Untuk rekod, pemenang Grammy Awards sebanyak 10 kali itu dilahirkan dengan nama lengkap, John Roger Stephens pada 28 Disember 1978 di Springfield, Ohio, Amerika Syarikat (AS). Jadi, bagaimanakah nama John Stephens boleh berubah menjadi John Legend?
Segalanya bermula sekitar 2001, ketika Legend dipertemukan dengan penyanyi hip-hop, Kanye West yang pada waktu tersebut baru sahaja mahu membina nama sebagai rapper.
Menurut penyanyi lagu Famous itu, muzik garapan Legend kerap mengingatkannya terhadap lagu-lagu penyanyi legenda yang kerap dimainkan stesen radio sewaktu dia sedang di bangku sekolah.
Justeru, disebabkan karya-karya ikonik tersebut, West turut menyifatkan penyanyi R&B itu sebagai salah seorang legenda dan menamakannya sebagai John Legend. Ternyata, nama yang diberikan oleh West melekat dan membawa tuah sehingga hari ini.
Biarpun baru berusia 40 tahun, namun legasi Legend dalam mengukuhkan karier sebagai penghibur sudah cukup besar untuk meletakkannya sebaris dengan legenda-legenda muzik sedia ada.
Ia dibuktikan menerusi puluhan anugerah yang pernah dimenangi oleh Legend sejak menjadikan bidang muzik sebagai profesion utama. Selain 10 anugerah yang dibolot menerusi Grammy Awards, Legend turut diiktiraf di BET Awards, Billboard Music Awards, Golden Globes Awards, Tony Awards dan American Music Awards.
Barangkali, pengiktirafan yang diterima Legend membuatkan penyanyi lagu-lagu R&B itu semakin utuh berkarya dan menghasilkan lagu-lagu berkualiti.
Inspirasi
Sedang mempromosikan album studio kelimanya, Darkness And Light, Legend menyifatkan ia sebagai campuran antara kisah suka dan duka yang pernah dialami sepanjang hayat.
“Saya pernah beberapa kali melalui fasa gelap dalam hidup. Antaranya apabila ibu dan bapa bercerai sewaktu saya masih berusia 10 tahun.
“Kematian nenek saya juga memberi impak yang besar dalam hidup. Saya mengambil masa beberapa tahun untuk pulih daripada kesedihan yang dialami,” katanya kepada portal hiburan Philstar.
Inspirasi album Darkness And Light bukan sekadar kisah hitam kehidupannya semata-mata. Legend turut berkongsi tentang kegembiraan dan ‘nyawa’ dalam hayatnya menerusi album tersebut.
“Sepanjang bergelar penyanyi, banyak perkara manis yang saya lalui. Saya sangat bersyukur dengan kejayaan yang saya capai setakat ini,” kata Legend yang turut menamakan anaknya, Luna Simone Stephenes yang kini berusia dua tahun sebagai salah satu punca kegembiraan hidupnya.
Kehidupannya sebagai seorang suami dan juga ayah turut menjadi inspirasi buat Legend dalam penulisan lagu.
“Darkness And Light merupakan album pertama yang saya tulis selepas saya berkahwin dan memiliki cahaya mata.
“Jadi, lagu dan liriknya memberi gambaran tentang hidup saya kini secara keseluruhan,” kongsi Legend.
Keampuhan Legend sebagai penyanyi tidak hanya dapat didengar menerusi kekuatan vokal dalam setiap album yang diterbitkan. Sebaliknya, Legend turut cemerlang ketika menjayakan persembahan pentas dan juga konsert berskala besar.
Jelajah
Berpeluang menghadiri konsert jelajah Darkness And Light Tour yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang baru-baru ini, Legend sekali lagi membuktikan bahawa status ‘legenda’ yang diusulkan oleh Kanye West adalah sesuatu yang patut dibanggakan.
Menghiburkan 5,000 penonton secara langsung menerusi rantaian 26 buah lagu, Legend berjaya menguasai ‘gelanggang’ persembahannya, menjadikan dirinya sebagai seorang artis yang berada dalam kelas tersendiri.
Dimulakan dengan lagu I Know Better yang dipetik daripada album Darkness And Light, peminatnya dibius dengan kelunakan vokal Legend yang secara santai mengiringi persembahan dengan ketikan piano.
Masih mahu menyanyikan lagu yang dipetik daripada album tersebut, Legend mengajak penonton untuk berdiri dan menari sewaktu dia mendendangkan lagu Penthouse Floor.
Tidak kelihatan kaku sama sekali, Legend berjaya memberikan persembahan yang luar biasa, sambil ditemani dengan tiga penyanyi latar.
Legend kemudiannya membawa penonton untuk kembali ke era awal dia bergelar penyanyi, iaitu ketika dia baru meluncurkan single perdana berjudul Used To Love U.
Penonton memberikan respons positif, ikut menyanyi setiap bait lirik yang dinyanyikan oleh Legend.
Pada masa yang sama, Legend turut menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan bersama Meghan Trainor, Like I’m Gonna Lose You.
Kongsi
Selain lagu-lagu ciptaan sendiri, Legend turut menyanyikan beberapa lagu saduran seperti Superfly, yang pernah dipopularkan oleh Curtis Mayfield.
Terdapat perkongsian menarik oleh Legend sebelum menyanyikan lagu berentak rancak tersebut.
“Ketika isteri saya, Chrissy Teigen sedang dalam wad bersalin, dia meminta saya memainkan lagu-lagu untuk mengalihkan perhatiannya daripada rasa sakit.
“Selepas beberapa lagu, Chrissy akhirnya melahirkan Luna sewaktu lagu Superfly sedang diputarkan. Jadi, saya ambil kesempatan ini untuk menyanyikan kembali lagu yang mengiringi isteri saya sewaktu sedang melahirkan,” katanya sambil tertawa.
Menutup persembahan, Legend menyanyikan lagu berhantunya, All Of Me sebelum diakhiri dengan Glory, runut bunyi filem Selma yang sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Lagu Original Terbaik menerusi Academy Awards 2015.
Secara keseluruhan, John Legend berjaya memberikan sebuah persembahan yang sempurna, lengkap dengan kawalan vokal yang patut diberi pujian.
Biarpun secara visual konsert jelajah Darkness And Light Tour terlalu sederhana, namun seleksi lagu yang dinyanyikan oleh Legend menghidupkan persembahan yang berdurasi sekitar dua jam tersebut.
Legend membuktikan bahawa muzik yang berkualiti mampu membuatkan seseorang penyanyi mengekalkan nilai relevan biarpun tanpa kehadiran kontroversi.
Pernah singgah ke Malaysia pada 2011 dan 2014, John Legend kembali dengan konsert jelajah Darkness And Light Tour yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.