Farah Nabilah elak bercinta sesama artis


Populariti yang diraih pelakon Farah Nabilah sejak membintangi drama Titian Cinta bukan sedikit, bahkan sejak muncul bersama aktor gandingannya, Zul Ariffin dalam naskhah tersebut, ramai peminat mengharapkan agar hubungan mereka menjadi kenyataan.

Namun kata Farah, 26, drama Titian Cinta bersama Zul Ariffin akan kekal sebagai lakonan dan sama sekali tidak mahu menjebakkan diri dengan hubungan cinta bersama orang industri.

Ikuti penjelasan Farah tentang jodoh dan perkembangan terkini kariernya.

KOSMO!: Dalam drama Adakah Aku Bersalah, anda menerima kecaman kerana menjadi isteri kedua. Apa komen anda tentang situasi tersebut?

FARAH NABILAH: Kalau orang kecam, maknanya lakonan saya menjadi. Cuma untuk dunia luar, tidaklah sampai mahu betul-betul jadi isteri kedua.

Secara jujur, saya tidak mahu terjebak cinta dengan suami orang. Sebagai perempuan, kita perlu faham perasaan wanita lain andai suami diambil orang.

Sedangkan kekasih dirampas orang pun kita sangat sedih, inikan pula suami yang berkongsi hidup dan anak.

Berbicara tentang jodoh, bagaimana pula dengan diri anda sekarang?

Buat masa sekarang, saya masih sendiri dan tiada kekasih. Kali terakhir bercinta adalah lima tahun lepas sewaktu sedang melanjutkan pengajian di kolej.

Apabila sudah bekerja, saya tiada masa fikir soal cinta sebab saya seorang yang fokus kepada karier. Saya juga ada perasaan untuk mendirikan rumah tangga, cuma jodoh belum sampai.

Kalau suatu hari keluarga ada calon, saya okey sahaja sebab percaya pilihan keluarga adalah yang terbaik.

Cuma kadangkala saya takut juga dengan istilah bercinta selepas kahwin.





Apa yang anda boleh katakan tentang ciri-ciri lelaki idaman?

Sejujurnya saya tidak mahu bercinta dengan orang industri. Biarlah dia lelaki biasa dan ada kriteria seperti penyayang, sedap mata memandang dan hormat orang tua.

Biarpun ada juga sedikit tekanan apabila melihat ramai kawan terdekat sudah mendirikan rumah tangga, sampai sekarang pun saya masih tinggal bersama keluarga dan hanya dibenarkan keluar jika sudah berkahwin kelak.

Berkenaan isu anda didakwa bersikap sombong ketika menjadi juri sebuah program baru-baru ini. Apakah perkara tersebut sedikit sebanyak memberi tekanan kepada anda?

Sejujurnya saya akui itu memang silap sendiri kerana tidak sentiasa senyum di hadapan kamera.

Sibuk macam mana sekalipun, seseorang selebriti perlu sentiasa nampak ceria, lebih-lebih lagi sewaktu bersiaran langsung di kaca televisyen. Jadi apabila perkara itu berlaku, ia membuatkan saya lebih berhati-hati.

Cuma, kalau ada peminat yang masih menganggap saya sombong, saya sendiri pun tidak tahu mahu buat macam mana.

Takkanlah mahu buat pembedahan pada muka untuk sentiasa nampak tersenyum kalau memang raut wajah sebegini.

Populariti yang anda raih menerusi drama Titian Cinta bukan calang-calang. Sehingga kini peminat masih menggandingkan anda dan Zul Ariffin di laman sosial. Bagaimana pula penerimaan anda?

Mereka itu peminat yang fanatik. Biarpun drama tersebut sudah berakhir tetapi masih ada gambar-gambar kami dimuat naik di laman sosial.

Biarpun Zul sedang berlakon drama baharu dengan pasangan lain tetapi mereka tetap menggandingkan kami. Saya tidak boleh berbuat apa-apa tetapi okey sahaja asalkan tidak mengganggu karier, itu sudah cukup.

Bagaimana pula dengan perkembangan terkini karier lakonan anda?

Sekarang saya sedang sibuk dengan penggambaran drama Halalkan Hati Yang Ku Curi adaptasi daripada sebuah novel. Dalam drama yang akan disiarkan menjelang Ramadan itu, saya memegang watak antagonis.

Post a Comment

Previous Post Next Post