Jay Jay, Salamiah Hassan bakal hiburkan setiausaha


Salamiah mendedahkan dia mungkin berduet dengan Jay Jay untuk sebuah lagu.

Dua bintang legenda iaitu Salamiah Hassan dan Jay Jay bakal menghiburkan peminat menerusi persembahan sempena Minggu Setiausaha pada 26 April depan.

Persembahan Secretaries Luncheon itu akan berlangsung di Mutiara Grand Ballroom Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya dengan dihoskan oleh Naz Rahman.

Menariknya, ia merupakan gandingan pertama kali Salamiah dan Jay Jay untuk menghiburkan peminat mereka yang terdiri daripada setiausaha.

Menurut Pengurus Besar Hotel Royale Chulan Damansara, Julian Blaydes, pihaknya menyambut Minggu Setiausaha pada setiap tahun.

“Kami teruja kerana dapat bekerjasama dengan kedua-dua penghibur tersohor ini. Untuk itu, kami menjanjikan sebuah persembahan yang menarik kepada peminat.

“Selain berhibur, kami juga mahu peminat merasai momen indah mengimbau kembali zaman kegemilangan Salamiah Hassan dan Jay Jay dengan barisan lagu popular yang dipilih,” ujarnya pada majlis sidang akhbar acara berkenaan di hotel tersebut baru-baru ini.





Berinteraksi

Sementara itu, Jay Jay memberitahu, dia bakal mempersembahkan lagu popular dendangan kumpulan Carefree iaitu Rindu Bayangan dan lagu duetnya bersama Dayangku Intan, Kita Insan Biasa.

“Saya teruja kerana diberi kesempatan untuk terlibat dalam persembahan sempena Minggu Setiausaha ini. Sebagai penghibur, tentulah saya menjanjikan yang terbaik dalam setiap persembahan. Ia juga tidak terkecuali untuk golongan setiausaha yang semestinya merupakan peminat saya,” jelasnya.

Bagi Salamiah pula, dia memilih untuk mendendangkan lagu-lagu popularnya selain lagu daripada pilihan peminat.

Malah katanya, dia mendapat permintaan daripada peminatnya untuk menyanyikan lagu-lagu kegemaran mereka seperti Gelombang, Menghitung Hari dan Surat Terakhir.

“Demi tidak mahu mengecewakan peminat, saya bakal mendendangkan lagu tersebut pada majlis makan tengah hari itu nanti.

“Bagaimanapun, kami berdua juga berkemungkinan berduet menerusi sebuah lagu tetapi ia masih dalam peringkat perbincangan,” katanya.

Hadiah menarik

Menerusi jamuan itu juga tetamu berpeluang merasai sajian hidangan Barat terbaik dan menyelerakan selain merebut hadiah menarik untuk dibawa pulang antaranya tiket penerbangan Qatar Airways dan baucar pakaian rekaan pereka terkenal, The Mod House.

Selain itu, tetamu turut ditawarkan hadiah percutian tiga hari dua malam di Bandung, Indonesia dan Phuket, Thailand.

Turut ditawarkan ialah penginapan di Hotel Royale Chulan Cherating, Pahang; London, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Seremban dan Damansara.

Post a Comment

Previous Post Next Post