak perkara telah dipelajari. Jadi dengan segala ilmu itu, saya boleh praktikkan sekarang. Terus terang saya katakan, saya tidak akan dan tidak mahu lagi terlibat dengan mana-mana syarikat pengurusan selepas ini.

Biarlah saya uruskan semuanya sendiri dan belajar berdikari. Boleh dikatakan, pengunduran ini adalah cara untuk saya bermula dari bawah sama seperti ketika mula-mula menyertai industri dahulu.





Adakah pengunduran ini ada kaitan dengan kontroversi yang melibatkan anda pada tahun lalu?

Tidak. Ia tiada kena-mengena dengan perkara itu. Seperti yang saya katakan tadi semuanya berlaku atas kerelaan sendiri.

Bagaimana kehidupan anda selepas kontroversi tersebut?

Jujurnya, kejadian tersebut banyak memberi impak negatif terhadap diri dan karier saya. Saya pernah menganggur selama empat bulan gara-gara tiada tawaran berlakon. Keadaan itu membuatkan saya hampir putus asa untuk meneruskan kerja dalam bidang seni sebab hal ini bukannya kecil kerana ia membabitkan nama baik saya dan keluarga.

Jadi, apa perancangan anda dalam karier selepas ini?

Saya memandang ke hadapan dan mengharapkan masa depan yang lebih baik selepas kejadian itu. Sekarang, saya sedang menyusun kembali agenda seni seperti sediakala. Pada masa sama, insya-Allah tidak lama lagi saya akan menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Rekaan Grafik. Ia demi mencapai impian saya bergelar pensyarah suatu hari nanti. Untuk bidang lakonan pula, sebuah filem lakonan saya berjudul Safari Mall akan ditayangkan tidak lama lagi.

Sebelum ini anda pernah menghasilkan lagu. Jadi, bagaimana dengan perkembangan dunia nyanyian?

Kalau ada rezeki, tiada masalah untuk saya meneruskannya. Sekarang pun saya mahu seimbangkan antara dunia lakonan dan nyanyian. Cuma disebabkan bergerak sendiri, ia mungkin memakan masa sedikit untuk saya menguruskan segala-galanya satu demi satu.

Boleh kongsikan sedikit pencalonan anda dalam Anugerah DFKL2018?

Alhamdulillah, syukur kerana saya tidak menjangkakan sebarang pencalonan pun untuk drama Namaku Bedah yang disiarkan di TV9. Saya tercalon dalam tiga kategori iaitu Pelakon Lelaki Pilihan, Pasangan Pilihan dan Drama Pilihan.

Seperkara lagi, genre dan watak saya dalam drama itu bersifat komedi dan bukannya lakonan berat seperti calon-calon lain yang hadir dengan naskhah hebat. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur dengan rezeki ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post