Alasan Bienda 
sorok tarikh nikah


Bienda kini muncul dengan single baharu yang lebih moden berjudul Jaga Hati.

Jika diimbau kembali sekitar penghujung tahun 2010, penyanyi Bienda pernah mencetuskan tanda tanya apabila merahsiakan tarikh pernikahannya daripada pengetahuan peminat. Bagaimanapun, pada waktu itu sebuah majlis resepsi untuk meraikan cinta mereka telah diadakan dengan penuh meriah.

Banyak spekulasi dibuat oleh khalayak. Namun, baik Bienda mahupun suami, Zariman Abd. Rahman, masing-masing enggan berbicara mengenai tarikh bersejarah yang telah menghalalkan perhubungan mereka sebagai pasangan suami isteri.

Kini, sembilan tahun berlalu dan selepas Bienda dan suami dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Lavienda Namiraz, 6, serta Laxiendra Namiraz, 4, penyanyi lagu Penantian itu akhirnya bersetuju untuk membuka mulut tentang tarikh majlis pernikahannya itu.

Ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Clarissa X Bienda dan pelancaran klip video single terbaharunya, Jaga Hati di The Glass Suite, BoraOmbak, Putrajaya baru-baru ini, Bienda atau nama sebenarnya, Nor Razlinda Razli, 33, mengaku telah bernikah setahun sebelum majlis resepsinya berlangsung, iaitu pada 10 Oktober 2009.

Menurut Bienda, alasannya merahsiakan tarikh pernikahan pada waktu itu adalah kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk mengadakan dua majlis keraian dalam masa terdekat.

Dalam masa yang sama, Bienda turut bercerita mengenai kolaborasinya bersama jenama busana Carissa untuk keluaran Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

KOSMO!: Bienda, hampir sedekad anda menyimpan rahsia tentang tarikh pernikahan bersama suami. Mengapakah anda memutuskan untuk berbuat demikian?

BIENDA: Kami bernikah secara senyap kerana tidak mahu menyusahkan keluarga dengan meminta bantuan kewangan daripada mereka. Sepanjang setahun, saya dan suami bekerja keras dan berjimat cermat untuk mengadakan majlis resepsi selepas bernikah. Di samping itu, kami turut menyimpan sejumlah wang untuk digunakan bagi membeli rumah.





Tidak mendapat tajaan untuk majlis resepsi?

Bukan tidak mahu mendapatkan tajaan. Bagaimanapun jika boleh kami mahu mengeluarkan belanja sendiri untuk kenduri kahwin kami, terutama wang yang digunakan bagi jamuan makan untuk para tetamu.

Jadi, pengakuan anda ini secara tidak langsung telah menutup spekulasi orang ramai yang mengatakan kalian telah bernikah di Thailand?

Benar, saya tidak bernikah di Thailand seperti yang digembar-gemburkan. Lucu apabila mengenangkan kembali tuduhan yang dibuat oleh khalayak sedangkan pada waktu itu, kami berdua bernikah di sebuah masjid yang terletak bersebelahan kediaman ibu saya di Gombak, Kuala Lumpur.

Beralih pada kolaborasi anda bersama Carissa, boleh ceritakan sedikit mengenai projek koleksi raya bersama jenama tersebut?

Koleksi ini merupakan koleksi pertama saya bersama Carissa. Saya berasa berbesar hati kerana diberi peluang untuk sama-sama mengeluarkan busana sempena hari raya tahun ini. Biarpun pertama kali berniaga pakaian, saya berasa selesa untuk bekerjasama dengan Carissa.

Sebelum ini juga, saya sudah terbiasa berniaga dan mempromosikan jenama tudung sendiri iaitu Bienda Lavienda setiap kali tibanya Ramadan dan menjelang hari raya.

Single Jaga Hati kedengaran sedikit berbeza dengan lagu-lagu anda sebelum ini. Mengapakah anda mengambil pendekatan untuk melahirkan single yang lebih santai dan segar?

Sepanjang tempoh tidak mengeluarkan sebarang single, saya selalu perhatikan perubahan yang berlaku dalam industri muzik. Biarpun hati ini masih mahu menyanyikan lagu irama padang pasir, namun, saya perlu akur dengan kehendak pasaran sekarang.

Lagu ciptaan DJ Fuzz ini bukan sekadar bersifat santai dan moden, tetapi sesuai didengar oleh setiap lapisan masyarakat.

Anda dikenali sebagai penyanyi yang mempopularkan lagu-lagu padang pasir. Tidak terfikir untuk kembali merakamkan lagu seperti itu?

Saya memang gemar menyanyikan lagu-lagu seperti itu. Tetapi, pasaran muzik sekarang seperti tidak mengizinkan saya melahirkan lagu mirip Penantian.

Saya masih ingat lagi pada 2009, saya terbitkan album Kenaliku menggunakan duit sendiri. Namun, sedihnya, ia tidak terjual seperti diharapkan.

Walaupun kecewa, saya menanamkan hasrat untuk kembali merakamkan lagu-lagu berbentuk sedemikian dan bekerja semula dengan komposer yang menaikkan nama saya, Yasin Sulaiman.

Post a Comment

Previous Post Next Post