Aznil Nawawi kongsi ilmu bersama pelajar menerusi Yayasan Pesona


Aznil ketika hadir program Yayasan Pesona di Johor Bahru.

Menyedari terdapat kelemahan dalam kalangan rakyat Malaysia berinteraksi dengan baik ketika berdepan dengan khalayak, personaliti ternama, Datuk Aznil Nawawi merintis usaha membimbing generasi muda untuk menjadi individu hebat bertaraf antarabangsa.

Menerusi Yayasan Pesona yang diasaskannya, pengacara popular itu memulakan usaha dengan mengadakan sesi perkongsian ilmu dengan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Ulu Tebrau, di sini sebentar tadi.

Dalam sesi yang berlangsung hampir dua jam itu, Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalamannya berhadapan dengan khalayak.

Di hadapan lebih 400 pelajar sekolah berkenaan, selebriti itu turut memberi penekanan mengenai kepentingan generasi muda menggunakan platform media sosial dengan bijak.





“Dengan era ledakan komunikasi digital yang pesat berkembang, saya melihat pentingnya generasi muda diingatkan mengenai keperluan menjaga budi bahasa, cara pertuturan selain etika di alam maya.

“Saya juga amat percaya tugas ini harus dipikul oleh setiap individu kerana cara kita bercakap, cara kita menjawab soalan merupakan lambang atau terjemahan peribadi kita,” jelas Aznil.

Mengenai penubuhan Yayasan Pesona, personaliti itu berkata, badan itu akan menjadi platform untuk beliau menjelajah seluruh negara bagi berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalaman beliau sepanjang bergelar selebriti.

Bersama Yayasan Pesona yang mula bergerak secara rasmi semalam, Aznil merancang untuk turun padang bertemu seluruh anggota masyarakat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Post a Comment

Previous Post Next Post